بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, November 3, 2012

Pujuklah Rasa: Membangun rasa ikhlas



Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah
Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah

DR ROBIAH K.HAMZAH

31 Oktober 2012


Pesanan ini menjelaskan yang tujuan kita lahir adalah untuk mengubah dunia dari padang pasir menjadi oasis berdasarkan kemampuan masing-masing.


Lalu kita terus berkerja keras memburu bahagia berasaskan konsep manusia adalah khalifah-NYA di bumi. Bahagia memang seharusnya di-miliki oleh semua kerana menurut fitrahnya, manusia itu diciptakan dengan pelbagai kelebihan dan kesempurnaan.

Manusia adalah ciptaan-NYA yang paling sempurna jika dibandingkan dengan makluk lain. Kenyataan ini sangat jelas diterangkan melalui al-Quran yang mulia:

Dan sesungguhnyaKami telah memuliakan anak Adam dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, danKami telah berikan rezeki yang baik kepada mereka, dan Kami telah lebihkan mereka di antara makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.(al-Israa’ : 70)

Tawaran ini diperkuatkan lagi dengan bonus daripada ALLAH SWT yang bermaksud:

Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan AKu perkenankan bagimu. (al-Mukmin : 60) 

Begitu hebat tawaran dan layanan serta jaminan ALLAH SWT kepada anak Adam ini. Tetapi, tawaran harga runtuh ini tidak disambut dan dirasakan sepenuhnya. Jika bersambut, pasti kita ini sudah hidup serba memuaskan, berjaya dalam semua bidang yang diceburi... pekerjaan, kewangan, keluarga, kesihatan dan hubungan dengan orang lain. Namun, yang terjadi adalah sebaliknya... serba mundur dan terkebelakang dalam semua perkara hingga pada banyak situasi sudah menjadi ‘makanan’ orang kafir.


Ini berpunca daripada sikap kita yang sudah melupakan fitrah sebagai manusia. Fitrah yang dijadikan dalam bentuk sebaik-baik kejadian. Dibekalkan naluri tinggi, diberikan akal, dihantarkan Nabi sebagai contoh ikutan dan pemberi peringatan, diturunkan wahyu sebagai panduan, masih sesat juga. Maka, gerakan pembaikan paling penting ialah berusaha kembali kepada fitrah diri sehingga semua kita layak menjadi sebaik-baik ciptaan sesuai dengan acuan-NYA yang asal.

Persoalannya sekarang, bagaimana mahu kembali menjadi sebaik-baik ciptaan ini? Antara caranya ialah kembali menjadi manusia yang seimbang dari segi kecerdasan. Dimulai dengan kecerdasan fizikal, diikuti intelektual, emosional dan spiritual. Kecerdasan fizikal dan intelektual diperolehi melalui sistem pendidikan. Kecerdasan emosi didapati daripada pergaulan. Manakala kecerdasan spiritual terhasil daripada kematangan pengalaman hidup sehingga kita bertemu dengan sikap terbaik iaitu ikhlas.

Bagaimana kita boleh memperolehi semua kecerdasan ini secara amali? Caranya, kita harus belajar daripada makna ‘berfikir’... cara mengelola emosi yang menjadi jalan untuk membangun rasa ikhlas, cara mengetahui sama ada kita sudah sampai ke tahap ikhlas atau belum dan  cara mengukurnya. Mereka yang sudah kembali kepada fitrahnya akan lebih mudah menuju ke arah sikap ikhlas ini. Jika hilang kesempurnaan ini, maka mereka tidak akan mampu menjaga fitrahnya.

Apa sebenarnya ciri-ciri kesempurnaan itu? Ia bermula dari dalam diri yang terbangun rasa ketenangan, kreativiti, energi, semangat, pengetahuan dan kefahaman yang sentiasa bertambah. Kesempurnaan disebut dalam al-Quran. Menurut Pemikir Islam Murtadha Mutahari:

Fitrah itu adalah bawaan diri yang sudah melekat dalam diri manusia iaitu kalbu dan nurani yang mendorong pemiliknya untuk mendapat hakikat kebenaran. Bagi memahami contoh fitrah, kita harus melihat anak-anak kecil. Anak-anak ini akan selalu berasa bahagia, senang, tanpa bebanan dan tanggungjawab serta sangat fokus bila melakukan sesuatu. Cuba lihat anak bermain, pasti bermain sungguh-sungguh. Ketawa juga sungguh-sungguh. Bahkan menangis juga sungguh-sungguh dan tidak pernah bertanya esok bagaimana? Mereka hidup untuk hari ini dan berbahagia dengan apa yang ditemuinya pada ketika ini.

Inilah sebenarnya sikap yang perlu kita pertahankan  dalam hidup agar diri sentiasa tetap pada fitrah. Tapi sayang, persekitaran hidup telah banyak melencongkan kita hingga jauh daripada fitrah. Kanak-kanak yang pada mulanya kaya dengan kesempurnaan mula dibutakan mata dan hati akibat dikikis oleh persekitaran hidup yang dilalui.


Kesempurnaan itu pudar akhirnya bila mereka mula meningkat dewasa. Matilah rasa bahagia yang dibawa dari lahir itu. Digantikan dengan keluh kesah, prasangka buruk dan lain-lain perasaan negatif.

Oleh itu, mari kita bersama berusaha mendapatkan kebahagiaan yang hilang dari diri. Anak-anaklah yang membekalkan kita rasa ikhlas, berprasangka baik terhadap orang lain dan selalu bersyukur dengan apa yang diperolehi. Jika kita benar-benar meyakini bahawa setiap manusia yang lahir itu sempurna, maka tiada istilah tidak mampu dalam pemikiran dan perasaan.

Misalnya anak kecil yang baru belajar duduk, berdiri dan berjalan akan terus mencuba sepenuh hati walaupun tubuh belum siap menjalankan tugas tersebut. Semangat ini membara dalam diri kerana di mindanya belum ada konsep tidak mampu. Semua cabaran dihadapi dengan sungguh-sungguh, penuh semangat, tawa dan air mata.

Perjuangan itu dilakukan dengan penuh keikhlasan walaupun akan jatuh dan sakit-sakit. Anak ini tidak akan berhenti sehinggalah dia dilemahkan dengan perkataan ketidakmampuan daripada orang dewasa di persekitarannya seperti ‘jangan’ dan ‘tak boleh’ berulang-ulang kali.

Bila ini berlaku, maka anak kecil yang ikhlas berbuat dengan penuh tenaganya dan yakin diri yang tinggi mula meragukan keupayaannya. Maka, terjejaslah elemen kesempurnaan yang dibawa dalam fitrah dirinya dan cacatlah tahap ikhlas yang dipegangnya.

Secara fitrah, semua manusia mempunyai perasaan terkuat dalam hati iaitu ‘sanggup menentukan dan me-rancang kehidupannya sendiri’. Rasa hebat dan mampu ini akan terbukti apabila usaha yang dilakukan itu direndah-rendahkan orang lain. Kita pasti mengalami rasa tidak senang hati. Mungkin juga rasa tidak senang itu terpapar pada wajah. Misalnya, masakan kita dikatakan tidak sedap atau hasil kerja dikatakan tidak sempurna.

Ia berlaku kerana dalam hidup, kita ‘dipaksa’ menurut acuan kesepakatan masyarakat yang membentuk alasan dan pemikiran baru yang mampu menggugat kekuatan fitrah diri kita. Lalu lumpuhlah fitrah kesempurnaan diri kerana harus masuk ke acuan masyarakat yang banyak bertentangan dengan potensi maksimum dan fitrah kita. Juga meracuni rasa ikhlas kita daripada terus subur sebagai satu gaya hidup.

Oleh itu, mari kita bangunkan semangat baru bahawa sebenarnyaTuhan menciptakan manusia bukan untuk mengalami kegagalan dan kegagalan pula bukanlah nasib. Melainkan ia merupakan serangkai keputusan yang kurang tepat yang selalu boleh diperbetulkan ke arah keberhasilan dan kejayaan.

Maha Agung ALLAH SWT yang menjadikan perasaan sebagai aset utama manusia. Perasaan merupakan tenaga yang paling kuat getarannya kepada alam sekitar dan tubuh kita. Ia mampu mengalahkan getaran otak. Disebabkan itulah kita boleh menukar kehidupan yang berprasangka buruk hanya dengan mengubah perasaan di hati kepada yang bersifat positif seperti ikhlas.

Hati yang ikhlas bermakna menyerahkan seluruh hidup hanya kepada ALLAH SWT setelah berusaha secara maksimum. Dengan penyerahan total ini, akan terpancar perasaan terkuat dalam hati bahawa apa yang dilakukan hanyalah untuk mencari redha-NYA. Bila perasaan ikhlas sudah terpahat, ia akan membuahkan kebahagiaan yang tiada tandingan.

Yakinlah kita bahawa manusia ini sangat beruntung kerana dikurniakan dengan perasaan. Inilah yang menjadi alat utama untuk mengukur jauh atau dekatnya tujuan gerak kita dengan ‘aliran keberkatan’ ILAHI.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...