Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
HIDUP dan kehidupan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk teruskan hidup memang agak mudah berbanding membina kehidupan. Untuk terus hidup, kita hanya perlu makan dan minum, tetapi untuk membina kehidupan kita perlu memperbanyakkan memberi dan berkongsi agar keberadaan kita di dunia lebih bermanfaat.
Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW, diriwayatkan dari Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia". (riwayat Thabrani dan Daruquthni)
Analogi yang mudah adalah perbezaan di antara rumah dan rumahtangga. Untuk membina rumah kita hanya perlukan kayu, bata, simen dan sebagainya.
Namun, untuk membina rumahtangga memerlukan lebih daripada itu, iaitu perlu dibangunkan bersama mawaddah dan kasih sayang.
Orang yang hidup untuk hidup hanya memikirkan tentang dirinya sahaja. Persoalan yang bermain dalam fikirannya ialah apa yang akan diperolehi. Sebaliknya, orang yang mahu membina kehidupan yang diredai oleh Allah adalah mereka yang sentiasa memikirkan tentang orang lain.
Persoalan yang bermain di fikirannya adalah apa dan bagaimana untuk memberi. Setiap masa dan detik digunakan bagi memikirkan bagaimana untuk memberikan manfaat kepada manusia, semaksimum mungkin.
Justeru, tidak dinafikan 'hidup' adalah penting namun 'kehidupan' adalah lebih penting. Sebabnya, orang yang mempunyai kehidupan yang bernilai adalah mereka yang memanfaatkan setiap yang dikurniakan kepadanya, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi dikongsi serta diberikan kepada orang lain.
Maka jadilah orang yang mempunyai sikap sebegini sebagai orang yang paling terbaik sejajar dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud: "Seorang lelaki mendatangi Nabi SAW dan berkata, Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling diicintai oleh Allah SWT dan apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT?"
Rasulullah SAW menjawab, "Orang yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunaskan hutang atau menghilangkan kelaparan. Dan sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk menyelesaikan hajatnya lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di masjid ini (iaitu Masjid Madinah) selama satu bulan. Dan barang siapa yang menghentikan kemarahannya, maka Allah SWT akan menutupi kekurangannya dan barang siapa menahan kemarahannya padahal dirinya sanggup untuk melakukannya maka Allah SWT akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang berjalan bersama saudaranya untuk (menunaikan) suatu keperluan sehingga tertunaikan (keperluan) itu maka Allah akan meneguhkan kakinya pada hari tidak bergemingnya kaki-kaki (hari perhitungan)". (riwayat Tabrani)
Jika kita amati hadis di atas, kita akan dapati bahawa orang yang terbaik adalah yang tidak mementingkan dirinya sendiri dan melakukan banyak kebaikan untuk orang lain.
Kebaikan itu juga dilaksanakan bukan untuk mendapat balasan daripada orang lain, tetapi semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment