Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sambung daripada : tafsir surah al-kahfi - kiasan-kehidupan
SETERUSNYA penulis akan mengemukakan kisah
berkaitan dengan Zulkarnain. Cerita ini merupakan kisah keempat yang terdapat
dalam al-Quran. Ia mengisahkan tentang orang kafir Mekah menghantar utusannya
kepada ahli Kitab untuk meminta apa yang hendak diujikan terhadap Nabi SAW.
Ahli Kitab berkata: Tanyakan kepadanya
tentang seorang pengembara yang berjaya mengelilingi dunia, tentang pemuda yang
tidak diketahui apa yang mereka kerjakan dan tentang roh. Maka surah al-Kahfi
diturunkan. Sebelum mentafsirkan ayat tersebut, perlu dijelaskan terlebih
dahulu, siapa Zulkarnain, siapa Yakjuj dan Makjuj dan di mana empangan
Zulkarnain.
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya": (al-Kahfi [18] : 83)
Pada ayat ke-83, Ibnu Kathir berkata:
Sebagaimana telah kami kemukakan sebelumnya bahawa orang kafir Mekah pernah
mengirim utusan kepada ahli Kitab untuk menanyakan kepada mereka tentang apa
yang dapat mereka lakukan untuk menguji Nabi SAW.
Kemudian para ahli Kitab itu berkata:
Tanyalah kepadanya tentang orang yang di sekeliling muka bumi, tentang apa yang
diketahuinya dan tentang apa yang dilakukan oleh beberapa orang pemuda dan juga
tentang roh. Maka turunlah surah al-Kahfi.
Diberi nama Zulkarnain kerana dia adalah
seorang raja Rom dan Parsi. Sebahagian orang menyebutkan bahawa di kepalanya
terdapat sesuatu yang menyerupai dua tanduk. Ada pula yang menyatakan diberi
nama Zulkarnain kerana dia sudah berhasil mencapai belahan Timur dan Barat
iaitu tempat matahari terbit dan terbenam.
Al-Maraghi berkata: Orang Quraisy yang
berguru dengan orang Yahudi, mengajukan pertanyaan kepada (Nabi Muhammad SAW)
dengan tujuan menguji Baginda.
Katakanlah kepada orang yang keras kepala
itu: Aku akan menceritakan kepada kamu cerita yang lengkap lagi menyeluruh
seperti yang kamu minta dan cerita ini telah diberitahu kepadaku oleh Tuhanku.
Sayid Qutub berkata: Allah SWT telah
mengurniakan kepadanya kedudukan yang teguh dan kekuasaan yang kukuh. Allah SWT
telah memberikan jalan-jalan untuk memerintah dan menakluk, jalan-jalan
pembangunan dan kemakmuran, jalan-jalan kekuasaan dan kesenangan dan segala
sesuatu yang diperlukan manusia untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam
kehidupan ini.
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.(al-Kahfi [18] : 84)
Pada ayat ke-84, Ibnu Kathir berkata: Kami
telah memberikan kepadanya kekuasaan yang besar yang mencakupi segala sesuatu
yang diberikan kepada para raja iaitu berupa bala tentera, peralatan perang dan
beberapa benteng.
Oleh itu, dia dapat menguasai bumi belahan
Timur dan Barat dan banyak negeri yang tunduk kepadanya bahkan pelbagai raja di
dunia pun turut tunduk kepadanya dan semua orang Arab dan bukan Arab
berbondong-bondong mengabdi kepadanya.
Ayat ini telah ditafsirkan dengan pelbagai
tafsiran:
- Ilmu pengetahuan. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, Ikrimah, al-Suddi, Qatadah dan lain-lain.
- Iaitu tempat tinggal di bumi dan berbagai-bagai panjinya. Inilah pendapat Qatadah.
- Iaitu pengajaran bahasa-bahasa. Ia tidak memerangi suatu kaum melainkan telah diajak bicara dengan bahasa mereka. Inilah pendapat Abdul Rahman bin Aslam.
Al-Maraghi berkata: Allah SWT memberi
kekuasaan kepada Zulkarnain melakukan mengikut kehendaknya, sehingga beliau
berjaya menguasai seluruh dunia dan mengalahkan seluruh kerajaannya. Allah
mengurniakan ilmu, kemampuan dan kelengkapan tentera bagi menjayakan segala
hasrat yang hendak dilakukannya."
Sayid Qutub berkata: Muhammad Ibnu Ishaq
telah menyebut sebab turunnya surah ini katanya `aku telah diceritakan oleh
seorang guru daripada penduduk negeri Mesir. Dia datang ke tempat kami
kira-kira 40 tahun lebih yang lalu dari Ikrimah, daripada Ibnu Abbas katanya
kaum Quraisy telah mengirim al-Nadhr Ibnu Harith dan Aqabah Ibnu Abu Mu`ayt
kepada pendeta-pendeta Yahudi di Madinah dan berkata tanyalah kepada
pendeta-pendeta itu tenteng Muhammad SAW, terangkan sifatnya kepada mereka dan
ceritakan apa yang telah dikatakan olehnya kerana mereka adalah kaum ahli Kitab
yang pertama."
