Oleh Ustaz Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus
2012/01/02
KITA sekali lagi diberi peluang melangkah kaki ke tahun baru Masihi 2012. Sama ada sedar atau tidak, kedatangan tahun baru menandakan usia meningkat dan kita kian menghampiri saat kematian.
Sudah menjadi tradisi, apabila tiba tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, diari baru dan segalanya baru. Sebenarnya dalam Islam tiada istilah tahun baru atau lama kerana kita sentiasa dituntut taat kepada Allah setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, daripada umur baligh hingga ke liang lahad.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr, ayat: 99 yang bermaksud
“...dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepada kamu kematian...”.
Tidak menjadi kesalahan apabila budaya menyambut tahun baru ini kita selarikan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Justeru, kita sepatutnya lebih mengutamakan kebaikan, menjauhi kejahatan, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan jujur dalam gerak kerja.
Kita wajar sentiasa bermuhasabah setiap masa agar menepati saranan dituntut Allah SWT supaya menjadi hamba yang taat kerana ini asas yang perlu dibina dalam mencari tujuan hidup sebenar iaitu beribadat kepada Allah SWT bukan mencari keseronokan duniawi semata-mata.
Firman Allah SWT dalam surah azd-Dzariyaat, ayat 56 yang bermaksud:
“dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”
Setahun berlalu pasti melakarkan catatan penting yang boleh dijadikan iktibar. Jika tahun lalu, banyak kepincangan dalam hidup kita secara disengajakan atau tidak, maka tahun ini kita berazam tidak mengulangi kepincangan sama.
Jika tahun lalu kita menempa kejayaan, maka tahun ini biar kita mencipta kejayaan lebih baik kerana seseorang Muslim sentiasa mengarahkan diri ke arah lebih baik, seperti kata Saidina Umar: “Celakalah bagi Muslim yang hari ini lebih buruk daripada semalam dan esok lebih buruk daripada hari ini.”
Sesuatu yang lumrah, tahun baru sering dikaitkan dengan soalan, apakah azam dan cita-cita tahun baru? Golongan artis pasti memasang azam lebih cemerlang dalam lagunya dan menghasilkan filem atau album lebih meletup.
Ahli perniagaan pula bercita-cita mengembangkan perniagaan agar mendapat keuntungan berlipat ganda, manakala ahli sukan menggandakan lagi usaha menempa nama negara di mata dunia.
Amat jarang kita dengar, orang menyuarakan cita-cita menjadi hamba Allah lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh atau taat kepada hukum Allah dan lebih menghayati ajaran Islam secara syumul.
Tidak salah menanam azam tetapi biar seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha bersungguh-sungguh perlu disusuli supaya azam menjadi realiti.
Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud:
“Maka apabila engkau berazam, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Perkara lain yang perlu diberi perhatian serius ialah pengisian sambutan tahun baru. Kita bimbang dan sedih apabila melihat sambutan tahun baru sering dicemari dengan upacara penuh unsur maksiat yang jelas menyalahi hukum dan menyimpang daripada adat dan budaya Melayu.
Ada pihak menganjurkan sambutan dengan acara nyanyian yang melalaikan, minum arak dan pergaulan bebas.
Penganjuran seumpama ini membuka satu lagi ruang bagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Maka sudah muda-mudi yang dahagakan hiburan akan terpikat dengan program ini. Maka terlena dan hanyutlah mereka sehingga ada yang tenggelam dalam maksiat.
Sepatutnya tahun baru disambut penuh rasa syukur kepada Allah dengan berdoa atau menganjurkan majlis ilmu yang boleh membina minda untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Marilah kita jadikan tahun baru ini titik tolak untuk memperelokkan akhlak dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW
Diharapkan juga tahun baru ini menjadi tahun kegembiraan. Dalam mengimpikan hasrat ini, usaha dan tekad perlu selari kerana kejayaan tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni, ia tidak akan dapat dicapai.
Penulis ialah guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang
No comments:
Post a Comment