بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, January 13, 2012

Kutbah Jumaat: Terapkan budaya ilmu, akhlak dalam kehidupan seharian anak


2012/01/13


MINGGU ini adalah minggu kedua anak kita kembali ke alam persekolahan. Pelbagai ragam dapat dilihat pada diri anak setelah dua bulan bercuti dari alam persekolahan. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi demi membina generasi cemerlang di masa akan datang. 

Dalam usaha membina insan cemerlang, hendaklah disepadukan antara ilmu pengetahuan dan pendidikan atau dikenali dengan kesepaduan ilmu serta tarbiah untuk melahirkan insan soleh. Dalam proses ini pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mesti saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab sebaik mungkin.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Ibu bapa tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru semata-mata dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak. Ibu bapa adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak. 

Apabila tumpuan terhadap anak berkurangan, maka kadar keciciran semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk teladan yang baik. 

Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh. 

Oleh itu, dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri mendidik anak. Jika kita tidak mengambil berat, maka anak akan terdedah kepada pelbagai gejala. Kita tidak mahu anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau buruk dalam kehidupan mereka. 

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, kesan paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya akhlak anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.

Pencapaian prestasi anak dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu bapa perlu membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak.

Ibu bapa perlu menentukan hala tuju dan tindakan mesti dilaksanakan anak seperti memastikan mereka menunaikan solat fardu secara konsisten; memastikan anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari; memastikan mereka mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin; menyemak buku latihan serta menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak.

Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklum balas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak ketika berada di sekolah.

Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan beranggapan sudah menunaikan tanggungjawab selepas menghantar anak ke sekolah. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. 

Ibu bapa digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak kerana doa ibu bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana. 

Walaupun ada kala berlaku ketegangan antara guru dan ibu bapa, sebagai langkah positif ibu bapa perlu memberi penghormatan besar kepada guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar. Jangan mudah melenting, hilang kewarasan dan hendaklah berlapang dada apabila guru menegur atau mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar.

Kita yakin tindakan guru mendisiplinkan pelajar untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak supaya menjadi insan berguna. Kepada guru, jadikan tanggungjawab sebagai amanah yang wajib ditunaikan sebaik mungkin.

Marilah bersama kita tunaikan tanggungjawab membantu serta membela nasib pelajar supaya dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna. 

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...