berbudi kepada tanah tidak ada ruginya, begitulah juga sekiranya kita berusaha, pasti ada imbuhannya. - Gambar hiasan |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SETELAH Allah SWT menyebut pelbagai
nikmat-Nya yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya, antaranya Dia
menghidupkan bumi yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan,
kemudian Dia menyebut pula nikmat-nikmat-Nya yang lain seperti; menciptakan jalan-jalan
yang terdapat di lautan atau di daratan sehingga manusia mampu menggunakan
jalan tersebut untuk mencari rezeki walaupun di negeri yang jauh.
Firman Allah SWT:
Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat. (Yasin: 41)
Ibnu Kathir berkata: "Perahu yang
dipenuhi barang-barang dan haiwan yang berpasang-pasangan diperintahkan oleh
Allah SWT. Demikian yang dikatakan oleh Sa'id bin Jubair, al-Sya'bi, Qatadah
dan al-Suddi sedangkan al-Dahak dan Ibnu Zaid berkata: Iaitu perahu Nuh
as."
Al-Sabuni berkata: "Pada mukadimah
ayat ini, ditanggung dengan tiga makna iaitu pengajaran bagi mereka. Ini kerana
pada ayat-ayat Allah penuh iktibar. Yang kedua nikmat ke atas mereka. Ini
kerana pada ayat-ayat penuh dengan pemberian nikma dan ketiga peringatan bagi
mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah penuh dengan peringatan."
Berkenaan dengan dua dhomir (ganti
nama) berlainan seperti yang dinukilkan oleh al-Mahdawi. Adapun pendapat yang
lain, dua dhomir kembali kepada penduduk Mekah.
Al-Maraghi berkata: "Antara
tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia menjadikan manusia mampu mengenderai
kapal-kapal yang dimuatkan dengan pelbagai jenis barang dagangan dalam bentuk
bahan makanan dan lain-lain yang mereka angkut dari satu daerah ke daerah yang
lain."
Sekiranya Dia tidak melakukan demikian,
tentu manusia tidak akan mempunyai keturunan dan generasi untuk meneruskan
kehidupannya.
Firman Allah SWT:
Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya. (Yasin: 42)
Terdapat tiga pandangan ulama iaitu Al-Aufi
berkata daripada Ibnu Abbas ra yang dimaksudkan adalah unta. Ini kerana unta
bahtera daratan yang digunakan membawa sesuatu dan ditunggang.
Riwayat yang lain, unta dan segala binatang
yang boleh ditunggang. Ia bermaksud kapal atau perahu. Pendapat ini juga
dinyatakan oleh Abu Malik termasuk perahu yang kecil.
Al-Maraghi berkata: "Kami ciptakan
pula kenderaan lain yang dapat dikenderai di daratan seperti unta yang mampu
menempuh perjalanan di padang pasir. Ini berdasarkan seperti yang dikatakan
oleh seorang penyair Unta diibaratkan kapal-kapal di daratan. Padang pasirnya
diibaratkan lautan."
Dalam ayat ini Allah SWT tidak menentukan
apa sahaja yang dikenderai oleh manusia, tetapi Dia menyebutkan ma
yarkabun, kerana Dia Maha Tahu pelbagai kenderaan yang akan dicipta oleh
manusia. Justeru, dianggap sebagai mukjizat selain al-Quran.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas
menunjukkan kepada kita betapa Allah Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Boleh melakukan
apa sahaja mengikut kehendak-Nya.
Menariknya al-Quran membuka minda manusia
supaya berfikir berkenaan dengan kekuasaan Allah melalui pengamatan segala
ciptaan-Nya. Ini sudah tentu membawa keinsafan kepada semua manusia yang
mengambil iktibar dan pengajaran.
Begitu juga Allah SWT mengisahkan betapa
perjalanan masa mengikut ketentuan-Nya yang boleh melakukan apa sahaja.
Oleh itu, sewajarnya kita mengambil iktibar
daripada peristiwa yang berlaku dan juga hasil ciptaan Allah SWT yang boleh
mendekatkan kita kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment