Ingat Dua Perkara :
SATU - Kebaikan orang kepada kita : kebaikan orang kepada kita hendaklah selalu diingati. Orang yang pernah menolong kita dengan nasihat, wang ringgit, tenaga dan sebagainya perlu diingat. Jika boleh, dibalas dengan budi yang setimpal atau lebih. Ini akan menyebabkan kita mudah menjadi orang yang pemaaf kerana merasakan kebaikan orang lain melebihi kesalahannya. Lebih-lebih lagi nikmat Allah kepada kita perlu selalu diingat dan disebut-sebut sebagai tanda kesyukuran dengan lidah dan hati. Firman Allah yang bermaksud : "Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)" (Al-Duha [93] : 11)
DUA - Kesalahan kita kepada orang : Hendaklah sentiasa ingat kesalahan kita kepada orang lain agar terdorong kita meminta maaf. inilah yang akan membuahkan kasih-sayang sesama manusia kerana Allah. Lebih perlu kita ingat dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Ini akan menimbulkan rasa insaf, takut dan menyesal yang akan mendorong kita bertaubat. Dosa yang menyebabkan kita menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.
Lupakan Dua perkara :
SATU- Kebaikan kita kepada orang : Jangan sesekali mengungkit-ungkit jasa dan kebaikan kita kepada orang lain. Sikap mengenang dan mengungkit kebaikan diri akan membatalkan amal. Lebih-lebih lagi, perkara yang perlu kita lupakan adalah segala amal ibadah yang telah kita kerjakan kerana Allah. Perbuatan tersebut hanya akan mencalarkan keikhlasan. Oleh itu, setelah beramal, berendah dirilah. Dengan itu, kita akan selamat daripada timbul rasa ujub, riya' atau bangga diri.
DUA - Kejahatan orang kepada kita : Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa pernah bersalah dengan kita. Ini akan membantu kita mengawal rasa marah dan dendam. Kita hanya hamba Allah, dan apabila hamba Allah yang lain melakukan kesalahan kepada kita, anggaplah kita layak disakiti kerana kita hanya hamba Allah. Lebih perlu kita lupakan adalah segala kesusahan, ujian, musibah atau mala petaka yang Allah timpakan itu semua adalah petunjuk daripada Allah untuk "memujuk" manusia kembali kepadaNya.
Majalah Solusi
No comments:
Post a Comment