Mereka mempunyai ilmu tentang para Anbiya
yang tidak ada pada kita. Lalu kedua utusan itu pergi ke Madinah dan bertanya
kepada pendeta-pendeta Yahudi tenteng Rasulullah SAW. Kedua-duanya menceritakan
kepada mereka tentang beliau dan sebahagian daripada apa yang telah dikatakan
olehnya sambil berkata: Tuan-tuan adalah pakar-pakar kitab al-Taurat dan tujuan
kami datang menemui tuan-tuan ialah supaya tuan-tuan boleh menjelaskan kepada
kami tentang teman kami ini (Muhammad).
Kata Rawi, pendeta-pendeta itupun berkata: Tanyalah
kepadanya (Muhammad) tiga perkara yang kami cadangkan ini, jika dia dapat
menjawab, maka dia adalah benar seorang nabi yang diutuskan Allah SWT dan jika
sebaliknya, maka dia hanya seorang pendusta dan kamu boleh memutuskan fikiran
kamu terhadapnya."
Tanyalah kepadanya tentang sekumpulan
pemuda yang telah pergi menghilangkan diri di zaman dahulu bagaimana cerita
mereka kerana cerita mereka amat menakjubkan. Dan tanyalah kepadanya tentang
seorang lelaki yang menjelajah dunia hingga sampai ke kawasan-kawasan sebelah
Timur dan kawasan-kawasan sebelah Barat bagaimana ceritanya?
Dan tanyalah kepadanya tentang roh dan
apakah dia? Jika dia dapat menceritakan hal-hal itu kepada kamu, maka dia
adalah benar seorang nabi yang boleh kamu ikutinya dan sebaliknya jika dia
tidak dapat menceritakan kepada kamu, maka dia adalah seorang pendusta dan
lakukan apa sahaja tindakan terhadapnya yang kamu fikir wajar.
Lalu an-Nadhr dan Aqabah balik menemui kaum
Quraisy dan berkata: Wahai kaum Quraisy! Kami telah membawa kepada kamu kata
pemutus yang dapat menyelesaikan masalah di antara kamu dengan Muhammad.
Pendeta-pendeta Yahudi itu menyuruh kita bertanya kepada Muhammad mengenai
beberapa perkara."
Lalu mereka mengemukakan pertanyaan-pertanyaan
yang disuruh oleh pendeta-pendeta itu.
Rasulullah SAW menjawab: Besok aku akan
jawab pertanyaan-pertanyaan kamu itu tanpa berkata kecuali dikehendaki Allah
SWT". Mereka pun berundur daripadanya. Rasulullah SAW menunggu selama 15
hari 15 malam tanpa mendapat wahyu daripada Allah SWT mengenai perkara-perkara
tersebut dan tanpa dikunjungi Jibril AS hingga menggemparkan penduduk Mekah.
Mereka berkata: Muhammad telah berjanji untuk menjawab, sekarang telah masuk
15 hari tetapi masih belum ada jawapan."
Terhentinya wahyu itu telah mendukacitakan
Rasulullah SAW. Kemudian barulah dikunjungi Jibril AS membawakan surah Ashab
al-Kahfi, di mana baginda telah ditegur kerana bersedih terhadap sikap penduduk
Mekah, di samping dimuatkan cerita-cerita yang ditanyakan mereka mengenai
kumpulan pemuda dan lelaki pengembara itu.
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).(al-Kahfi [18] : 85)
Pada ayat ke-85 ia telah ditafsirkan dengan
pelbagai tafsiran:
- Maka dia pun menempuh suatu jalan, iaitu al-Sabab iaitu tempat. Inilah pendapat Ibnu Abbas.
- Maka dia pun menempuh suatu jalan iaitu tempat turun dan jalan antara timur dan barat. Inilah pendapat Mujahid.
- Maka dia pun menempuh suatu jalan. Ia juga dipanggil ilmu pengetahuan. Dia berkata hal yang sama juga dikemukakan oleh Ikrimah, Ubaid bin Yala dan al-Suddi. Dan dia pun mengatakan inilah tanda-tanda dan bekas-bekas. Inilah pendapat Said bin Jubair.
Sayid Qutub berkata: Oleh sebab adanya
pelbagai riwayat tentang sebab-sebab nuzul itu, maka kami memilih untuk
berhenti setakat bayangan nas al-Quran yang amat diyakinkan kebenarannya itu."
Malah daripadanya juga dapat diketahui
bahawa ada satu pertanyaan mengenai Zulkarnain walaupun diketahui siapakah yang
mengemukakan pertanyaan itu. Tetapi pengenalan tentang siapakah yang bertanya
itu tidak menambahkan apa-apa kepada maksud kisah. Marilah kita hadapi nas
al-Quran tanpa sebarang tokok tambah.
Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa
kebenaran pasti ditegakkan oleh pendukungnya walaupun sentiasa menghadapi
ujian. Hal ini menjadi sunnatullah. Oleh itu, semangat Zulkarnaian perlu
diwujudkan dalam hati pemimpin umat Islam.
No comments:
Post a Comment