2011/10/25
RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qada dan qadar." (Hadis riwayat Abu Naim)
Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga ada kalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah SWT.
Hasad dengki adalah antara sifat mazmumah. Oleh itu, awasilah diri daripadanya kerana ia dosa pertama sekali dilakukan iblis laknatullah yang menolak perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Begitu juga Qabil yang membunuh Habil disebabkan dengki.
Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan oleh Islam.
Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana’ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), reda serta bersyukur dengan pemberian Allah SWT bukan melakukan perkara yang membawa kekufuran.
Takdir yang ditentukan Allah SWT terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan enak.
Ada pula hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun, Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya.
Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah dengan reda, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentu setiap takdir itu akan menguntungkan.
Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang susah, anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah, mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.
Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah SWT seterusnya ialah meyakini segala-galanya adalah menjadi milik Allah.
Hal ini mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dengan nikmat yang ada padanya.
Justeru, selalu mengucapkan alhamdulillah, memuji Allah dalam segala keadaan ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.
Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan tahu membalas budi serta berterima kasih dengan kebaikan diberikan oleh seseorang.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment