Oleh Mohd Adid Ab Rahman
2011/10/20
SOMBONG adalah sifat sering melanda masyarakat kita yang berpunca daripada kurangnya penghayatan asas agama dalam kehidupan sekali gus mengakibatkan keinsafan terhapus di dalam jiwa.
Mereka yang memiliki perasaan sombong menganggap dirinya melebihi segala-galanya dengan merendahkan dan meremehkan orang lain.
Sifat sombong seharusnya perlu segera disingkirkan daripada kehidupan seorang Muslim.
Rasulullah SAW menjelaskan yang bermaksud: Takbur itu adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain. (Hadis riwayat Muslim)
Kita juga biasa mendengar orang yang enggan menerima nasihat dan teguran malah sanggup pula mencerca orang yang memberi nasihat.
Seharusnya, kita berterima kasih jika dinasihati dan menghargai teguran yang pasti membawa kepada kebenaran serta tidak terus berada dalam keadaan alpa.
Ada juga berbangga dengan kecantikan, kedudukan serta kekayaan sehingga terlupa semua itu anugerah Allah yang wajib disyukuri.
Bukankah ini menunjukkan kesombongan hati orang yang kufur nikmat Allah SWT yang pasti mendapat balasan setimpal daripada-Nya.
Di samping itu ada lagi yang hanya mahu bergaul dan berkawan orang setaraf dengannya, tidak pernah memikirkan kesusahan orang lain kecuali mementingkan diri serta keluarga sendiri.
Tingkah laku seumpama ini sudah jauh tergelincir daripada ajaran Islam yang menekankan persamaan taraf, persaudaraan sesama Muslim dan semangat tolong-menolong.
Allah berfirman yang bermaksud:
Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kalian kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras seksa-Nya. (Surah Al-Ma`idah, ayat 2)
Apabila kita membaca kisah Qarun, dia menjadi sombong terhadap Allah SWT dengan kekayaan yang diperoleh.
Beliau terlena dan alpa dalam gemerlapnya harta kekayaan dimiliki sehingga sanggup berkata-kata begitu takbur.
Kisah Qarun itu terakam dalam ayat bermaksud: Qarun berkata:
Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku dan apakah ia tidak mengetahui, bahawa Allah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta dan tidaklah perlu ditanya kepada orang yang berdosa itu, mengenai dosa mereka. (Surah Al-Qasas, ayat 78)
Kita harus menerima hakikat orang yang sombong selalu diliputi kekurangan dan kelemahan menyebabkan hidupnya mundur.
Orang yang sombong akan berasa dirinya serba cukup dan sempurna, tidak perlu lagi muhasabah diri atau menerima nasihat.
Akhirnya tinggallah dia dalam kekurangan dan sia-sia seperti maksud firman Allah SWT:
Katakanlah: Apakah akan Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya. (Surah Al-Kahfi, ayat 103-104).
Di samping itu, bersifat sombong akan dipulau masyarakat dan lebih malang lagi dibenci serta dimurkai Allah SWT.
Di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam neraka bersama orang yang sombong seperti Abu Lahab, Qarun, Firaun, Iblis dan lain-lain.
Firman-Nya yang bermaksud:
Janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Surah Luqman, ayat 18)
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah selalu berusaha mengikis sifat sombong dengan selalu ingat kepada Allah (zikrullah), mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-Nya, zuhud dengan dunia, serta insaf kejadian diri yang lemah, tidak lupa meminta pertolongan kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment