بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, October 7, 2011

Teruskan matlamat takwa


Kalam Imam MudaASSALAMUALAIKUM. Mudah-mudahan pembaca akhbar ini sentiasa dalam keadaan sihat dan dalam payung rahmat Allah SWT.

Rabu lalu, Syawal melabuhkan tirainya setelah 30 hari umat Islam meraikan kedatangannya dengan mengadakan serta menghadiri pelbagai undangan rumah terbuka. Saya juga menerima banyak undangan rumah terbuka sepanjang Syawal.

Alhamdulillah, menerusi undangan yang saya hadiri, bukan saja dapat bermaaf-maafan serta merapatkan silaturahim, malah dapat mengenali, membina dan menjalin hubungan persahabatan dengan rakan yang baru saya kenali.

Paling menggembirakan apabila saya dipertemukan semula dengan rakan peserta Imam Muda musim pertama dan kedua dalam majlis rumah terbuka di kediaman Imam Muda Najdi di Kajang, baru-baru ini.

Dalam bual bicara minggu ini, saya mengajak diri saya terutamanya serta pembaca sekalian untuk bermuhasabah diri mengenai semangat serta kesan Ramadan dan Syawal yang berlalu meninggalkan kita.

Perkara pertama saya ingin sentuh adalah matlamat kita sewaktu berpuasa. Adakah ia masih terkesan pada diri kita? Jika kita masih mengamalkan apa disebut oleh Saidina Ali RA iaitu takut akan Allah, beramal dengan apa diturunkan (al-Quran), reda dengan sedikit (sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah walaupun sedikit) dan bersiap-sedia untuk menghadapi hari akhirat, nescaya kita masih dikategorikan sebagai orang bertakwa.

Ciri-ciri orang bertakwa seperti mana disebut Saidina Ali inilah yang kita harapkan, kerana takwa itulah matlamat utama kita berpuasa dan mudah-mudahan sifat takwa itu masih ada pada diri kita. Insya-Allah.


Kedua, perkara yang perlu kita nilai adakah kita masih berdisiplin sebagaimana pada Ramadan lalu? Paling mudah, kita lihat waktu bersahur. Kita akan berhenti makan ketika masuknya waktu imsak, iaitu waktu ‘berjaga-jaga’ sebelum masuknya waktu Subuh.

Ketika itu kita betul-betul berdisiplin menjaga waktu sahur dan jika terlajak waktu imsak, masih dibenarkan makan.

Namun bila azan Subuh berkumandang, seluruh umat Islam hampir serentak berhenti makan, kerana terlalu mengambil berat soal masa.

Begitu juga, bila waktu ‘ifthar’ (berbuka puasa), seluruh umat Islam mula menyuapkan makanan apabila Muazzin melaungkan azan. Tidak kelihatan seorangpun melewat-lewatkan waktu berbuka puasa.

Ini sebenarnya mengajar kita erti disiplin iaitu dengan menjaga waktu sahur dan waktu berbuka.

Mudah-mudahan sikap ini terus kita amalkan, berdisiplin memelihara waktu keluar masuk pejabat, begitu juga bagi pelajar, datang dan pulang dari sekolah mengikut masa ditetapkan.

Bak kata pepatah Arab:

“Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu.”

Begitu juga pepatah Melayu menyebut:
“Masa itu ibarat emas.” 

Bukan itu saja, mengenai kepentingan masa ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr, ayat 1 yang bermaksud: 

“Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian.” 

Ketiga pula, marilah kita bermuhasabah mengenai kesihatan tubuh badan kita.



Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis, bahawasanya, “Berpuasalah kamu, nescaya kamu sihat.” Benarlah sebagaimana sabda baginda itu apabila ayat yang sering kita dengar sepanjang bulan puasa adalah ramai turun berat badannya. Ini menunjukkan amalan berpuasa menjamin kesihatan baik bagi kita semua.



Pakar sakit mental dari Moscow, Dr Yuri menyatakan, dengan terapi puasa yang dilakukan kepada pesakit mental, beliau mendapati keputusan luar biasa, iaitu kebanyakan pesakit beliau beransur pulih.

Ahli perubatan antarabangsa, Dr Mac Fedan berkata, “Setiap manusia memerlukan puasa sekalipun tidak sakit kerana toksin makanan dan ubat berkumpul di dalam tubuh lalu menjadikannya seperti orang sakit dan memberatkannya, oleh itu kecergasannya berkurang. Apabila seseorang berpuasa, dia terlepas daripada bebanan toksin dan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak dialami sebelum itu.” Kata-kata Dr Mac Fedan di atas jelas menerangkan kepada kita, secara fitrahnya manusia sangat memerlukan satu jangka masa untuk merehatkan tubuh badan daripada berterusan menerima toksin berpunca daripada faktor makanan dan ubat-ubatan.

Ini kerana apabila ubat dan toksin berkumpul di dalam badan manusia, ia menyebabkan badan menjadi lemah dan kecergasan akan berkurang.

Begitu juga jika kita melihat sejarah silam, pernah satu ketika seorang remaja yang sihat tubuh badannya berjumpa Ibnu Sina, tokoh perubatan Islam dan pakar psikologi Islam.

Remaja terbabit mengadu masalah kesihatan dialaminya berikutan tabiatnya yang kuat makan sehingga menjejaskan kesihatan.

Remaja itu juga ditolak pinangannya dengan seorang wanita yang sangat dicintainya kerana tubuh badannya gemuk, sekali gus menyebabkannya mengalami tekanan.

Ibnu Sina memberi ubat kepada penyakit zahir dan batin dialami remaja itu iaitu, berpuasa seperti mana puasa Nabi Daud (puasa selang sehari), dan ubat kedua ialah bangun qiamullail setiap malam.

Remaja itu mengamalkan sebagaimana disarankan Ibnu Sina, dan akhirnya mendapati tubuh badannya semakin kurus dan jiwanya semakin baik, tidak merasai tekanan jiwa seperti dialaminya sebelum itu.

Kemudian remaja itu cuba menunaikan hasrat berkahwin dengan gadis dicintainya, malangnya wanita itu meninggal dunia.

Kembalilah remaja ini bertemu Ibnu Sina mengadu masalah. Ibnu Sina bertanya beliau: “Adakah engkau mahu kembali kepada keadaanmu seperti dulu, atau engkau ingin mengalihkan cintamu kepada Tuhanmu yang mengurniakan kamu kesihatan zahir dan batin?” Remaja itu akhirnya memilih cinta kepada Allah sebagai ganti cintanya kepada gadis yang ingin dinikahinya.

Kita boleh melihat kebijaksanaan Ibnu Sina berdepan masalah remaja ini dan ubatnya yang paling mujarab ialah puasa dan qiamullail.

Puasa dapat menguruskan badan dan menjamin kesihatan baik, manakala qiamullail pula mengubati hati yang lara bilamana hatinya sentiasa mengadu dengan Tuhannya.



Inilah dua jenis ubat digunakan Ibnu Sina untuk pesakit seperti dihidapi remaja ini.



Saya ingin mengajak pembaca sekalian supaya kita sama-sama meneruskan amalan puasa sunat dan qiamullail.



Mudah-mudahan amalan ini diteruskan walaupun puasa wajib Ramadan dan puasa enam Syawal berlalu, hinggalah kita bertemu Ramadan dan Syawal akan datang.



Akhirnya, suka saya ingatkan supaya meneruskan amalan ziarah-menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan.



Walaupun Syawal sudah berlalu, kita jadikan amalan ini sebagai penguat tali persaudaraan sesama Islam selain menjaga tiga perkara yang saya nyatakan di atas.



Mudah-mudahan kita berkesempatan bertemu lagi dengan Ramadan masa depan., insya-Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...