Dia masuk Islam pada usia 31 tahun dan pada
usia itu juga menemui syahidnya. Namun, antara hari keislamannya dengan detik
wafatnya, kehidupan Sa’ad bin Muaz diisi dengan perkara gemilang berbakti
kepada Allah SWT.
Apabila mendengar berita kedatangan lelaki dari Makkah, Mush’ab bin Umair yang
dikirim Rasulullah SAW untuk menyebarkan tauhid kepada orang Madinah, bagaikan
hendak dilipatnya bumi ketika melompat dan berlari ke rumah As’ad bin Zurarah.
Namun, lelaki yang sederhana berwajah kacak
dengan tubuh tinggi lampai dan gempal itu terlebih dulu diterangi jiwanya oleh
petunjuk Allah SWT. Oleh itu, dari niat asal ingin mengusir utusan Rasulullah
SAW, akhirnya Sa’ad menghulur tangan kanan mengangkat baiah kepada utusan
Rasulullah itu.
Islamnya Sa’ad memberi sinar baru menerangi Madinah. Tatkala Rasulullah SAW
berhijrah ke Madinah, pintu rumah bani Abdil Asyhal iaitu kabilah Sa’ad terbuka
luas bagi golongan Muhajirin, begitu juga harta mereka dapat dimanfaatkan tanpa
batas.
Kesediaan berjihad
Menjelangnya perang Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan sahabat daripada
Muhajirin dan Ansar untuk mendengar pendapat mereka. Maka bangkitkan Sa’ad yang
menyatakan kesediaan untuk berjihad.
Ketika perang Uhud, kaum Muslimin berpecah disebabkan serangan mendadak tentera
musyrikin, tidak sukar mata hendak mencari kelibat Sa’ad kerana sentiasa
berhampiran Rasulullah SAW, membela serta mempertahankan Baginda
bermati-matian.
Ketika perang Khandak, terserlah keperwiraan dan kepahlawanan Sa’ad. Kota
Madinah mengalami pengepungan ketat dan parit yang digali di sekelilingnya
menjadi benteng perlindungan penduduk Madinah.
Memasuki suasana perang, Sa’ad keluar membawa pedang dan tombaknya. Ketika
peperangan, nadi lengannya disambar anak panah yang dilepaskan tentera musyrik.
Darah menyembur dari pembuluhnya dan segera ia dirawat secara darurat untuk
menghentikan keluarnya darah. Rasulullah SAW menyuruh membawanya ke masjid dan
didirikan khemah supaya Sa’ad sentiasa dekat dengannya ketika mendapat rawatan.
Luka punca syahid
Disebabkan luka yang dideritai Sa’ad, menjadi penyebab yang menghantar beliau
ke pintu syahid. Namun, yang lebih utama, permintaannya dimakbulkan Allah
apabila Bani Quraizhah yang berpaling tadah dalam perjanjian dengan umat Islam
mendapat balasan yang sewajarnya.
Diajukan keputusan kepada Sa’ad oleh Rasulullah SAW mengenai nasib bani
Quraizhah, jawab Sa’ad: “Menurut pertimbanganku, orang yang ikut berperang di
antara mereka hendaklah dihukum bunuh. Perempuan dan anak mereka diambil jadi
tawanan, sedang harta kekayaan mereka dibagi-bagikan.
Demikianlah, sebelum meninggal, hati Sa’ad terubat apa yang berlaku terhadap
pihak yang mengkhianati perjanjian hingga menyebabkan umat Islam terpaksa
berjuang mempertahankan Madinah daripada musuh Islam dalam perang Khandak.
Sumber: Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2 (Berita Harian)
2 comments:
subhanallah..manarik kisah ni, untung mereka yg dpat berjihad di jalan ALLAH :')
Mereka berjihad di medan perang, kita pula hendaknya dapat berjihad melawan nafsu..subhanallah..la haw la wa la quwwata illa billah. Semoga Allah kasih.
Post a Comment