Soalan:
USTAZ, jika kita lihat, ada pelbagai gejala yang melanda remaja dan umat Islam pada masa kini. Yang terbaru adalah gejala emo (perbuatan kelar tangan, menjilat darah sendiri serta melakukan seks bebas antara perlakuan dan amalan sumbang pengikut kumpulan emo). Ia dikatakan dianggotai remaja perempuan bermasalah, terutama mereka yang sering tertekan kerana kesedihan dan kekecewaan. Saya rasa kalau remaja ini diterapkan didikan Islam, sudah tentu tiada masalah yang membimbangkan ini. Bukankah pendidikan Islam mampu untuk menjadikan manusia itu salih? Apa pandangan ustaz?
Jawapan:
Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Ketika bayi lahir, Islam berkata kepada ibunya: “Susuilah anakmu sampai umur dua tahun. Anakmu memerlukan makanan yang ada dalam susumu.”
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud: “Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi orang yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
Kalangan ilmuwan membaca ayat ini kemudian meneliti. Mereka membuktikan bahawa benar apa yang disebut dalam al-Quran. Sesudah selesai dua tahun, berakhirlah fasa penyusuan. Masuk fasa seterusnya, anak dididik sesuai dengan bakat dan tingkat umurnya. Ibu hendaklah berperanan paling utama kerana anak masih memerlukan kasih sayang dan perasaan halus yang dimilikinya. Pada umur ini, anak masih belum dapat menggunakan akal sepenuhnya dalam tindakan dan kelakuan.
Dalam fasa ini juga, pendidikan agama patut dimulakan. Apabila hendak mendidik anak, jangan hanya dilakukan oleh seorang atau melihat dalam satu aspek saja tetapi mendidik anak hendaklah menyeluruh iaitu meliputi jasmani, rohani, akal, kasih sayang dan ilmu pengetahuan. Setiap satu ada yang melaksanakan atau menanganinya.
Didikan yang paling baik bagi anak yang berumur prasekolah adalah didikan terus daripada ibu bapanya, sebelum guru di sekolah. Pendidikan ibu bapa sangat penting, sebab sifat positif daripada seorang anak tidak hanya lahir daripada gurunya.
Sifat positif sudah ada pada diri anak sejak telinganya sudah boleh mendengar, sejak matanya sudah mampu untuk melihat dan sejak timbul kemampuannya untuk merakam segala peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Semua ini melekat kuat dalam dirinya dan kemudian membentuk sifat dan tingkah laku yang baik.
Kita perlu ada kasih sayang kepada anak seperti Rasulullah SAW. Contohnya, ketika Rasulullah SAW mengimamkan solat berjemaah, Baginda SAW terdengar suara tangis bayi, lalu Baginda SAW mempercepat solatnya.
Islam mengajar ibu bapa bersikap ramah dan kasih sayang kepada anak. Dengan adanya kasih sayang dapat menghindarkan anak dari gangguan jiwa, rendah diri dan lain-lain sifat negatif.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Malik bin al-Huwairits, beliau berkata (yang bermaksud): “Kami pernah mendatangi Rasulullah SAW dan ketika itu kami adalah pemuda dan umur kami berdekatan (tak jauh beza). Lalu kami bermukim bersama Baginda (di Madinah) selama dua puluh hari. Baginda SAW adalah sangat lembut. Bila Baginda melihat kami begitu menginginkan untuk bertemu keluarga kami atau kami merindui mereka, Baginda pun bertanya perihal keluarga yang kami tinggalkan. Lalu kami pun menceritakannya. Baginda bersabda: Pulanglah kepada keluarga kamu. Tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan suruhlah mereka (dan Baginda bercakap beberapa perkara yang ada yang aku hafal dan ada yang tidak) iaitu solatlah seperti kamu melihat aku solat. Jika waktu solat tiba, hendaklah seorang dari kamu sekalian melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua di antara kamu menjadi imam.”
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW ketika bersama sekumpulan remaja dan Rasulullah sentiasa berpesan. Kalangan remaja atau pemuda berasakan kebahagiaan apabila bersama Rasulullah SAW. Demikianlah, wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment