HARI ini kita telah memasuki bulan Rejab.
Tidak lama lain Syaaban akan menjelang lalu Ramadan menyusul.
Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah.
Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan menanam pokok.
Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai
buahnya."
Itu kerana bulan Ramadan adalah bulan yang
penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim merasakan keindahan dan
kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah diberi ganjaran
berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi harapan setiap
orang yang mencintai negeri akhirat.
Kesempurnaan Ramadan mustahil diraih tanpa
persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan bermula. Persiapan
Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab bulan yang sangat
baik untuk kita memulai persiapan itu.
Bulan haram
Apa lagi sebenarnya Rejab memiliki
kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah satu
daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi
Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah
menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan
itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu
Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang
terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)
Sejak masa jahiliah, keempat-empat bulan
haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang untuk meraikan para
jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan pada bulan-bulan
tersebut.
Dalam Islam hukum ini memang dimansuhkan.
Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada bulan-bulan tersebut
itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap memiliki kelebihan
tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa padanya.
Berkata Ibnu Abbas: "Allah mengkhaskan
beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan mengagungkan kadarnya. Dosa
maksiat yang dilakukan padanya sangat besar. Sebagaimana pahala ibadah yang
dilakukan padanya juga sangat besar." (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam
Syu'ab al-Iman)
Amalan
Tiada amalan khas yang mesti dilakukan pada
bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah apa yang kita
mampu lakukan.
Siapa yang mampu memperbanyak solat sunat
dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib yang selalu
dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab. Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali:
"Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama
bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama."
Siapa yang hendak memperbanyak puasa sunat,
juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin
Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab: Aku
mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami
menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga
kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan: "Maksud
Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan
puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya.
Asal hukum puasa adalah sunat."
Adapun ibadah umrah, maka sunat melakukannya
pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Ibnu
Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf sangat menyukai ibadah
umrah di bulan Rejab.
Selain ibadah-ibadah ini, lakukanlah
ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan al-Quran dan
selawat.
Jika tidak mampu melakukan ibadah dan
kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri daripada
maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat, lucah,
ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah, ganjaran
besar telah menunggu untuknya.
Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk
menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk melakukan kebaikan
sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor
No comments:
Post a Comment