Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
2011/10/20
KEDATANGAN Islam ialah untuk menjamin kerahmatan sekalian alam. Hukum hakam dan syariatnya bertujuan menyatukan hati manusia dan menghimpunkannya dalam satu barisan, mencegah daripada berlaku perpecahan dan persengketaan. Matlamat akhirnya nanti, terbentuklah masyarakat yang tunduk hanya kepada Allah, cita-citanya meninggikan kalimah-Nya jua, yang hak ditegakkan, kebaikan dilaksanakan dan kemungkaran dijauhkan.
Namun perlu diberi penekanan, setinggi manapun cita-cita dan semurni manapun tujuan, tidak dapat tidak, usaha menegakkan kalimah Allah adalah kerja jamaie atau berkumpulan dan bersama, bukannya mudah untuk dapat dicapai secara bersendirian.
Hubungan sesama masyarakat Islam diikat melalui ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam. Walaupun keturunan berbeza, tahap kekayaan tidak sama, bahasa dan warna kulit yang pelbagai, mereka diikat dengan satu ikatan akidah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” – (Surah al-Hujurat ayat 10)
Persaudaraan ini bukan sekadar hubungan biasa setakat bertegur sapa atau bertukar-tukar juadah pada Ramadan, tetapi menuntut kepada pelaksanaan beberapa hak kerana Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Perumpamaan orang mukmin itu dari sudut kasih sayang ialah seumpama satu jasad yang apabila sakit satu anggota badan, seluruh anggota lainnya akan turut berasa sakit dan berjaga malam”.
Dalam menjaga ikatan persaudaraan ini, Islam menyusun atur beberapa adab bagi memastikan ukhuwah Islamiah itu selari dengan tuntutan syarak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain, janganlah ia menzalimi dan menganiaya serta mencela saudara Muslimnya. Setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram darahnya ditumpahkan, harta dan maruahnya tidak boleh dimusnahkan.”
Islam juga memerintahkan supaya menjaga kehormatan saudara Muslimnya. Sehubungan itu, perasaan orang Islam lain mesti dijaga. Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan mendedahkan aib orang lain, mencari keburukannya, berburuk sangka atau memulaunya.
Sifat mazmumah ini adalah antara faktor yang memutuskan perhubungan, merobek simpulan kasih sayang, menyemai perasaan benci dalam hati dan melebarkan rasa permusuhan sesama manusia. Sehubungan itu, Allah SWT memberi petunjuk-Nya secara jelas dan menyeluruh melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” – (Surah al-Hujurat ayat 11)
Dalam ayat selanjutnya, Allah SWT menyambung firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” – (Surah al-Hujurat ayat 12)
Agama yang mulia ini juga mengajar nilai murni menunaikan janji dan menjaga amanah. Perbuatan mungkir dalam berjanji dan khianat akan membawa kepada mudarat yang sangat besar dan melumpuhkan rasa saling percaya mempercayai di antara sesama mukmin. Kesannya juga seseorang itu tidak lagi akan dipercayai kata-katanya pada masa yang akan datang, amalannya dipertikaikan, malah boleh dianggap sebagai orang yang telah hilang nilai keimanan dalam dirinya.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian.” – (Surah al-Maidah ayat 1).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna seseorang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama mereka yang tidak menunaikan janji.”
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” – (Surah al-Anfaal ayat 27)
INFO: Adab menjaga ikatan persaudaraan
- Islam melarang menzalimi, mencela dan menganiaya sesama Muslim apatah lagi hingga menyebabkan pertumpahan darah
- Kita dilarang mengumpat dan mengaibkan orang lain kerana ia akan mencetuskan permusuhan dan kebencian
- Umat Islam digalak menunaikan janji.
No comments:
Post a Comment