بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, July 29, 2011

Iman, takwa prasyarat utama Muslim raih pelbagai keberkatan

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab).” (Surah al-Dukhkhan, ayat 3)


Dalam satu pidato semasa menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan yang agung dan penuh berkat, disebabkan itu Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya Muslim di seluruh pelusuk dunia.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.


Contohnya, air hujan disebut Allah dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman berguna kepada umat manusia.

Menurut Syeikh Rashid Redha, keberkatan Ramadan ialah keberkatan tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi.

Satu lagi kemuncak keberkatan menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran, kitab terkandung peringatan dan keberkatannya.

Pada Ramadan, Allah banyak menurunkan rahmat, memberi pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka. Tidak cukup dengan itu, Allah juga menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Di samping itu, Allah melipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan salih sehingga ratusan dan ribuan kali ganda kecuali ibadat puasa yang menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang yang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri. Amalan muhasabah akan mencetuskan kesedaran dan keinsafan untuk memperbetulkan kesilapan lalu.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat di sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Benar sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Betapa ramainya orang berpuasa sepanjang hari, mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim) Iman dan takwa prasyarat utama seseorang Muslim untuk meraih pelbagai keberkatan dan kebajikan melimpah ruah yang dijanjikan Allah.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Berita Harian2011/07/28

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...