Perbuatan mencederakan diri yang dilakukan oleh segelintir umat Islam pada setiap 10 Muharam dilarang sama sekali memandangkan tindakan berkenaan bertentangan dengan ajaran Islam selain menyerupai amalan golongan jahiliah. |
SOALAN:
BOLEH ustaz jelaskan apakah yang dimaksudkan
dengan puasa Asyura? Benarkah perintah berpuasa pada hari itu bersempena dengan
peringatan pembunuhan Saiyidina Husein di padang Karbala?
JAWAPAN:
ASYURA berasal daripada kata 'asyarah yang
bermakna: "10". Hari Asyura maksudnya adalah hari ke-10 daripada
bulan Muharam.
Hari ini sangat dihormati oleh bangsa Arab
pada masa Jahiliah, terutamanya kaum Quraisy. Pada hari itu mereka mengganti
kiswah (kelambu) yang menutupi Kaabah dan berpuasa.
Besar kemungkinan amalan itu merupakan
peninggalan syariat Nabi Ibrahim yang masih berlaku di kalangan bangsa Arab
pada saat itu. Itu sebabnya Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari Asyura
semasa baginda masih berada di Mekah.
Apabila berpindah ke Madinah, Rasulullah
SAW melihat bangsa Yahudi yang menetap di sana berpuasa pada hari Asyura juga.
Baginda bertanya: "Mengapa kalian
berpuasa pada hari ini?" Mereka menjawab: "Hari ini hari baik. Pada
hari ini Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Oleh itu Nabi
Musa berpuasa padanya."
Rasulullah SAW bersabda: "Aku lebih
berhak dengan Musa daripadamu." Baginda lalu berpuasa dan memerintahkan
para sahabat untuk berpuasa.
Puasa Asyura hukumnya wajib pada tahun
pertama kehadiran kaum Muslimin di Madinah. Hukum itu mula berubah apabila
Allah menurunkan kewajipan puasa Ramadan satu tahun kemudian.
Siti Aisyah berkata: "Selepas puasa
Ramadan diwajibkan, maka sesiapa yang hendak berpuasa pada hari Asyura, maka
dipersilakan. Dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dipersilakan."
Namun begitu, puasa pada hari Asyura tetap
disunatkan dan mengandungi fadilat besar. Rasulullah SAW menyatakan bahawa
puasa pada itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya. Demikian
diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah.
Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, puasa Asyura
terdiri daripada tiga tingkatan. Tingkatan yang paling rendah berpuasa hanya
pada hari ke-10 sahaja. Tingkatan pertengahan berpuasa pada hari kesembilan dan
ke-10. Tingkatan tertinggi adalah berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11
Muharam.
Pembunuhan Husein
Daripada penjelasan singkat di atas,
jelaslah puasa Asyura bukan kerana pembunuhan Sayidina Husein bin Ali cucu Nabi
Muhammad SAW yang berlaku di Karbala pada tahun 61 Hijrah. Pendapat sebegini
tidak pernah dikenal dalam ajaran ahli sunnah wal jamaah.
Sebaliknya, mengaitkan Asyura dengan
pembunuhan Sayidina Husein berasal daripada aliran Syiah. Mereka memperingati
peristiwa itu dengan meratap bersama-sama. Ada juga yang menganjurkan perarakan
di jalan-jalan sambil melukai tubuh dengan benda-benda tajam. Perbuatan ini
haram dilakukan menurut para ulama.
Peristiwa pembunuhan Sayidina Husein adalah
lembaran hitam dalam sejarah Islam. Sebagai umat yang mencintai keluarga Nabi
Muhammad SAW, kita mengutuk pelaku perbuatan kejam itu. Namun kesedihan tidak
boleh membawa kita kepada perilaku melampau yang bertentangan dengan ajaran
Islam sendiri.
Baginda pernah bersabda: Bukan
termasuk daripada golongan kami orang yang suka menampar muka, mengoyak baju
dan melaungkan sebutan-sebutan Jahiliah. (riwayat al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment