Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah |
23 Oktober 2012
Mari kita mendongak ke langit melalui
bicara ALLAH SWT ini yang terpateri dalam al-Quran yang mulia:
Maka, apakah mereka tidak melihat langit
yang ada di atas mereka bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan
langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikit pun? (al-Qaaf : 6)
Persoalannya, apakah mereka tidak
memerhatikan ketinggiannya, kekukuhannya dan kestabilannya? Bagai-mana pula
dengan perhiasan dan keindahan langit serta kesempurnaannya tanpa ada cacat
ataupun kekacauan, adakah mereka memerhatikannya juga?
Sesungguhnya keteguhan, kesempurnaan serta keindahan itu merupakan sifat langit
yang serasi dengan struktur makrokosmos, di samping kesepaduan pada kebenaran,
kekukuhan dan keindahannya.
Mana mungkin kita tidak mampu merasakan keagungan dan kehadiran-NYA Yang Maha
Bijaksana menciptakan topi keledar terhebat untuk kita semua dengan serba
kemudahan untuk hidup di bumi. Mari pujuk hati untuk merasakan betapa hebat dan
bersyukurnya kita dianugerahi kurniaan terhebat ini….
Sekarang mari rundukkan pandangan kita ke bumi sebagai juadah kebenaran yang
agung dan kukuh yang menjadi landasan indah melalui sentuhan-NYA:
Kamihamparkan bumi ini dan Kami letakkan
padanya gunung-ganang yang kukuh.Kami tumbuh-kan segala macam tanaman yang
indah di pandang mata.(al-Qaaf : 7)
Bumi yang terbentang, gunung-ganang yang
teguh serta tanaman yang subur mengilustrasikan kestabilan, kekukuhan dan
keindahan bagi mata yang tadinya mampu melihat langit yang mengagumkan.
Bangunan langit tinggi yang dihiasi beraneka makhluk dan bumi yang terbentang kukuh
terhidang hikmah serta peringatan buat kita merasakan Maha Agungnya DIA.
Seteguh janji-NYA yang terakam dalam al-Quran:
Untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi
setiap hamba yang kembali (mengingati ALLAH).(al-Qaaf : 8)
Bila sudah mampu menjadikan pesanan ini
pelajaran dan peringatan, bermakna kita dapat menyingkap hijab, menyinari
pandangan, membuka kalbu serta menautkan roh dengan makrokosmos yang
menakjubkan.
Keindahan ciptaan, hikmah dan keteraturan yang ada di sebalik semua ini menjadi
pelajaran buat dimanfaatkan oleh setiap hamba yang kembali, iaitu hamba yang
pulang kepada TUHAN dengan secepatnya.
Inilah bentuk komunikasi kalbu hamba dengan aneka pengaruh alam semesta yang
indah dan mempesonakan. Hubungan inilah yang mencipta pengaruh dalam kalbu
manusia dan nilai pada kehidupan mereka, hubungan yang didirikan al-Quran di
antara pengetahuan dengan ilmu, antara manusia yang memahami dan mengetahui.
Apa yang terjadi pada hubungan ini? Ia telah diputuskan oleh kaedah kajian
ilmiah moden yang dicipta untuk memutuskan jalinan yang disambung-NYA antara
manusia dengan alam semesta. Putusnya hubungan ini mengakibatkan kehidupan
manusia menjadi kacau dan tidak selari dengan mahunya alam.
Kehidupan manusia tidak akan baik dan benar sehingga-lah denyutan jantung
mereka seirama dengan denyutan alam semesta. Maksudnya, manusia harus
menghayati pengetahuan tentang bintang, planet, flora dan fauna sehingga
menimbulkan keintiman dengan alam semesta, memperkukuh jalinan pertemanan
antara mereka dengan benda dan makhluk hidup lainnya yang bermuara kepada Yang
Maha Pencipta alam.
Ikatan ini amat penting kerana alam semesta merupa-kan kitab kebenaran terbuka
yang dapat dibaca oleh setiap bahasa, yang dapat difahami oleh segala sarana,
yang mampu ditelaah oleh penduduk desa yang tinggal di kampung juga warga kota
yang menghuni istana.
Kita mampu menelaahnya sesuai dengan tahap kemampuan dan tujuan masing-masing.
Hasil yang diraih pula akan sesuai dengn niat dan tahap usaha yang dicurahkan.
Hasil terbaik akan dapat dicapai andai kita menelaahnya dengan semangat dan
niat mencari kebenaran. Kerana kita yang bernama alam semesta ini setia
menunggu untuk dijamah sebagai kilang mendapatkan pelajaran dan peringatan oleh
setiap hamba yang kembali (mengingati-NYA).
Kita harus segera sedar kerana kaedah penelitian yang dikatakan ilmiah serta
moden itu sebenarnya adalah pedang yang amat tajam... memotong dan memisahkan
alam semesta daripada kalbu kita selaku makhluk ciptaan-NYA yang tinggal di
dalamnya, padahal kitalah yang bercerita tentang keagungan Tuhan dengan
seterang-terangnya. Sepatutnya alam semesta menyatukan kalbu manusia dengan
hakikat keagungan-NYA yang menciptakan.
Mengubah prinsip dan hakikat ini menjadi sentuhan yang mempengaruhi perasaan
serta kehidupan manusia. Alam semesta ini bukanlah sumber pengetahuan yang
beku, kering dan tidak memberikan apa-apa pun daripada hikmahnya yang indah.
Tetapi, ia menjadi sumber yang memperkaya keimanan kita kepada Pencipta
yang menghidup serta membangkitkan kita kelak.
Pesanan ini dimatlamatkan agar kita merasakan cinta-NYA yang terus mengurus
urusan manusia:
Kamiturunkan dari langit air yang banyak
man-faatnya. Lalu, Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji
tanaman yang diketam dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang
bersusun-susun untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba (Kami). Dan Kami hidupkan
dengan air itu tanah yang mati (kering). Seperti itulah terjadinya kebangkitan.(al-Qaaf
: 9-11)
Maka, pengajaran yang harus dirasakan kita
ialah ALLAH SWT itu sangat mampu menghidup dan mematikan apa-apa pun di dunia
ini dengan sangat mudahnya kerana DIA itu raja yang Maha Perkasa. Rasakan itu
wahai hamba ALLAH SWT...
No comments:
Post a Comment