Isu Yakjuj dan Makjuj adalah topik yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. - Gambar hiasan |
Sambungan daripada : Zulkarnain Raja Yang Adil
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DALAM siri ini penulis sengaja
membincangkan berkenaan sifat Yakjuj dan Makjuj secara khusus yang telah
disebut daripada siri ini dan selepasnya.
Yakjuj berbangsa Tartar, manakala Makjuj
berbangsa Monggol. Mereka berasal daripada satu keturunan bapa yang bernama
Turk dan tinggal di bahagian Utara Asia. Negara mereka adalah memanjang bermula
dari Tibet, China hingga ke Laut Beku Utara dan di barat hinggalah ke negeri
Turkistan.
Pakar sejarah Arab dan Perancis menyatakan
Yakjuj dan Makjuj ini sering menyerang negara jiran yang berhampiran. Mereka
sering melakukan kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa lain. Di
kalangan mereka ada bangsa yang ganas berasal dari bukit tinggi dari Asia
Tengah dan berhijrah ke Eropah pada masa dahulu seperti bangsa Smith, Sumeria
dan Hun. Mereka telah menyerang negeri China dan Asia Barat yang merupakan
tempat menetapnya para nabi.
Selepas zaman pemerintahan nabi, mereka
masih tetap berada di sempadan negara mereka dan tidak keluar dari negara
mereka, sehinggalah muncul di kalangan mereka. "Si malapetaka yang
bertulang," Tamujin yang mendakwa (menggelar) dirinya dengan nama Gengis
Khan (bangsa Moggol) yang bererti Raja Alam.
Pada awal abad ke-7 Hijrah, Tamujin keluar
dari bukit yang tinggi, jauh di Asia Tengah. Perkara pertama yang dilakukannya
ialah menundukkan China Utara, kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, dengan
menawan Sultan Qatb al-Din ibn Armilan, iaitu salah seorang Raja Saljuk, Raja
Khawarizm. Kekejian yang dilakukan oleh Gengis Khan di negeri tersebut merupakan
kekejian yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Ketika Gengis Khan mati, pemerintahannya
digantikan oleh puteranya Aqtay. Manakala putera saudaranya iaitu Batu telah
menyerang Rusia pada 732 Hijrah dan memusnahkan Polnia serta menghancurkan
negeri Majr. Setelah Aqtay meninggal, pemerintahannya digantikan oleh Jaluk.
Beliau telah memerangi Rom dan memaksa rajanya membayar ufti.
Setelah Jaluk meninggal, pemerintahannya
digantikan oleh anak saudaranya, Manju yang telah menindas kedua-dua
saudaranya, Kaylay dan berjaya menguasai negeri China manakala Hulaku
meneruskan penguasaannya ke atas kerajaan-kerajaan Islam dan menawan pusat
pemerintahan Khalifah Abbasiyah. Ketika itu pemerintahan Abbasiyah diterajui
oleh Musta'sim Billah.
Pemerintahan Baghdad mulai lemah pada
pertengahan abad ke-7 Hijrah. Dalam masa tujuh hari Baghdad berjaya dikuasai.
Sungai-sungai di Baghdad dipenuhi dengan darah rakyatnya yang mati, manakala
buku-buku ilmiah telah dicampak ke dalam sungai Dajlah sehingga menjadi seperti
jambatan untuk mereka lalui menurut khayalan mereka. Akhirnya pemerintahan
Khalifah Abbasiyah di Baghdad berakhir.
Setelah Dinasti Gengis Khan berjaya
menguasai seluruh Asia dan Eropah Timur, mereka membahagi daerah-daerah
taklukan mereka dan mendirikan empat kerajaan. Keluarga Kaylay menguasai China
dan Monggol. Jafaqay, saudara Aqtay, mengetuai Turkistan. Dinasti Batarkhan
menguasai negeri-negeri yang berada di tepi sungai Fajla sehinggakan Rusia
terpaksa menyerahkan cukai kepadanya dalam tempoh yang panjang. Hulaku merampas
negeri Parsi dan Baghdad hingga ke negeri Syam. Semua ini diringkaskan oleh
penulis daripada ensiklopedia, Ibnu Khaldun, Ibnu Maskawayh dan risalah Ikhwan
al-Safa.
Tanda kiamat
Sebenarnya isu Yakjuj dan Makjuj adalah isu
yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang
ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh
itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha bahawa Rasulullah SAW keluar dari
rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang
berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT. Celakalah orang Arab
daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok
Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua
jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu. Zainab binti Jahsyim berkata: Aku
bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami
ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak
kejahatan.
Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada
sebarang fitnah dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang mendapat keredaan
daripada-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment