بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, July 11, 2011

Kelebihan Bulan rejab

Soalan

Ramai orang yang mengambil kelebihan bulan Rejab untuk berpuasa, solat dan ziarah kubur. Mereka membawa banyak hadis tentang perkara ini. Apakah pendapat betul tentang perkara ini?

Jawapan

Al-Hafiz Ahmad bin Ali Bin Muhammad bin Hajar Al- ‘Asqalani meletakkan satu risalah bertajuk تبيين العجب بما ورد فى فضل رجب " " . Beliau menghimpun di dalamnya kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan-kelebihan bulan Rejab, berpuasa dan bersolat di dalamnya dan membahagikannya kepada hadis yang daif dan yang sahih. Beliau menyebut 18 nama bagi Rejab.

Di antara namanya ialah :

1- Al ‘Asom (tuli) disebabkan bunyi pedang tidak kedengaran padanya kerana ia adalah antara bulan-bulan haram yang telah diharamkan perang di dalamnya.

2- Al Asob (limpahan) disebabkan limpahan rahmat di dalamnya.

3- Munassil al asinnah (pengeluar bilah pedang @ tombak) sepertimana yang disebut oleh Imam al Bukhari daripada Abi Raja’ al ‘Attoridi beliau berkata : Dulu kami sembah batu. Jika kami menemui batu yang lebih baik kami akan buang yang lama dan menggantikan dengan yang lain. Jika kami tidak menemui batu, kami akan menghimpunkan tanah dan memerah susu kambing ke atasnya. Apabila masuk bulan Rejab kami berkata : ‘Munassil al asinnah’ dan kami tidak membiarkan mata tombak berada pada tombak begitu juga pada anak panah.

Kelebihan Rejab termasuk di dalam umum kelebihan bulan-bulan haram yang telah Allah sebut tentangnya :

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al Taubah: 36)

Hadis sahih Bukhari dan Muslim tentang haji wida’ menyebut bahawa tiga daripada bulan haram itu berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu lagi berasing iaitu Rejab ‘Mudhar’ yang berada di antara Jamadil Akhirah dan Sya’ban. Ia bukanlah Rejab ‘Rabi’ah’ iaitu Ramadhan.

Di antara makna tidak melakukan kezaliman (di dalam ayat) ialah tidak berperang. Ini adalah untuk memastikan jalan untuk orang-orang yang hendak pergi ke Masjidil haram aman. Sepertimana firman Allah:

Apabila sudah habis bulan-bulan haram itu, Maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah ditempat pengintaian.(al Taubah: 5)

Di antara makna tidak melakukan kezaliman ialah tidak melakukan maksiat kepada Allah. Sesetengah ulama’ mengeluarkan hukum daripada perkara ini (bukan dalil yang langsung yang dinaskan daripada al Quraan dan sunnah) bahawa harus untuk melipat gandakan ‘diat’(bayaran) terhadap pembunuhan yang dilakukan dalam bulan haram dengan ditambahkan lagi sepertiga.

Di antara tanda kelebihan bulan-bulan haram(yang di dalamnya ada bulan Rejab) ialah disunatkan berpuasa di dalamnya. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Mujibah al Bahiliyyah daripada bapanya atau bapa saudaranya bahawa Nabi s.a.w berkata kepadanya (selepas percakapan yang panjang) : “Berpuasalah daripada bulan haram dan tinggalkan” sebanyak tiga kali dan mengisyaratkan dengan tiga jarinya, menggenggam dan membukanya dan apa yang jelas, isyarat itu adalah untuk bilangan kali bukan bilangan hari.

Amalan soleh dalam bulan Rejab sama seperti amalan dalam bulan-bulan haram yang lain juga iaitu ia mempunyai pahala yang besar. Sebagai contoh berpuasa pada hari pertama Rejab sama dengan puasa pada hari pertama dalam (bulan haram) yang lain.

Ibnu Hajar berkata : Tidak ada hadis yang khusus tentang kelebihan puasa di dalam bulan Rejab, sama ada hadis sahih atau hadis hasan.

Di antara hadis-hadis dhaif tentang puasa bulan Rejab:

1) “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang sungai yang dinamakan Rejab. Airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka Allah akan memberinya minum daripada air sungai itu”.

2) “Sesiapa yang berpuasa satu hari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa di dalamnya sebanyak 7 hari, ditutup baginya 7 pintu neraka. Sesiapa yang berpuasa di dalamnya sebanyak 8 hari, dibuka baginya 8 pintu syurga. Sesiapa yang berpuasa di dalamnya sebanyak 10 hari, ditukarkan kejahatannya kepada kebaikan.

