Sambungan daripada : kebenaran seorang Nabi
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
FIRMAN Allah SWT :
Sehingga apabila ia sampai ke daerah
matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam
berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami
berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah
sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik
terhadap mereka". (al-Kahfi [18] : 86)
Dia berkata: Adapun orang yang melakukan
kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan
dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang
seburuk-buruknya. (al-Kahfi [18] : 87)
PENULIS memulakan hal ini dengan kisah
Zulkarnain. Kebanyakan ulama dan sejarawan berpendapat: Beliau ialah Iskandar
Ibnu Faylabas al-Rumiy, murid Aristotle, ahli falsafah yang digelar guru
pertama dan falsafahnya telah tersebar di tengah-tengah umat Islam. Beliau
hidup lebih kurang 330 SM seorang penduduk Macedonia, memerangi Parsi,
mengalahkan Raja Dara dan mengahwini puteri Raja Dara. Kemudian, beliau
meneruskan perjalanannya ke India dan melakukan serangan. Seterusnya, beliau
memerintah negara Mesir serta membangunkan Iskandariah.
Bukti menunjukkan beliau ialah Iskandar
Zulkarnain. Sejarah belum memastikan lagi adanya seorang raja yang berjaya
mengelilingi dunia, melakukan perjalanan dari Timur hingga Barat dan menawan
banyak wilayah kecuali beliau.
Abu al-Raihan al-Bairuni adalah seorang
ahli astronomi meriwayatkan dalam kitabnya al-Athar al-Baqiyyah an al-Quran
al-Khaliyyah telah menyatakan Zulkarnain berasal dari Himyar dan namanya ialah
Abu Bakar Ibnu Ifriqish. Beliau telah membawa bala tenteranya ke tepi Laut
Tengah, melewati Tunisia, Moroko dan lain-lain. Beliau telah mendirikan kota
Afrika sehinggalah keseluruhan benua itu terkenal dengan namanya.
Beliau digelar dengan nama Zulkarnain
kerana beliau mempunyai dua tanduk matahari.
Bukti yang menunjukkan beliau seorang
Himyar iaitu, gelaran al-Adhwa (orang yang namanya menggunakan Dhu) hanyalah
dikenali di negeri Himyar, bukan di Yunan. Beliau memerintah Dawlah Himyar
sejak 115 SM sehingga 552M, pemerintahan kedua-dua Dawlah Himyar. Rajanya pula
disebut Tahabiah (mufradnya Tubba)
Pada ayat ke-86, Ibnu Kathir berkata:
maksudnya, dia berjalan melampaui jalan hingga akhirnya sampai di tempat jauh
yang ditempuhinya itu iaitu belahan bumi bahagian barat. Adapun mencapai tempat
terbenamnya matahari di langit, maka itu merupakan suatu hal yang tidak
mungkin.
Maksudnya dia menyaksikan matahari dengan
matanya sendiri terbenam di dalam samudera. Demikianlah keadaan setiap orang
yang pandangannya berakhir sampai pada tepian pantai, di mana dia melihat
matahari itu seakan-akan terbenam ke dalam lautan tersebut. Sedangkan matahari
itu tidak bersinar dari orbitnya, dia tetap ada pada orbitnya, tidak
meninggalkannya. Kata al-Hami-ah diambil daripada salah satu daripada dua cara
bacaan iaitu al-Hama-ah yang bererti tanah.
Al-Maraghi berkata: Sememangnya Zulkarnain
mahu sampai ke tempat terbenamnya matahari. Oleh itu, beliau menyusuri jalan
yang boleh sampai ke tempat tersebut. Akhirnya beliau sampai ke penghujung
dunia di arah barat dan berhenti di tepi Lautan Atlantik. Di situ beliau dapati
matahari seolah-olah terbenam di dalam mata air yang berlumpur hitam.
Beliau menemui sebuah negeri terakhir -
yang tidak ada negeri lagi sesudahnya - iaitu negeri yang diibaratkan seperti
lautan kegelapan dan tidak ada pemerintahan tetapi merupakan tempat terbenamnya
matahari. Beliau telah berjalan ke Tunisia, kemudian ke Marrakush hingga sampai
ke laut tempat beliau mendapati matahari seakan-akan terbenam. Tempat itu
berwarna biru, seakan-akan lumpur bercampur air.
Dalam hal ini, Allah SWT memberinya
petunjuk melalui ilham: Allah SWT memberinya dua alternatif untuk memerintah
tempat tersebut. Pertama membunuh penduduk kafir itu, jika tidak mengakui
kekuasaan-Nya. Kedua, mengajar mereka dengan ilmu agama sebagai memperjelaskan
syariat dan hukum kepada mereka.
Manakala pada ayat ke-87, Ibnu Kathir
berkata: Sangat pedih dan menyakitkan. Dan dalam hal itu terdapat penetapan
hari pengembalian dan pembalasan.
Al-Maraghi berkata: Zulkarnain berkata kepada
pengawalnya: Orang yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya dengan
menyekutukan Tuhannya, akan diazab dengan hukuman bunuh. Di akhirat pula dia
akan menemui Tuhan serta diazab dengan azab yang dahsyat di dalam neraka
jahanam.
Isu berkenaan dengan Zulkarnain juga
menjadi polemik di kalangan tokoh ilmuwan sama ada Barat atau Islam. Tetapi
yang pentingnya dalam nas Ilahi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang raja
yang soleh yang menguasai dunia dengan izin Allah SWT. Semoga Allah meramaikan
pemimpin yang soleh dalam mengurus atur kehidupan manusia. Amin.
No comments:
Post a Comment