Seksaan Allah ke atas Abu Lahab
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah dengan ijmak. Ia terdiri daripada lima ayat dan diturunkan setelah surah al-Fath.
Hubungan surah ini dengan surah al-Nasr.
Pada surah terdahulu Allah SWT menerangkan bahawa ganjaran orang yang taat adalah pertolongan dan kemenangan di dunia dan pahala yang sempurna di akhirat.
Di dalam surah ini Allah SWT menerangkan akibat yang dideritai oleh pelaku maksiat iaitu kerugian di dunia dan ancaman seksa di akhirat.
Sebab turunnya surah ini
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a yang berkata: “Nabi SAW keluar ke Bata’ lalu naik ke sebuah bukit seraya memanggil: Wahai kawan-kawan yang dihormati, berkumpullah ke mari. Lalu orang Quraisy berkumpul mendekati baginda.”
Kemudian baginda berkata: “Apa pendapatmu sekiranya aku beritahu kepadamu bahawa musuh akan menyerangmu pagi-pagi dan petang? Adakah kamu membenarkanku.” Mereka menjawab: “Ya.”
Kemudian Baginda bersabda: “Aku memberi khabar yang menakutkan kepada kamu akan seksa yang keras.”
Abu Lahab menjawab: “Hanya untuk keperluan ini engkau mengumpulkan kami? Celaka engkau.”
Dalam satu riwayat Abu Lahab berdiri menggerak gerakan kedua-dua tangannya seraya berkata: “Celaka engkau sepanjang masa, untuk inikah engkau mengumpulkan kami?”
Maka Allah SWT menurunkan surah ini.
Firman Allah SWT: Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
Berkenaan perkataan tabbat, ada lima pendapat:
* Kerugian dan kehinaan, seperti pendapat Ibn Abbas.
* Sesat, sebagaimana pendapat Ata’.
* Binasa dan kematian, seperti pendapat Ibn Jubair.
* Kosong dari segala kebaikan sebagaimana pendapat Yaman bin Ri’ab.
* Kerugian dan kebankrapan. Inilah pendapat Qatadah.
Adapun maksud kedua belah tangan Abu Lahab ada dua pendapat:
* Diri Abu Lahab itu sendiri.
* Segala amalan Abu Lahab.
Berkenaan dengan kalimah watab, ia memberi empat maksud:
* Sebagai penguat untuk yang pertama.
* Kedua belah tangan Abu Lahab binasa dengan tegahan Allah daripada menzalimi Rasul-Nya.
* Yakni sebenarnya dia telah binasa seperti pendapat Ibn Abbas.
* Telah binasa anak Abu Lahab seperti pendapat Mujahid.
Sayid Qutub berkata: “Maksudnya, Abu Lahab telah binasa. Harta dan segala usahanya tidak dapat menolong dan menghalangnya daripada kebinasaan. Itulah balasan di dunia, sedangkan balasan di akhirat kelak amat dahsyat.”
Firman Allah SWT: Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
Dia kelak akan menderita akibat bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu.
Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya sia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gatal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan dia tidak dapat pula dapat menolong dirinya.
Ini kerana Allah SWT mengangkat seruan Rasul-Nya, menyebarkan dakwahnya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya.
Isterinya yang membantu kekufuran dan keingkarannya itu akan diseksa bersamanya kerana dia menjadi tangan kanan Abu Lahab dalam menyakiti dan menyeksa Rasulullah SAW. Dia ke sana ke mari mengadu domba untuk membuat kerosakan, menyalakan api permusuhan dan menimbulkan fitnah.
No comments:
Post a Comment