Sumber Gambar |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
ALHAMDULILLAH, dirafakkan kesyukuran kepada
Allah dan kita masih lagi membicarakan surah Yasin. Dalam ayat-ayat yang
berikut, Allah SWT menceritakan perihal seorang pemberi nasihat yang mati
syahid (Habib) dan akhirnya masuk syurga. Kemudian diterangkan pula keadaan
orang yang ditinggalkan-Nya kerana tidak mengikut nasihat-Nya. Menurut
sunnatullah, orang seperti mereka ini pasti diazab di dunia atau di akhirat.
Firman Allah SWT:
Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima agama mereka? maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Yasin: 22)
Mengapa aku harus menyeleweng dari jalan
ini. Fitrah manusia tertarik kepada Pencipta yang menjadikannya. Dia tidak akan
menyeleweng darinya melainkan dengan dorongan lain yang bertentangan fitrahnya.
Dari awal lagi dia bertawajuh kepada Allah SWT. Ia tidak memerlukan unsur luar
dari tabiat semula jadi jiwanya. Lelaki yang beriman ini merasakan semua
hakikat ini dari lubuk hatinya.
Oleh yang demikian dia mengeluarkan
kata-katanya yang amat jelas tanpa berpura-pura. Dia juga sedar dengan
fitrahnya yang benar dan bersih pada akhirnya akan kembali kepada Maha Pencipta
sebagaimana segala sesuatu itu pulang kepada asalnya.
Firman Allah SWT:
Patutkah aku menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. (Yasin: 23)
Al-Maghari berkata: "Apakah wajar aku
menyembah tuhan selain Allah yang tidak mampu melakukan sesuatu pun. Kalau
Allah hendak menimpakan musibah. Sudah tentu tiada siapa yang dapat menolongku
selain Dia."
Syed Qutub berkata: "Siapakah lagi
yang lebih sesat dari orang yang meninggalkan logik fitrah yang menyeru makhluk
supaya menyembah Penciptanya lalu dia menyeleweng kepada menyembah selain Allah
SWT."
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. (Yasin: 24)
Al-Qurtubi berkata: "Iaitu kerugian
yang amat nyata."
Syed Qutub berkata: "Lelaki itu
menyatakan keputusannya di hadapan kaum yang telah mendustakan para rasul dan
mengancam keselamatan mereka kerana suara fitrah dalam hatinya lebih kuat
daripada segala pendustaan dan ancaman."
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku). (Yasin: 25)
Qatadah berkata: "Ketika kaumnya
melontarnya dengan batu-batu, lelaki itu pun berkata: Ya Allah! Berilah
petunjuk kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak tahu. Walau
bagaimanapun mereka berterusan melemparnya dengan batu sehingga beliau
meninggal dunia."
Firman Allah SWT:
(setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam syurga. Ia berkata: Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Tuhanku memberi keampunan kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan. (Yasin: 26-27)
Ibnu Abbas berkata: "Lelaki itu semasa
hidupnya sentiasa memberi nasihat kepada kaumnya dengan mengatakan: Wahai
kaumku, ikutlah rasul-rasul itu dan setelah mati di Akhirat beliau mengatakan:
Alangkah baik sekiranya kaumku mengetahui Allah mengampuni dosaku dengan
menjadikanku termasuk dalam golongan orang yang dimuliakan."
Firman Allah SWT:
Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya. (Yasin: 28)
Al-Maghari berkata: "Kami tidak perlu
menghantar pasukan tentera dari kalangan malaikat untuk menghancurkan kaum
Habib. "
Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Habib
kerana mereka telah mendustakan rasul-rasul-Nya dan membunuh para wali-Nya.
Untuk mengazab mereka, Allah SWT tidak perlu menurunkan pasukan tentera
malaikat dari langit tetapi memadai dengan cara yang paling mudah kerana
menggunakan tentera bukanlah sunnatullah. Kemudian Allah SWT menerangkan
bagaimana kaum Habib dihancurkan.
Firman Allah SWT:
(kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi. (Yasin: 29)
Ibnu Kathir berkata: "Tiba-tiba semua
akan mati dan tiada satupun yang kekal."
Al-Maghari berkata: "Al-Quran tidak
menjelaskan kepada kita bagaimana bentuk pekikan dan oleh itu kita tidak perlu
mereka-reka cerita yang berkaitan dengan bentuk pekikan itu. Yang pentingnya
kita perlu yakin bahawa Allah SWT telah menghukum mereka dengan suatu pekikan
sahaja. Walau bagaimanapun bentuk pekikan itu hanya Allah SWT sahajalah yang
mengetahuinya."
Syed Qutub berkata: "Al-Quran tidak
menerangkan secara panjang lebar bentuk kebinasaan yang menimpa kaum kerana
memperkecilkan taraf kedudukan mereka. Hanya dengan satu pekikan sahaja seluruh
mereka binasa dan mati. Kemudian tirai dilabuhkan menutup pemandangan kesudahan
yang amat malang dan hina. Al-Quran mula memperkatakan mengenai sikap para
pendusta dalam setiap agama. Ia menggambarkan manusia sesat di sepanjang abad.
Ia melahirkan keluhan kecewa terhadap orang yang tidak mahu mengambil
pengajaran dari umat-umat yang binasa sebelum mereka, sedangkan umat tersebut
tidak akan pulang melainkan pada hari Kiamat."
ARKIB : 02/11/2012
No comments:
Post a Comment