بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, July 14, 2011

Bintang sinetron peluk Islam

Bintang sinetron peluk Islam
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KETIKA usianya menjengah angka 49 tahun, Stendly Delon, akhirnya menemukan satu-satunya jalan kebenaran - jalan Islam untuk beliau lalui - jalan yang tidak akan menyesatkan hidup sesiapa yang mengikutinya.

Dilahirkan di Pulau Makasar, Indonesia, beliau mengucapkan dua kalimah syahadah pada 1 Oktober 2006 dengan mengubah namanya kepada Muhammad Ramadan.

"Sejak kecil lagi, Islam begitu mudah menyerap masuk dalam hidup saya apabila lingkungan hidup saya dikelilingi oleh rakan-rakan muslim yang taat terhadap agama mereka.

"Hampir kesemua teman saya adalah Muslim yang kala sama-sama bermain. Tetapi saya lebih terpegun saat sampai waktunya, mereka akan pulang ke rumah atau ke masjid untuk menunaikan solat.

"Pada saat itu saya begitu ingin sekali menjadi seperti mereka. Tetapi ia sekadar angan-angan si kecil sahaja ketika itu. Tentu sahaja impian seperti itu tidak mudah untuk terlaksana," katanya.

Keinginannya untuk memeluk Islam memang telah terpendam sekian lama sehingga dalam hati sering tertanya-tanya bilakah akan bergelar mualaf. Keadaan itu berlarutan sehinggalah Stendly tamat sekolah menengah.

Pada awal 1970-an Stendly mengambil keputusan berhijrah ke Jakarta, ibu kota yang bakal menyaksikan lahirnya seorang lagi bintang filem terkenal Indonesia, Stendly Delon.

Impiannya ialah untuk menjadi kaya raya dan terkenal. Maka semua itu kononnya dapat dikecapi apabila bergelar bintang sinetron.

Saat tiba di Jakarta, Delon bertemu dengan seorang wartawan, Firman Bintang yang tidak ubahnya seperti bapa angkat yang banyak membantunya menggapai bintang-bintang dalam dunia seni perfileman.

Ketika itu merupakan zaman keemasan Indonesia dengan pelbagai penerbitan filem-filem bermutu tinggi dan sering mencatatkan kutipan jualan tiket yang sangat memberangsangkan.

Delon sendiri menciptakan namanya yang tersendiri. Namun hidupnya tidak pernah berenggang dengan Firman yang sekarang ini merupakan Pengarah syarikat perfileman Bintang Inova Citra Picture.

"Saya tidak pernah melupakan impian sejak kecil iaitu mahu memeluk Islam.

"Maka manusia yang sering menjadi mangsa untuk saya meminta direalisasikan impian itu adalah Firman sendiri.

"Setiap kali berpeluang menghabiskan masa dengannya sama ada di masa senggang mahupun ketika kami berada di lokasi pengambaran, saya sering memberitahu niat untuk menjadi seorang mualaf, ingin menjadi seorang muslim sepertinya.

"Tetapi setiap kali itu juga Firman akan menyarankan saya agar belajar terlebih dahulu mengenai Islam.
"Walaupun beliau sendiri tahu bahawa dengan dia juga saya banyak belajar mengenai Islam dan begitu juga dengan sumber lain, masa saya banyak diperuntukkan untuk saya mengenali Islam dengan lebih dekat lagi," katanya.

Peluang keemasan

Namun setiap kali dirasakan Delon sudah mempunyai asas yang kuat mengenai Islam, tetapi setiap kali itu juga Firman menolak permintaan Delon memeluk Islam.

Semua itu tidak menyebabkan Delon putus asa. Dia tahu selagi belum benar-benar bersedia menurut pandangan Firman, dia tidak akan dilepaskan untuk memeluk Islam.

Menukar agama bukan perkara yang boleh dilakon-lakonkan seperti dalam filem mahupun drama.

"Firman sering menjawab dengan bijaksana. Katanya jangan kerana saya sering berada bersama-sama umat Islam menyebabkan saya juga terikut-ikut untuk menjadi seorang Muslim.

"Pada hal saya harus meyakini sepenuhnya Islam itu sebagai sebuah agama yang suci, jalan yang benar kerana tiada jalan lain yang benar kecuali Islam, jika kita benar-benar mengetahui," ujar Delon.

Namun hidayah dari Allah itu akhirnya terjawab dengan rasminya apabila pada tarikh 1 Oktober 2006 Delon akhirnya beroleh peluang keemasan untuk memeluk Islam.

Dia mengambil kesempatan dari majlis kesyukuran dan berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim dan krew filem yang bernaung di bawah Bintang Inova Citra Picture.

"Kebetulan saya merupakan pelakon sinetron di bawah asuhan Firman. Saya menemui beliau. Saya utarakan kembali niat saya untuk menjadi mualaf dan ternyata Firman akhirnya memberikan maklum balas positif terhadap niat saya.

"Dengan mendapat bimbingan Dr. Husen Shihab, seluruh warga anak yatim dan krew filem menyaksikan proses pengislaman saya itu dalam suasana yang benar-benar dirahmati Allah, iaitu ketika meraikan anak-anak yatim, di bulan yang diberkati Allah itu sangat-sangat saya rasai," katanya.

Semua itu memudahkan Delon memilih identiti barunya dengan nama Muhammad Ramadan yang begitu memberi kesan kepada peribadinya untuk bergelar muslim sejati.

Dia melakukan solat, puasa dan lebih menarik walaupun dalam usia yang sudah lewat ia tidak menghalangnya untuk berkhatan bagi memenuhi syarat-syarat menjadi seorang Muslim.

"Saya menjadi Muslim ketika berusia 49 tahun. Ia sangat luar biasa kerana sejak sekolah rendah lagi saya mula mengenali Islam.

"Tetapi hanya baru sekarang merasakan hidayah dan peluang menjadi Muslim," katanya.


Menyenangi alunan azan
"BAYANGKAN berapa tahun lamanya saya peruntukkan masa bagi mendapatkan Islam itu.

"Namun alhamdulillah, ternyata Allah memberkati dan merestui langkah saya ini yang menyebabkan saya sangat bangga menjadi Muslim," kata bintang sinetron Indonesia Stendly Delon yang kini dikenali sebagai Muhammad Ramadan.

Meski pun dikira terlambat tetapi dengan memeluk Islam ia membuatkan beliau tetap bertenaga seperti anak muda.

"Malah seperti anak yang baru dilahirkan, saya terus berpuasa dan alhamdulillah dapat menjalaninya dengan tabah dan kuat tanpa ada sebarang masalah," katanya.

Semangatnya juga semakin berkobar untuk belajar lebih banyak mengenai Islam, termasuk membuat perbandingan antara al Kitab (Injil) dengan al-Quran.

"Tentu sahaja melalui Islam, ajarannya jauh melebihi apa juga ajaran agama lain dengan mempunyai aturan yang sangat lengkap terhadap umatnya.

“Walaupun dahulunya saya beragama Kristian tetapi yang lebih dekat dengan saya adalah masjid berbanding gereja yang menyebabkan saya lebih membesar bersama dengan Islam berbanding Kristian itu sendiri," katanya.

Azan yang sering berkumandang dari menara-menara masjid antara pendorong uta,a yang menyebabkan Ramadan tertarik kepada islam.

"Ketika usia masih kecil, saya begitu menyenangi alunan azan yang kedengaran tiap kali waktu solat sehingga saya dapat menghafal dan mengalunkan semula azan itu,

"Ketika mendengar suara azan hati ini rasa amat damai sekali. Saya tidak tahu mengapa. Namun bagi saya azan benar-benar satu panggilan saya kepada Islam kerana mendengarkannya, sangat mendamaikan hati.

"Jadi, suara azan dengan saya, kami umpama sahabat yang sangat akrab yang kekal bertahun-tahun dan selamanya akan tetap begitu," ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...