بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, October 15, 2011

Balasan Allah tidak boleh dielak



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT menyebut pada ayat yang lepas bahawa orang yang mempunyai harta benda dan anak-anak telah kafir, bersikap derhaka dan menyelewengkan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Allah SWT menambahkan penjelasan apa yang diberikan kepadanya itu hanya cubaan dan ujian semata-mata agar Dia melihat sama ada orang itu taat dan bersyukur kepada Allah SWT sehingga ditambahkan kenikmatan kepadanya. Atau orang itu akan menggunakannya untuk menimpakan kepadanya dengan pelbagai bencana dan seksaan.

Contohnya para pemilik kebun ketika mereka menjalankan sedikit kederhakaan, kebun mereka dibinasakan oleh Allah SWT. Oleh itu, bagaimana pula dengan orang yang menentang Allah SWT dan rasul-Nya yang tetap bersikap keras berada dalam kekafiran dan mengerjakan maksiat.

Al-Sabuni berkata: Kami telah uji ahli Mekah dengan kemarau dan kelaparan supaya mengikut dakwah Rasulullah SAW sebagaimana kami menguji pemilik-pemilik ladang yang mempunyai pelbagai jenis buah-buahan.

Kami taklifkan ahli Mekah supaya bersyukur kepada Tuhan mereka atas segala nikmat sebagaimana kami taklifkan pemilik ladang-ladang untuk bersyukur dengan memberi kepada fakir miskin akan hak mereka.

Sebahagian ahli tafsir berkata ia berkenaan seorang lelaki muslim dan tinggal berhampiran Sana'a yang mempunyai pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan.

Apabila sampai waktu menuai dan memetik buah-buahan dia memanggil fakir miskin serta memberi hak masing-masing dengan banyak. Di samping itu memuliakan mereka.

Sebaliknya apabila mati si kaya yang bersyukur ini, anak-anak mereka yang bertiga mewarisi harta bapa mereka seraya berkata: "Keluarga kita ramai dan harta kita sedikit. Tidak mungkin kita boleh bagi kepada fakir miskin seperti yang dilakukan oleh ayah kita. Mereka berbincang sesama mereka untuk tidak memberi kepada seorang pun fakir miskin. Justeru, mereka berpakat untuk memungut buah-buahan pada waktu pagi ketika fakir miskin tidak menyedari."

Tiba-tiba pada waktu malam tersebut Allah turunkan api membakar tanaman dan buah-buahan. Apabila waktu pagi, mereka pergi ke kebun dan mendapati tidak ada pohon kayu dan buah-buahan.

Mereka menyangka tersilap jalan apabila mereka memastikan hal tersebut mereka tahu ini hukuman Allah dengan niat jahat mereka lantas mereka sesal dan bertaubat. (antara terjemahan ayat 17-20 surah al-Qalam)

Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat-ayat lalu menyebut beberapa sifat buruk dari al-Mukazzibin iaitu para pengingkar ayat Allah (baca ayat 8 dan seterusnya) kini dijelaskan bahawa apa yang dialami oleh mereka itu serupa dengan kisah sekelompok pemilik kebun yang agaknya pengalaman mereka telah dikenal luas oleh masyarakat Mekah ketika itu.

Di sisi lain, ayat yang lalu juga menghuraikan sebab sifat-sifat buruk oleh kelompok orang derhaka disebabkan sikap angkuh mereka kerana memiliki harta yang banyak.

Ayat di atas mengingatkan keangkuhan dengan pemilikan harta yang melampau dan hakikatnya ia adalah ujian Tuhan kepada manusia. Ujian Allah tidak sama dengan ujian oleh manusia sehinggakan apabila diuji mereka tidak dapat mengelak sama sekali.

Firman Allah SWT: Lalu mereka panggil memanggil di pagi hari. Pergilah diwaktu pagi (ini) ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya.

Al-Maghari berkata: Sesetengah mereka menyeru kepada sesetengah yang lain. Marilah kita ke kebun pada awal pagi untuk memetik buah dari kebun kamu jika kamu hendak melakukannya.

Mereka menyembunyikan urusan itu sehingga tidak ada seorang pun yang mendengar perancangan mereka sebagaimana firman Allah SWT.

Firman Allah SWT: Maka pergilah mereka saling berbisik-bisik. Pada hari Ini janganlah ada seorang miskinpun masuk ke dalam kebunmu.

Sayid Qutub berkata: Seolah-olah kita yang mendengar atau membaca al-Quran tahu apa yang tidak diketahui oleh tuan-tuan kebun tentang malapetaka yang telah menimpa kebun itu.

Utusan MalaysiaARKIB : 14/10/2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...