Oleh Ustaz Zahazan
2012/01/08
SOALAN:
SAYA bertemu dengan seorang yang masih ragu-ragu lagi dengan azab kubur. Katanya tidak ada dalam al-Quran yang menyebut mengenai azab kubur tetapi azab akhirat ada. Dia meminta saya menunjukkan di manakah ayat yang menjelaskan mengenai azab kubur. Saya bukanlah orang yang mendalami agama untuk menjelaskannya. Harap ustaz dapat memberitahu surah dan ayat mana yang menceritakan mengenai azab kubur dan bagaimana menghindarinya. BILAL SURAU,Melaka.
JAWAPAN:
MENGENAI azab dan seksa kubur memanglah benar. Ia tidak boleh diragukan lagi. Namun tidak dinafikan juga di zaman moden ini ada juga manusia yang ragu-ragu terhadap adanya seksa kubur. Orang yang mendapat seksa kubur itu pastilah orang kafir dan mereka yang melakukan kederhakaan kepada Allah. Mereka juga termasuk orang munafik dan orang Islam yang berdosa. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “...sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.”
MENGENAI azab dan seksa kubur memanglah benar. Ia tidak boleh diragukan lagi. Namun tidak dinafikan juga di zaman moden ini ada juga manusia yang ragu-ragu terhadap adanya seksa kubur. Orang yang mendapat seksa kubur itu pastilah orang kafir dan mereka yang melakukan kederhakaan kepada Allah. Mereka juga termasuk orang munafik dan orang Islam yang berdosa. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “...sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.”
Apa yang dimaksudkan dengan penghidupan yang sempit (ma’isyatan donka) itu ialah seksa kubur. Justeru untuk menangkis keraguan ini, Allah SWT berfirman dalam surah at-Takasur ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “Bermegah-megah telah melalaikan kamu sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu) dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.”
Kalimah Ta’lamuuna (kelak kamu akan mengetahui) yang pertama adalah isyarat adanya seksa kubur, manakala kalimah Ta’lamuuna (kelak kamu akan mengetahui) yang kedua ialah isyarat kepada seksa akhirat.
Dalam kitab Mukhtasar Tazkiratul Qurthubi menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu semua kenapa diturunkan ayat ini?”
(Maksudnya ayat Taha ayat 124: “Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”)
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda: “Seksaan orang kafir di dalam kubur, dan demi Zat yang jiwaku berada pada genggaman kekuasaan-Nya, bahawasanya Allah menguasakan 99 tannin. Tahukah kamu semua, apakah tannin itu? Tannin ialah 99 ular yang setiap ular mempunyai sembilan kepala yang menyembur dan melingkari orang kafir hingga hari kiamat. Ia diiring dari kuburnya dalam keadaan buta. Manusia yang masih hidup tidak dapat mendengar seksaan mayat di dalam kubur, ia hanya dapat didengar oleh haiwan.”
Termasuk orang yang akan diseksa dalam kuburnya ialah orang yang ketika matinya dan diratapi dengan pelbagai jeritan dan tangisan oleh ahli keluarganya. Hinggakan ada yang memukul pipi dan mengoyak-ngoyak baju. Bahkan seksaan itu juga akan ditimpakan di hari kiamat. Hal ini seperti yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Seorang mati diseksa dalam kubur menurut apa yang dijeritkan dalam tangisan keluarganya.”
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang ditangisi dengan suara dan rintihan, maka akan terseksa seperti rintihan itu pada hari Kiamat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ada beberapa perkara yang boleh menghindari daripada azab kubur. Antaranya membaca surah al-Mulk setiap malam. Kedua, membaca surah al-Ikhlas ketika menziarahi orang sakit yang akan mati. Ketiga, mati kerana sakit perut seperti hadis ini yang bermaksud: “Siapa yang mati kerana sakit perut tidak akan disiksa dalam kubur (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan an-Nasa’i). Keempat, mati di siang atau malam hari Jumaat seperti hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud:
“Tiadalah seorang Muslim yang mati di siang hari Jumaat atau malamnya, melainkan Allah menyelamatkannya daripada seksa kubur. Kelima, mati kerana memerangi orang kafir seperti hadis riwayat Ibn Abi Syaibah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap orang mukmin difitnah dalam kuburnya kecuali yang mati syahid.” Keenam, sedekah itu dapat menghindarkan daripada panasnya (seksa) kubur. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah itu dapat menghindari daripada panasnya (seksa) kubur dan seorang mukmin pada Hari Kiamat kelak dapat berlindung di bawah naungan sedekah. (Riwayat Tabarani)
Mudah-mudahan kita termasuk golongan orang yang mendapat keselamatan daripada azab dan seksa kubur. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment