SALAH satu sifat yang harus dimiliki setiap
orang untuk dapat menegakkan kebenaran adalah sifat adil.
Kata adil banyak
disebut dalam al-Quran dengan pelbagai pengertian dan konteks, seperti seimbang
(rujuk al-Infitar [82] : 7), Benar (rujuk al-Baqarah [2]: 282) dan tebusan (rujuk
al-An'am: 70). Keadilan memang merupakan doktrin pusat dalam teologi Islam.
Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;(al-Infitar [82] : 7)
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.(al-Baqarah [2]: 282)
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).(al-An'aam [6] : 7)
Dalam bahasa Arab, pengertian keadilan
dibezakan menjadi dua istilah iaitu al-'adl dan al-'idl. Al-'adl adalah
keadilan yang ukurannya didasarkan pada gerak hati atau rasional, manakala al-'idl adalah
keadilan yang dapat diukur secara jasmani yang dapat dirasakan dengan
pancaindera seperti timbangan atau hitungan.
Prinsip keadilan perlu diserapkan dalam
semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan perbankan. Islam memerintahkan
manusia untuk bersikap adil dan perlakukan adil wajib ditegakkan terhadap
sesiapa sahaja (al-Syura [42] : 15)
Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)".(al-Syura [42] : 15)
Kewajipan agama
Berbuat atau bersikap adil merupakan salah
satu perintah wajib dalam agama Islam. Allah SWT dalam salah satu firman-Nya
menyatakan hal tersebut secara tegas: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku
adil, dan berbuat kebaikan... (al-Nahl [16] : 90)
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.(al-Nahl [16] : 90)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Daud dan Iman Ahmad bin Hanbal. Rasulullah SAW bersabda: "Ilmu itu ada
tiga antaranya ialah kewajipan berlaku adil dalam membahagi."
Adil sebagai syarat
Dalam banyak aspek kehidupan beragama,
sifat adil seringkali ditetapkan sebagai mutlak dalam sesuatu perkara. Tanpa
sifat tersebut, maka perkara itu menjadi batal.
Misalnya, seorang perawi hadis haruslah
adil dalam erti berpegang pada kebenaran dan kejujuran. Jika perawi tidak adil,
maka hadisnya dianggap tidak sahih. Sifat adil juga menjadi syarat mutlak yang
harus dimiliki oleh seorang hakim, pemerintah dan saksi dalam sesuatu perkara.
Dalam menjalankan tugas, hakim dituntut untuk bersikap adil.
Sunatullah
Dalam al-Quran, keadilan disebut sebagai
bahagian daripada hukum alam semesta, iaitu hukum keseimbangan (al-mizan), yang
menjadi hukum alam atau sunatullah. Kerana merupakan sunatullah, maka
menegakkan keadilan merupakan suatu kemestian yang mutlak.
Apabila keadilan dilaksanakan maka akan
tercipta kebaikan. Sebaliknya apabila tidak dilaksanakan, maka akan timbul
malapetaka.
Takwa
Al-Quran menjelaskan bahawa bersikap adil
itu adalah tidak memilih bulu. Kepada golongan yang kita benci pun kita harus
tetap adil. Menerapkan sikap adil dalam keadaan demikian akan mendekatkan kita
kepada takwa, seperti firman Allah SWT: Dan janganlah sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kamu itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua), kerana sikap adil
itu lebih hamper kepada takwa. (al-Maidah [5] : 8)
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah [5] : 8)
Zalim
Berlaku adil berkait rapat dengan hak dan
kewajipan. Hak yang dimiliki oleh seseorang, termasuk hak asasi harus
diperlakukan dengan adil dan tidak boleh dengan zalim semena-mena. Zalim iaitu
sifat sewenang-wenang dalam suatu perkara, merupakan kebalikan daripada sifat
adil. Orang yang berbuat zalim diancam dengan siksaan yang sangat pedih di
akhirat nanti, kerana berbuat zalim termasuk salah satu dosa besar.
No comments:
Post a Comment