بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, October 28, 2011

Siapa Mustafa Kamal Ataturk

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

KARYA yang ditunggu-tunggu bagi memperbetulkan 'nota-nota' sejarah sebelum ini yang meminta agar kita mengagumi kepimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang kononnya memberikan wajah baru dan kemajuan kepada negara Turki.

Sungguhpun tebal, namun buku yang ditulis oleh penulis tersohor tanah air ini membuatkan kita mengenali sosok sebenar di sebalik nama besar Mustafa Kamal Ataturk.

Daripada buku-buku teks sejarah sebelum ini, beliau digambarkan atau sengaja digambarkan sebagai seorang pahlawan, hero dan negarawan yang hebat terunggul kerana berjaya meletakkan Turki sama taraf dan berkedudukan sebagai sebahagian negara Eropah, bukan lagi separuh Eropah atau separuh lagi Asia.

Malah kita perlu menganggap tindakannya menutup sekolah-sekolah agama di Turki dengan menggantikan sekolah-sekolah berasaskan moden dan sekular sebagai langkah yang tepat bagi memberikan wajah baru kepada Turki Baru dan Moden.

Begitu juga atas nama 'pembaharuan', Mustafa Kamal Atatuk melenyapkan pelbagai amalan dan budaya Turki sebelum ini. Antaranya, menukarkan hari cuti daripada hari Jumaat kepada hari Ahad, menggunakan kalendar Masihi menggantikan kalendar Hijrah dan sekurang-kurangnya laungan azan dibenarkan tetapi hendaklah dalam bahasa Turki menggantikan Bahasa Arab.

Namanya berjaya mengatasi nama pemerintah-pemerintah kesultanan dan khalifah Uthmaniah. Namun kelemahan pemerintah terakhir dalam Dinasti Khalifah Uthmaniah seperti Sultan Abdul Majid (1918-1924) yang berjaya menjadi mangsa tipu daya Mustafa Kamal Ataturk.

Sultan Abdul Majid diguling oleh Mustafa Kamal Ataturk dengan memperalatkan nama revolusi atas 'persetujuan' Ketua Majlis Rakyat yang dibentuk oleh Kamal Ataturk. penubuhan Majlis itu sebenar tidak mendapat kebenaran dan restu Sultan sendiri.

Dalam sejarah yang sebenar kelicikan Mustafa Kamal Ataturk memang tiada dua tandingannya. Ini termasuk melancarkan peperangan 'palsu' dengan bersekongkol dengan pihak musuh supaya mereka berundur dan akhirnya beliau kononnya pulang sebagai wira dan layak mendapat gelaran tokoh Al Ghazi dan meminta dibayar ganjaran sebanyak tiga juta lira.

Tetapi dengan Sultan beliau kononnya menolak ganjaran sebanyak itu dengan alasan memahami situasi kewangan negara kesan dari peperangan.

Mustafa Kamal Ataturk sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau beroleh kuasa dan tamakkan kuasa. Beliau mengejar segala pangkat dan kedudukan dalam kerajaan dan tentera dan beliau mahu dilihat sebagai anak muda yang bangun dan bangkit bagi membebaskan Turki dan cengkaman pemerintah Kesultanan Uthmaniah.

Sedangkan Uthmaniah hanya mempertahankan kedudukan umat Islam, terutama sama sekali tidak akan menyerahkan Palestin kepada Yahudi tetapi semua itu pastinya menyebabkan pihak Barat dengan pengaruh-pengaruh Yahudi menjadi cacing kepanasan, tidak senang duduk.

Mereka berjaya memperalatkan Mustafa Kamal Ataturk menjadi boneka bagi memudahkan usaha-usaha mereka menjatuhkan pemerintah Islam dan pengaruh Islam itu sendiri.

Mustafa Kamal Ataturk benar-benar memudahkan lagi usaha-usaha jahat Barat untuk menakluk Turki yang empayarnya ketika itu sehingga mencakupi ke Wilayah Iraq dengan hasrat untuk mendapatkan Mousul yang kaya dengan hasil limpahan minyak itu.

Bagi Mustafa Kamal biarlah Mousul diserahkan kepada pihak British asalkan sahaja British mengundurkan tentera mereka dari Istanbul dan kononnya memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Turki untuk rakyatnya memerintah sendiri.

Dengan alasan Turki belum ada kemampuan bagi menggali minyak di Mousul, maka biarkan sahaja jika British ingin mengambil Mousul itu.

Sukar digambarkan bagaimana Mustafa Kamal sanggup melakukan ini semua, sanggup menjual kepentingan negara sedangkan Turki selama ini menempuh zaman gemilang tanpa memerlukan campur tangan orang luar apa tah lagi pihak Barat.

Mungkinkah kerana sedikit sebanyak kerana faktor 'jenis' darah bangsa yang mengalir dalam dirinya?

Sebab itu membaca di bahagian awal buku ini sangat mengujakan kerana ia menceritakan susur galur dan peristiwa kelahiran dan bagaimana Mustafa Kamal dibesarkan! Siapa bapanya, siapa ibunya dan beliau sebenarnya berbangsa apa? Walaupun gelaran Ataturk di belakang namanya itu bermakna 'Leluhur Turki'!

Begitu juga apabila memasuki bab-bab akhir dalam buku ini, ia semakin mengujakan tanpa dapat kita berhenti membacanya apabila penulis mendedahkan saat-saat Mustafa Kamal jatuh sakit teruk sehingga membawa kepada detik-detik kematian.

Ia telah banyak diceritakan sebelum ini dan kita mungkin pernah membacanya di mana-mana. Tetapi Abdul Latip Talib menjadikan hari-hari terakhir Mustafa Kamal itu bagaikan episod-episod yang dramatik dalam sebuah drama!

Benarkah bumi langsung tidak dapat menerima Mustafa Kamal sehinggakan mayatnya dimuntahkan keluar apabila hendak dikebumikan? Semua ini diceritakan dalam buku ini dan pastinya membuatkan kita mengambil seribu satu pengajaran kepada manusia yang masih hidup ini.

Buku ini tidak sekadar sebuah catatan sisi sebenar Mustafa Kamal Ataturk dan kemampuan penulis menyelamatkan pembaca dari sejarah yang dikaburkan sebelum ini. Sebaliknya, ia memberi inspirasi supaya kita mengkaji lebih banyak sejarah umat Islam di serata dunia. Ini kerana terbukti kini bahawa Mustafa Kamal Ataturk bukanlah jelmaan panglima Islam Khalid Al Walid tetapi adalah sebaliknya, Bapa Munafik Moden sebagaimana yang menjadi tajuk buku ini, iaitu Penegak Agenda Yahudi!

Segera dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran dan lengkapkan koleksi buku-buku karya Abdul Latip dengan mendapatkan buku Mustafa Kamal Ataturk yang sebelum ini buku-bukunya begitu mendapat sambutan hangat! Satu-satunya penulis yang merakamkan sejarah-sejarah Islam dalam bentuk novel dan novel lazimnya memangnya suka dibaca!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...