Oleh NURUL IZZAH SIDEK
KEBEBASAN adalah suatu konsep yang diimpikan oleh setiap manusia. Kebebasan adalah cara hidup yang sedang dicari oleh remaja. Kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan bertingkah laku selalunya menjadi idaman setiap remaja.
Namun, kebebasan harus difahami dengan betul dan digunakan dengan bijaksana. Jika tidak, kebebasan akan memakan diri sendiri.
Memang fitrah kejadian manusia sukakan kebebasan. Jika boleh, bebas seperti burung yang terbang ke sana ke mari tanpa halangan. Jiwa bebas sentiasa menjadi naluri manusia dan remaja.
Dalam Islam kebebasan dipandu oleh pedoman. Pedoman daripada al-Quran menggariskan kebebasan berasaskan syariat. Syariat mengaturkan makna kebebasan iaitu boleh dan tidak boleh.
Apabila remaja mengetahui sempadan kebebasan, maka kehidupan menjadi teratur dan tertib, tetapi kebebasan yang tidak ada batasan boleh menyebabkan tingkah laku remaja melampaui batas.
Kebebasan menuntut ilmu bagi remaja adalah terbuka luas. Bagi remaja Islam, sebelum mempelajari ilmu-ilmu dari tamadun lain, ia harus terlebih dahulu memahami ilmu-ilmu Islam terutama dalam bidang akidah, ibadah, syariah dan akhlak.
Menguasai ilmu-ilmu asas ini adalah penting bagi remaja kerana ilmu-ilmu Barat dan Timur dapat difahami dengan pedoman agama. Bayangkan kalau para remaja arif tentang ilmu Barat dan kerdil memahami ilmu-ilmu Islam, ia menyebabkan jalan berfikir yang tidak seimbang.
Tidak salah para remaja mempelajari ilmu Barat dan Timur dalam segala bidang, tetapi kefahaman ilmu-ilmu Islam boleh menjadi pedoman yang terbaik bagi remaja supaya tidak mudah terpengaruh dengan ilmu-ilmu yang merosakkan.
Begitu juga dalam pergaulan. Para remaja Islam tidak boleh bergaul secara lepas bebas. Kadangkala berlaku pergaulan yang melanggar batasan syarak.
Ia menyebabkan para remaja terjebak dengan perlakuan zina, menyalahgunakan dadah dan hidup berpoya-poya. Pergaulan sesama remaja perlu ada batasnya. Dengan adanya batasan dapat mencegah remaja melakukan kemungkaran. Itulah maksud syariat dalam pergaulan.
Oleh kerana remaja mempunyai nafsu, kadang-kadang nafsu tidak boleh dikawal. Ia menyebabkan remaja terdedah dengan dosa. Tetapi dengan kawalan dan pedoman, para remaja dapat hidup dengan terkawal dan tertib. Ia amat perlu bagi remaja supaya potensi dirinya tidak dirosakkan oleh keadaan dan suasana.
Kebebasan memberi makna yang sangat berharga bagi remaja tetapi kebebasan yang disalahgunakan boleh membawa kerosakan terhadap potensi remaja.
Remaja bakal menjadi ibu dan bapa yang memiliki amanah sebagai sumber contoh untuk membentuk anak-anak. sekiranya zaman remaja lagi kawalan diri tidak berlaku, amalan mungkar menjadi kelaziman pada remaja, tidak mungkin bila berumah tangga nanti tabiat itu tidak diwarisi.
Remaja juga bakal menjadi ahli ilmu dan pemikir. Ilmu yang diperolehi dan fikiran yang berkembang mestilah mempunyai etika dan nilai. Ilmu yang beretika dan pemikiran yang berasaskan nilai bakat membentuk manusia yang dewasa dan matang.
Remaja juga bakal menjadi pemimpin. Pemimpin yang baik adalah yang tangkas dan cergas dan yang paling penting pemimpin contoh yang menjadi contoh sumber ikutan.
Watak seperti ini hanya berlaku sekiranya para remaja dapat membangunkan potensi diri dengan memahami batas boleh dan tidak boleh dan batas dosa dan pahala.
Oleh itu, amat penting bagi remaja memiliki watak yang stabil supaya para remaja memiliki kekuatan untuk mengharungi hidup.
Hidup remaja di zaman globalisasi amat terdedah dengan pelbagai pengaruh. Pengaruh siber umpamanya menjadi suatu kegemaran yang amat diminati remaja.
Utusan28/10/2011
No comments:
Post a Comment