بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, January 18, 2012

Mohon perlindungan azab kubur antara tasyahud, salam

DARIPADA 'Aisyah, bahawa seorang wanita Yahudi datang menemuinya lalu menyebutkan azab kubur, lalu wanita itu berkata kepada Aisyah :  “Semoga Allah melindungimu daripada azab kubur.


Aisyah berkata: Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ya, azab kubur adalah benar. Aisyah berkata : Maka setelah itu aku tidak melihat Rasulullah SAW mengerjakan sesuatu solat melainkan Baginda memohon perlindungan daripada azab kubur.”

Hadis ini juga mengandungi anjuran berlindung daripada azab kubur dalam solat dan tempat memohon perlindungan antara tasyahud dan salam.





Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu berada dalam keadaan tasyahud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksaan neraka jahanam, daripada seksa kubur, daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati serta daripada kejahatan fitnah Almasih Ad-Dajjal.”


Pensyarah kitab At-Tahawiyah, berkata khabar daripada Rasulullah SAW mengenai azab kubur dan nikmatnya, soalan dua malaikat, maka wajib mempercayai serta beriman dengannya.


Perkara yang menyelamatkan daripada azab kubur ialah syahid di medan perang. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mati syahid beroleh enam perkara di sisi Allah: Diampunkan dosa pada darah yang mula-mula keluar, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, diselamatkan dari azab kubur, aman pada hari kebangkitan dari kubur, diletakkan mahkota kebesaran atas kepala dibuat dari yaqut yang lebih baik dari dunia dan isinya, dikahwinkan dengan tujuh puluh dua bidadari, dan diizinkan memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari kaum kerabatnya.” 


Berjihad di jalan Allah hingga mati. Daripada Fudhalah bin ‘Ubaid, dari Rasulullah SAW sabdanya: “Setiap mayat ditutup amalannya melainkan orang yang mati berjuang di jalan Allah, maka sesungguhnya amalannya tetap diterima pahalanya hingga hari kiamat dan aman dari fitnah kubur.”


Mati pada hari Jumaat dan malamnya. Daripada Abdullah bin ‘Amru, daripada Nabi SAW sabdanya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat melainkan Allah melindunginya dari fitnah kubur.”


Mati dengan sebab penyakit perut. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya maka dia tidak akan diseksa dalam kuburnya.”

Amal salih lain seperti dijelaskan dalam hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hatim dan ‘Sahihnya’ dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya: “Sesungguhnya mayat mendengar bunyi hentakan tapak kasut orang yang menghantarnya ketika mereka meninggalkan kuburnya, jika dia seorang mukmin, solat berada di sisi kepalanya, puasa berada di sebelah kanannya, zakat berada di sebelah kirinya, amalan kebajikan dari sedekah, silaturahim, kebaikan dan ihsan kepada manusia berada di sisi kakinya, lalu malaikat mendatangi dari sisi kepalanya, maka solat berkata tidak ada di sisiku pintu masuk, kemudian kebajikan dari sedekah, silaturahim, kebaikan dan ihsan kepada manusia berkata: tidak ada di sisi pintu masuk...”


Telah jelas bagimu jalan keselamatan maka berpegang teguhlah dengannya, berjalanlah atas hidayatnya, semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amal soleh.



Petikan buku 101 Nasihat Rasulullah SAW Untuk Menjadi Muslimah Paling Bahagia


Berita Harian 2012/01/17

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...