بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, October 20, 2011

Hijrah bawa Aisha pada Islam



Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBELUM memeluk Islam, wanita warga Filipina ini adalah penganut agama Kristian yang taat dan patuh. Sebagai anak, Aisha Canlas akan bersama ibu bapa dan keluarganya untuk beribadat di gereja terutama setiap hujung minggu.

Mereka sama-sama berdoa tetapi dalam diri Aisha lain pula ceritanya. Beliau sering tertanya-tanya: "Benarkah di hadapannya kini sedang berdiri 'seorang' tuhan?

"Bagaimana seseorang itu dapat mengetahui bagaimana rupa bentuk tuhan? Kalau mereka tahu bermakna mereka pernah bertemu dengan tuhan, tetapi benarkah manusia boleh bertemu dan melihat tuhan?"

Pelbagai persoalan mengenai ketuhanan timbul di fikirannya walaupun ketika itu usianya masih terlalu muda untuk memikirkan soal-soal yang seperti itu.

Bairpun rumahnya terletak berhampiran sebuah masjid di kota Manila, Filipina, Aisha tidak merasakan beliau terganggu terutama dek laungan azan.

Malah beliau menikmati ketenangan dan kedamaian ketika mendengar suara azan.

"Saya akan memejamkan mata dan merasakan ketenangan menusuk ke jiwa apabila azan berkumandang meskipun saya tidak tahu makna di sebalik kata-kata dalam azan itu yang bagaikan suara muzik di hati saya," katanya.

Tetapi pada saat itu, beliau belum terfikir untuk memeluk Islam. Sehinggalah usianya meningkat dewasa, Aisha mengambil keputusan merantau ke Arab Saudi semata-mata untuk bekerja. Harapannya, memberi sinar hidup yang lebih baik kepada keluarganya.

Ketika itu beliau tidak bercadang mengenali Islam dengan lebih dekat. Kecuali perlu mempelajari soal budaya dan bahasa sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Ini supaya tidak mengalami sebarang kejutan budaya setiba di sana di samping memudahkannya bergaul terutama di tempat kerja.

"Saya belajar mengenai budaya dan seluruhnya mengenai Arab Saudi terutama bahasa Arab walaupun agak sukar.

"Selain sedikit mengenai agama Islam yang menjadi anutan utama di sana," katanya yang bertugas sebagai jururawat di salah sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi.

Aisha mengakui perjalanannya untuk memeluk Islam walaupun tidak sukar tetapi mengambil masa.

Beliau memperuntukkan sepenuhnya masa yang ada untuk mempelajari Islam bagi menambahkan keyakinan dan kekuatan apabila bergelar Muslim.

Lebih-lebih berada di Arab Saudi. Ia menyediakan suasana yang akhirnya membuatkan Aisha mengenali Islam dengan lebih dekat.

Beliau juga sering bertanya kepada para doktor di hospital tempatnya bertugas mengenai agama Islam. Mereka sangat membantu Aisha dengan memberikan jawapan walaupun di celah-celah kesibukan melayani dan merawat pesakit.

Katanya, mereka juga menggalakkannya mengikuti kelas-kelas pengajian Islam di sebuah madrasah yang terletak berdekatan hospital.

"Saya mula mengikuti pengajian di madrasah itu bertemankan teman sebilik bermula 17 Januari 2008.

"Pastinya kehadiran saya menjadi perhatian. Di samping sebagai pelajar baru, mereka hairan kerana saya seorang penganut Kristian mahu duduk sama-sama belajar dengan mereka.

"Namun sejak itu saya tidak pernah ketinggalan mempelajari Islam terutamanya membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, mendengar sirah dan perjalanan hidup Nabi Muhammad sehinggalah bagaimana sebenarnya kita mengenali Allah," tambahnya.

Dapat restu ibu
Pastinya Aisha semakin memahami Islam yang membuatkan beliau semakin yakin terhadap agama itu dan akhirnya keputusan besar harus dibuat.

"Saya menghubungi ibu di Filipina dan meminta izin agar memberi restu kepada anaknya ini bertukar agama daripada penganut Katholik untuk menjadi seorang Muslimah," katanya.

Alhamdulillah, permintaan dan niat Aisha untuk bertukar agama itu tidak mendapat halangan ibunya.

Tinggal lagi si ibu bimbang jika si anak akan melupakannya dan ahli keluarga lain, hanya kerana mereka kini berbeza agama.

Namun Aishah menjelaskan kepada ibunya bahawa sebagai seorang Islam, menghormati terutamanya ibu yang melahirkan dan ahli keluarga tetap akan menjadi keutamaan walaupun kelak mereka berbeza agama.

Akhirnya di hadapan guru yang mengajar dan para pelajar madrasah, Aisha melafaz dua kalimah syahadah.

Beliau mengaku, tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan perasaannya ketika itu.

"Yang saya tahu, setelah mengucap dua kalimah syahadah itu seolah-olah telah terlepas satu beban yang sangat berat daripada bahu ini dan kedamaian yang sejuk meresap masuk ke dalam hati yang selama ini saya tercari-cari dalam kehidupan.

"Menjadi seorang Muslim sungguh luar biasa sekali rasanya," katanya.

Tindakannya memeluk Islam itu tentunya menimbulkan pertanyaan di kalangan rakan-rakan.

Lalu Aisha menjawab tidak ada seseorang atau sesuatu yang patut disembah kecuali Allah SWT dan Nabi Muhammad itu adalah rasul-Nya.

"Namun ada yang menuduh saya mengkhianati agama saya yang dulu, Katholik apabila memeluk Islam.

"Tetapi di lubuk hati saya mengatakan bahwa itu tidak benar. Saya masih yakin atau percaya kepada Jesus atau sebenarnya Isa sebagai salah seorang nabi dan bukannya tuhan sebagaimana yang disembah sebelum ini.

"Baginda hanyalah manusia sebagaimana manusia yang lain dan hanya diberikan sedikit keistimewaan hanya kerana beliau seorang Nabi seperti Nabi-Nabi Allah yang lain," tukas Aisha.

Aisha sangat beruntung dan bahagia apabila bergelar saudara Muslim, seterusnya berpeluang mengerjakan umrah dan menziarahi tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah.

Baginya, pertama kali melakukan ibadat umrah itu adalah satu pengalaman yang sangat istimewa dan tidak akan beliau lupakan.

"Sepanjang beribadat dan berada di hadapan kaabah saya begitu berharap dan berdoa pada Allah SWT agar saya dapat meyakinkan seluruh ahli keluarga saya untuk masuk Islam juga.

"Saya ingin mereka selamat daripada api neraka pada hari kiamat nanti," harap Aisha.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...