3) Sebuah hadis yang panjang menyatakan tentang berpuasa pada hari-hari di dalam bullan Rejab. Di tengah hadis tersebut disebutkan “Rejab bulan Allah, Sya’baan bulanKu dan Ramadhan bulan umatku”. Dikatakan hadis ini adalah hadis maudhu’(palsu). Imam al Suyuti menyebut dalam kitab ‘Al Jami’ Al Kabir’ bahawa hadis ini adalah daripada riwayat Abi Al Fatah bin Abi Al Fawaris di dalam kitabnya daripada Hassan secara mursal (meriwayat hadis terus kepada Nabi dengan menggugukan sahabat).

Di antara hadis-hadis yang tidak diterima tentang kelebihan solat yang khusus di dalam bulan Rejab:

“Sesiapa yang solat maghrib pada awal malam bulan Rejab kemudian bersolat selepasnya 20 rakaat, dia membaca pada setiap rakaat surah al Fatihah dan surah al Ikhlas sekali dan memberi salam sebanyak 10 salam (2 rakaat 1 salam) maka Allah akan menjaga diri, isteri, harta dan anaknya. Dia akan diselamatkan dari azab kubur dan akan melintasi titian sirat secepat kilat tanpa hisab dan tanpa azab. Hadis ini adalah hadis maudhu’ dan hadis seumpamanya ialah hadi tentang solat al raghaib.

Ibn Hajar telah meletakkan satu bab di dalam risalah ini yang mengandungi hadis-hadis yang melarang untuk berpuasa Rejab sebulan penuh. Kemudian beliau berkata : Larangan ini adalah ditujukan kepada orang yang berpuasa kerana mengagungkan perkara-perkara jahiliah. Jika seseorang itu berpuasa dengan niat berpuasa semata-mata tanpa menjadikan puasa itu wajib atau mengkhususkan hari-hari tertentu untuk mengerjakan puasa atau malam-malam tertentu untuk beribadat dengan menyangka ia adalah sunat, maka amalan atau peruatannya itu di antara yang dikecualikan, tidak mengapa. Jika dia mengkhususkan puasa tersebut atau menjadikannya wajib maka perkara sedemikian adalah ditegah. 

Larangan tersebut adalah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah :

لا تخصوا يوم الجمعة بصيام ولا ليلتها بقيام... رواه مسلم

Maksudnya: Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa dan malamnya dengan beribadat.

Jika dia berpuasa dengan beranggapan bahawa puasa Rejab adalah lebih baik daripada puasa pada bulan lain maka dalam masaalah ini ada beberapa pendapat. Ibnu Hajar lebih cenderung kepada pendapat menegahnya.
Dinukilkan daripada Abu Bakar al Tartusyi di dalam kitab "البدع والحوادث " bahawa puasa bulan Rejab adalah makruh disebabkan 3 perkara:

1) Jika orang-orang Islam mengkhususannya dengan berpuasa pada setiap tahun mengikut orang-orang awam.

2) Ia wajib seperti bulan Ramadhan atau ia sunat yang datang daripada Rsulullah seperti sunat-sunat yang lain
3) Berpuasa pada bulan Rejab dikhususkan dengan pahala yang melebihi bulan-bulan lain.

Jika ada fadhilat tentang perkara ini walaupun sedikit, nescaya Nabi s.a.w telah menerangkannya.

Kata Ibnu Dahyah : Berpuasa adalah amalan yang baik bukan kerana kelebihan berpuasa pada bulan Rejab. Sayidina Umar pernah melarang orang berpuasa pada bulan Rejab.

Orang-orang suka –terutama wanita- untuk menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama dalam bulan Rejab. Amalan sebegini tidak ada asalnya dalam agama dan pahalanya bukanlah melebihi pahala menziarahi kubur pada hari-hari lain.

Perkara yang paling utama dalam bulan Rejab ini ialah kita mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalamnya seperti perang Tabuk untuk kita menggambil iktibar darinya. Kita mengingati peristiwa bagaimana Salahuddin al Ayubi membebaskan al Quds dari tangan orang-orang Kristian (bulan Rejab tahun 583 hijrah/1187 masihi) bagi menyatukan orang-orang arab untuk membersihkan masjid al Aqsa daripada kepala penakluk-penakluk. Kita juga mengingati peristiwa isra’ dan mikraj dan kita menggambil faedah daripadanya mengikut apa yang disukai oleh orang-orang Islam, kerana ia berlaku di dalam bulan Rejab.

Sumber : Fatwa Al Azhar

Diterjemah oleh : Deobandi75
Email : ismr.wrdy75@gmail.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...