بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, January 4, 2012

Sihir: Paksi kejahatan syaitan

menggunakan sihir tetap haram walaupun tujuan dan niatnya adalah untuk kebaikan. - Gambar hiasan


WALAUPUN dunia hari ini semakin moden dengan kecanggihan dan kemajuannya, namun episod kesengsaraan akibat sihir masih belum berakhir.

Bukan sedikit yang telah menjadi mangsa sihir. Bahkan, ia semakin menjadi-jadi kerana penyakit hati seperti dendam kesumat dan iri hati telah membarah di hati.

Mengapa ia masih belum berakhir? Jawapannya adalah mudah. Selagi mana ada permintaan, di situ ada penawaran.

Terutamanya dalam dunia hari ini di mana manusia berlumba-lumba untuk bersaing di antara satu sama lain. Lalu, ada yang menggunakan jalan singkat untuk menjatuhkan lawannya dengan amalan sihir walaupun mangsa tersebut langsung tidak menganggapnya sebagai lawan.

Perkataan al-sihr (sihir) disebut dalam al-Quran sebanyak 60 kali. Antaranya adalah dalam menolak tuduhan yang dilemparkan oleh kafir Quraisy yang mengatakan bahawa Nabi SAW adalah tukang sihir.

Ilmu sihir sebenarnya adalah daripada ajaran syaitan. Syaitan berjanji kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat.

Antara tindakan keji yang dilakukan oleh syaitan ialah menimbulkan permusuhan dan pertelagahan di kalangan manusia. Lalu diajarkan ilmu sihir kepada manusia supaya mereka boleh memusnahkan kehidupan orang lain dengan cara yang mudah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ...Tetapi syaitan-syaitan itu kafir mereka telah mengajarkan sihir kepada manusia. (al-Baqarah: 102)

Justeru, sihir menjadi paksi kejahatan syaitan.

Betapa beratnya dosa mengamalkan sihir ini telah jelas dipaparkan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sehingga Imam Az-Zahabi mengulas dalam bukunya Al-Kabair bahawa ramai di kalangan manusia yang terlibat dengan amalan sihir tidak menyedari yang mereka melakukan dosa yang amat besar sehingga boleh menyebabkan diri mereka menjadi syirik dan kufur.

Sebahagian besar mereka menganggap ia hanyalah dosa biasa sahaja. Sedangkan Nabi SAW menyatakan bahawa mereka yang mempercayai sihir tidak akan dapat memasuki syurga berdasarkan sabda Baginda SAW: “Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga iaitu; peminum arak, orang yang memutuskan silaturrahim dan orang yang membenarkan sihir.” (riwayat Ahmad)

Tidak dinafikan bahawa ada juga terdapat mereka yang menggunakan sihir untuk kebaikan seperti untuk mempertahankan diri dengan memakai tangkal tertentu, untuk mencantikkan diri dengan memakai susuk, untuk melindungi perniagaan dengan menggunakan azimat atau untuk menimbulkan rasa kecintaan di kalangan suami isteri.

Namun, semua hasrat murni tersebut tidak dapat menghalalkan kaedah sihir yang digunakan. Dengan kata yang lain, menggunakan sihir tetap haram walaupun tujuan dan niatnya adalah untuk kebaikan.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi-jampi, azimat dan sihir untuk menimbulkan kecintaan suami dari isterinya adalah syirik.” (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Akan tetapi, bukan semua jampi tidak dibolehkan. Terdapat jampi yang diharuskan iaitu yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan diambil daripada hadis-hadis yang sahih.

Ia berdasarkan amalan yang dibuat sendiri oleh nabi SAW. Antaranya, baginda SAW pernah menjampikan cucunya Hasan dan Husain r.a dengan membaca sebuah doa yang bermaksud: “Aku melindungi kalian dengan nama Allah SWT yang sempurna dari segala gangguan syaitan, binatang yang beracun dan dari setiap mata yang jahat”. (riwayat Ahmad)

Ini termasuklah menggunakan sihir untuk tujuan mengubati sihir. Ia dinamakan sebagai An-Nusyrah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nabi SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat tentang hukum amalan An-Nusyrah ini. Lalu Nabi SAW melarangnya dengan mengatakan ia juga dari amalan keji syaitan.

Justeru, ikhtiar yang boleh dilakukan untuk menghindari daripada amalan sihir ini ialah dengan mendekati Allah SWT dengan mengerjakan amalan fardu dan membiasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti bacaan al-Quran dan zikir-zikir yang muktabar.

Kita juga perlu menjauhi kemaksiatan kepada Allah SWT kerana ia akan membuka ruang kepada syaitan untuk mengawal kehidupan kita kerana orang yang melakukan maksiat akan jauh dari rahmat Allah SWT.
Kita juga perlu banyak mendalami ilmu kerana merebaknya amalan sihir kerana kejahilan masyarakat dan jauhnya kehidupan mereka dari agama.

Apabila masyarakat sudah hilang pedoman agama, maka halal dan haram sudah tidak menjadi pertimbangan dalam mengatur kehidupannya termasuklah dalam mengikis penyakit hati dalam diri.

Kita juga perlu berhati-hati dalam mendapatkan rawatan alternatif. Pastikan pusat rawatan tersebut mendapat pengiktirafan daripada pihak berautoriti.

Jauhi tempat-tempat perubatan yang menggunakan jampi serta mantera yang tidak bersandarkan al-Quran dan hadis Nabi SAW.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...