Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ALLAH SWT memberitahu bahawa Dia pernah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya dan memerintahkan supaya baginda memberi peringatan kepada mereka tentang azab Allah SWT yang akan menimpa.
Nabi Nuh berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Aku ditugaskan memberi peringatan kepada kamu dan kamu perlu menyembah Allah SWT dan mentaati-Nya. Jika kamu lakukan yang demikian, pasti Allah SWT akan mengampunkan segala dosa, memanjangkan umur dan melepaskan dirimu daripada seksaan-Nya. Apabila datang seksaan Allah SWT itu, ia tidak dapat ditolak dan dihindarkan lagi kerana Dia Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan Maha Mulia."
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan): Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih.(Nuh: 1)
Mengikut riwayat Qatadah daripada Anas, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Awal nabi yang diutuskan ialah Nuh. Dinamakan dengan Nuh seperti kata Ibrahim bin Yazid kerana beliau banyak menangisi terhadap dirinya di dunia.
Ulama khilaf bila dia dibangkitkan atau diutuskan kepada dua pendapat:
- Ibn Abbas berkata: Ketika berusia 40 tahun.
- Abdullah bin Syaddad berkata: Ketika berusia 350 tahun
Berkenaan dengan azab yang pedih ada dua pendapat:
- Azab neraka pada hari akhirat seperti pendapat Ibn Abbas.
- Azab dunia di mana diturunkan taufan seperti kata al-Kalbi.
Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: "Keadaan kaumnya yang terus enggan, menentang, angkuh, degil dan sesat seperti yang ternyata dalam laporan akhir yang dikemukakan oleh Nabi Nuh kepada Tuhannya telah membuat matlamat memberi peringatan dan amaran yang paling sesuai untuk dijadikan risalah dan langkah pembukaan dakwah kepada kaumnya."
Ibn Kathir berkata: "Allah SWT berfirman dengan jelas kepada Nabi Nuh bahawa baginda diutus kepada kaumnya untuk memberi peringatan kepada mereka akan seksaan Allah SWT. Jika mereka mahu bertaubat, maka tiada seksaan ke atas mereka."
Firman Allah SWT: Nuh berkata:
Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu. (Nuh: 2)
Ibn Kathir berkata: "Iaitu yang menjelaskan peringatan."
Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan antara tugas para nabi dan rasul ialah menyampaikan atau tabligh akan risalah Allah SWT kepada umatnya.
Mereka hanya memberi peringatan semata-mata agar umat masing-masing kembali mengabdikan kepada Allah dan menjauhi segala larangannya.
Hamka berkata: "Maka beliau sampaikanlah kepada kaumnya bahawa dia hendak menyampaikan peringatan dengan jelas, terus-terang tanpa berselindung dan sembunyi. Peringatan tersebut disampaikan dengan sejelasnya kerana penyakit lama harus diubati demi kebaikannya."
Firman Allah SWT:
(yaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku. (Nuh: 3)
Syed Qutub berkata: "Beribadatlah kepada Allah SWT tanpa sebarang sekutu dan jadikanlah perasaan takwa kepada Allah menguasai perasaan dan tindak tanduk kamu dan buktikanlah ketaatan kepada rasul dengan menjadikan segala pengajarannya sebagai sumber peraturan hidup dan dasar perilaku."
Inilah garis-garis lebar yang menjadi rencah keseluruhan agama samawi yang diturunkan Allah SWT.
Kemudian, agama itu berbeza dari sudut perincian dan cabangnya, dari sudut persepsi dan kebesarannya, kesyumulannya serta sejauh mana ia merangkumi aspek-aspek keseluruhan kewujudan dan terangkum kewujudan insani.
No comments:
Post a Comment