pada peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW menunggang Buraq menuju Masjidil Aqsa di mana kemudiannya baginda mendirikan solat tahiyatul masjid dua rakaat. |
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan
peristiwa Israk dan Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti
terjadinya peristiwa tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat
yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan
Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau
mengatakan peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiul'awal.
Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam
pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.
Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa
ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah.
Malam itu, baginda berada di rumahnya di
Mekah. Jibril AS dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka
membawa Buraq, iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar
daripada keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.
Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju
Masjidil Aqsa. Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid.
Seterusnya baginda masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid
dua rakaat.
Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga)
di turunkan dari langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit
pertama, kedua dan seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit,
Rasulullah SAW berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya,
Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.
Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi
SAW menginjak batu Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih.
Demikian penjelasan Syeikh Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat
yang sangat tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan
tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok
besar yang ditutupi oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar
telinga gajah dan buahnya seperti kendi Hajar.
Rasulullah turut diperlihatkan Baitul
Makmur iaitu kiblat hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi
kiblat manusia di bumi. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak
keluar lagi. Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka.
Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap
Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat
itu atau tidak. Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda
menerimanya dengan patuh.
Apabila turun, baginda kembali berjumpa
dengan Nabi Musa AS di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda
meminta keringanan bagi umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu
melaksanakan kewajipan itu.
Baginda setuju dengan saranan itu, lalu
kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.
Setelah lima kali turun naik, Allah SWT
mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.
Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil
Aqsa, lalu menaiki Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum
matahari terbit.
Baitulmaqdis
Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis
menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain?
Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang
didirikan sebagai rumah ibadat menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil
Haram di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub,
cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40
tahun.
Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi:
"Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama kali dibina?" Baginda
menjawab: "Masjidil Haram." Abu Zar bertanya lagi: "Lalu masjid
apa?"
Rasulullah menjawab: "Al-Masjid
al-Aqsa."
"Berapakah selang masa antara
(pembinaan) kedua masjid ini?" tanya Abu Zar lagi.
Baginda menjawab: "Empat puluh tahun.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Simbolik
Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid
pertama di dunia. Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh
nabi-nabi terdahulu.
Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis
menandakan bahawa Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan
seluruh nabi-nabi sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup
seluruh kenabian.
Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya:
"Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.
"Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan
di sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini
menunjukkan bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang
dikedepankan."
PENULIS sedang menyambung pengajian
peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan
berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor
2 comments:
Assalamualaikum
Salam ziarah!perkongsian yang membina dan bermanfaat :)
jemput dan follow saya di http://ummuamar.blogspot.com
Wa'alaikumussalam
Terima kasih follow, saya dah ke sana tapi tak ada ruang follower.. mungkin kerana masalah komputer, insyaAllah saya akan lagi ke sana n follow. terima kasih sekali lagi
Post a Comment