بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, January 4, 2012

Yahudi mungkir janji

allah berkuasa menurunkan bala seperti taufan kepada manusia yang mengingkari perintahnya. - Gambar hiasan

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


SETELAH menyiasat berita tentang pengkhianatan kaum Yahudi Bani Quraizah itu dan ternyata ia benar, wakil pihak Islam dicerca dan dihina oleh kaum tersebut.

Maka Sa'ad pun segera kembali kepada Rasulullah dan melaporkannya, "Ya Rasulullah benarlah, mereka telah melanggar perjanjian sebagaimana suku Adhal dan Qarah".

Lalu Rasulullah membalas dengan ucapan: "Allah Maha Besar, bergembiralah wahai kaum Muslimin".
Ini supaya berita yang sebenar tidak menggugat semangat tentera Islam yang tidak dinafikan turut menghadapi tekanan dari pihak musuh yang masih mengepung di keliling parit besar yang mereka gali.

Tentera Muslimin sahaja yang mendapat kepastian bahwa Bani Quraizah telah melanggar perjanjian. Namun, kebanyakan yang lain meyakini kaum Yahudi itu tidak berani melanggar perjanjian dan mengikut jejak langkah kaum Yahudi Bani Nadhir.

Pada saat yang sama kaum Munafik pun menyebarkan bibit-bibit keraguan dan perpecahan di kalangan kaum Muslimin.

Sementara musuh datang dari segala genap penjuru arah, kaum Munafik pun mengambil kesempatan dan terus melancarkan tikaman daripada belakang.

Salah seorang dari kaum Munafik itu berkata: "Dulu Muhammad menjanjikan bahawa kita akan memakan harta kekayaan Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Rom), tetapi sekarang untuk pergi membuang hajat pun kita tidak aman".

Melihat keadaan kaum Muslimin yang semakin terancam ini maka Rasulullah SAW meminta pandangan Sa'ad bin Muadz dan Sa'ad bin Ubadah untuk melakukan perdamaian dengan kabilah Ghathafan.

Ia dengan memberikan sepertiga hasil tuaian buah kurma dari kota Madinah agar mereka kembali setia dan tidak ikut memerangi kaum Muslimin.

Kedua-duanya pun menjawab: "Wahai Rasulullah, apakah cadangan ini merupakan perintah yang engkau inginkan agar kami melaksanakannya atau perintah yang diperintahkan oleh Allah kepadamu atau sekadar kebijaksanaan yang engkau ambil untuk meringankan kami?".

Baginda pun menjawab: "Hanya sekadar kebijaksanaan yang aku ambil untuk menghancurkan kepungan pihak musuh terhadap kalian".

Sa'ad bin Muadz pun berkata kepada Rasulullah: "Demi Allah, kita tidak perlu mengambil langkah seperti itu sekali. Demi Allah kami tidak akan rela memberikan sesuatu kepada mereka selain daripada menghunus pedang sampai Allah memutuskan sesuatu antara kami dan mereka".

Setelah mendengar pandangan Sa'ad bin Muadz itu, wajah Rasulullah kelihatan berseri dan berkata kepadanya: "Engkau dapat yang engkau inginkan".

Ibnu Ishaq meriwayatkan dari Ashim bin Amer bin Qatadah dari Muhammad bin Muslim bin Syihab Az-Zuhri berkata: Pernyataan dan keinginan berdamai (antara kaum Muslimin dan Ghathafan) itu tidak lain hanyalah sebagai satu percubaan kepada satu gerakan yang memerlukan satu kemahiran dan kepakaran yang tinggi dan halus.

Ia tidak mudah dilakukan tetapi jika berjaya, ia mampu memberi kemenangan mudah dan mengurangkan kematian dalam pertempuran.

Setelah hampir sebulan, berlangsungnya Perang Khandak di mana seperti yang kita ketahui ia dimenangi oleh Islam.

Allah memberi kemenangan kepada kaum Muslimin dalam perang Khandak tanpa melalui pertempuran.
Ini kerana Allah mengalahkan mereka dengan dua cara, iaitu selain dari berkesannya strategi menggali parit itu;

1) Dengan seorang lelaki kaum Musyrikin bernama Nu'aim bin Mas'ud, yang datang kepada Nabi dan menyatakan dirinya memeluk Islam yang kemudiannya menawarkan diri selaku pemimpin tentera.
Beliau juga sanggup melaksanakan yang dikira sangat merbahaya iaitu berpura-pura bersubahat dengan pihak musuh dan kemudiannya memecah belahkan perpaduan pihak musuh seperti yang pernah diceritakan sebelum ini.

2) Dengan mengirimkan angin dan ribut taufan yang sangat dahsyat pada malam hari yang dinginnya amat mencengkam tubuh badan. Angin taufan yang dipercayai dibawa oleh segerombolan para malaikat datang menerbang dan meranapkan kesemua khemah-khemah pihak musuh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...