Tiga sifat perlu dimiliki lambang kesempurnaan iman
2011/06/11
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)
Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus serta dibelanjakan sewajarnya.
Oleh itu, manusia suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan, tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan serta rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah Al-Israk, ayat 30)
Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan fizikal (material, intelektual) di mana semua komponen ini saling berkait rapat serta sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.
Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut Islam untuk diamalkan selalu setiap Muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.
Ini bagi memastikan masyarakat saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan, kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup bersifat individualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain.
No comments:
Post a Comment