2012/11/18 - 06:34:07 AM
Oleh
Mohd Kamel Mat Salleh
Suatu yang menjadi kelaziman apabila
berlaku sesuatu kematian ialah membaca ayat al-Quran di sisi mayat. Ia bermula
sebaik saja mayat dibaringkan di rumah sehinggalah ke saat untuk memandikannya.
Malah ada waris dan sanak saudara si mati mengkhatam al-Quran melalui bacaan
yang dibahagikan mengikut juzuk.
Sesiapa saja yang datang melawat jenazah akan mengambil buku bacaan surah Yasin
atau al-Quran untuk dibaca bagi dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si
mati. Surah yang dibaca bukan setakat surah Yasin tetapi juga surah lain dengan
niat yang satu iaitu untuk dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati.
Melihat kepada apa yang diamalkan ini, ia
tidaklah dilarang kerana memang terdapat beberapa nas dan dalil bahawa bacaan
surah Yasin di sisi mayat adalah dituntut.
Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu
(Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).
Ramai ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca surah
Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib
al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Daud al-Fatani.
Al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa lafaz orang mati daripada kalangan
kamu itu boleh membawa kepada dua tafsiran iaitu membacanya di sisi mayat
selepas kematiannya dan membacanya di tanah perkuburan.
Berkaitan dengan saranan Rasulullah SAW agar surah Yasin dibacakan berhampiran
dengan orang-orang yang hampir mati ialah supaya rohnya mudah keluar.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Surah Yasin itu ialah hati
al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan mengharap keredaan Allah dan
kebahagiaan hidup di hari akhirat akan diampunkan dosanya dan bacalah surah
Yasin ke atas orang mati daripada kalangan kamu.
Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan membaca surah Yasin di samping
surah lain, antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa membaca Yasin
pada malam hari kerana menuntut keredaan Allah, nescaya akan dihapuskan oleh
Allah dosa-dosanya, bacalah ia di hadapan orang yang mati daripada kalangan
kamu. (Riwayat at-Tirmizi)
Daripada Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Bahawa bagi tiap-tiap
sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran ialah Yasin, maka barang siapa membaca
Yasin, maka Allah akan mencatat seperti bacaan al-Quran 10 kali. (Riwayat
at-Tirmzdhi).
Berhubung permasalahan ini juga, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat
bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala
kepada si mati termasuk bacaan al-Quran. Walaupun pendapat yang masyhur dalam
mazhab Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan tidak sampai tetapi Ashab
al-Syafie (pengikut mazhab Syafie) menyatakan bahawa pahala bacaan tersebut
sampai. Pendapat ini turut dipegang oleh Imam Hambali.
Menurut seorang ulama besar Universiti al-Azhar Mesir iaitu al-Marhum al-Syeikh
Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya, tiga cara yang sepatutnya dilakukan
berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran adalah seperti berikut:
Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa
si mati. Si mati hendaklah bertawassul dengan perbuatan salihnya iaitu membaca
al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati;
Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan
Allahumma awsil thawaba ma qaranahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa
yang telah kami baca kepada roh si polan);
Diniatkan terlebih dulu di permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran
bahawa pahala bacaan tersebut adalah untuk si polan bin si polan.
Seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya apakah
hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada ruh
si mati. Beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa
ini Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi
Nabi SAW dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakan untuk roh si polan
atau dalam suratan amalannya.
Jika ada yang tidak mahu atau tidak mampu untuk membacakan ayat-ayat al-Quran
kepada si mati, digalakkan juga mendoakan kepada si mati agar diberi
keselamatan, kesejahteraan dan pengampunan daripada Allah buat orang yang
meninggal dunia itu.
No comments:
Post a Comment