بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 7, 2012

Beriman Dengan Allah Dan Hari Akhirat



orang yang beriman akan kekal di dalam syurga selama-lamanya. - Gambar hiasan
Akidah Muslim

SEORANG Muslim hendaklah menyaksikan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, yang diutuskan kepada golongan jin dan manusia dengan petunjuk dan agama yang benar.

Sesungguhnya baginda telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan kesedihan dan berjihad pada jalan Allah SWT dengan sebenar-benar jihad. Baginda juga adalah Rasul yang benar lagi amanah, yang dikuatkan dengan mukjizat-mukjizat yang mencarik adat. Maka, adalah menjadi satu kefarduan ke atas hamba-hamba agar membenarkan baginda mentaati dan mengikutinya.

Perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW juga melibatkan masalah akidah umat Islam di mana tidak akan diterima iman seorang meskipun dia beriman dengan Allah sehinggalah dia beriman dengan baginda dan segala yang diwahyukan serta dikhabarkan kepadanya dari perkara-perkara dunia, akhirat dan alam barzakh.

Antara perkara yang wajib diiktikadkan ialah beriman dengan soalan Munkar dan Nankir kepada orang yang telah meninggal dunia mengenai tauhid, agama dan kenabian. Demikian juga hendaklah beriman dengan adanya nikmat alam kubur bagi orang yang taat dan azabnya bagi orang yang melakukan maksiat. Beriman dengan hari kebangkitan selepas kematian dan hari dihimpunkan segala jasad dan roh untuk berdiri di hadapan Allah SWT.

Begitu juga, hendaklah beriman dengan hisab, bahawa para hamba itu berbeza-beza pada kiraan hisabnya; ada yang diringankan kiraannya dan ada pula yang dipanjang lebarkan. Hendaklah seseorang itu beriman bahawa ada di kalangan mereka yang akan masuk syurga tanpa dihisab terlebih dahulu dan beriman dengan Mizan (neraca timbangan) yang menimbang segala kebaikan dan kejahatan, kewujudan Sirat iaitu titian yang melintang di atas neraka Jahanam, dan kewujudan Telaga Nabi Muhammad SAW yang akan diminum oleh orang-orang beriman sebelum memasuki syurga dan airnya berpunca dari syurga.

Wajib ke atas seseorang itu beriman dengan syafaat para Nabi, kemudian para siddiqin, syuhada, ulama, orang-orang soleh dan orang-orang beriman. Sesungguhnya syafaat agung (al Syafa'ah al 'Uzma) hanya dikhususkan bagi Nabi Muhammad SAW iaitu mempercepatkan Hari Pengadilan di samping baginda memiliki syafaat-syafaat yang lain.

Berkaitan keimanan kita kepada kewujudan neraka pula ialah akan dikeluarkan ahli tauhid yang telah memasuki neraka sehinggalah tidak kekal di dalam neraka orang yang terdapat di dalam hatinya iman walau sebesar zarah.

Sedangkan, orang yang kufur dan syirik pula akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Manakala orang yang beriman akan kekal di dalam syurga selama-lamanya di mana mereka akan melihat Allah di dalam syurga dengan mata kasar mereka yang layak dengan kebesaran dan kesucian sifat kesempurnaan-Nya.

Wajib seseorang hamba mempercayai kelebihan sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan mereka semua adalah golongan yang adil, generasi pilihan dan amanah. Tidak boleh mencaci mereka dan merendahkan kedudukan salah seorang daripada mereka. Khalifah yang benar selepas Rasulullah SAW ialah Abu Bakar al-Siddiq, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Uthman al-Syahid, kemudian Ali al-Murtadha. Bagi mereka kebaikan sehingga Hari Kiamat.


ARKIB : 06/11/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...