Oleh Amru Alhaz Adnan
2012/01/13
Umat Islam dilarang lakukan aktiviti perniagaan pada masa khatib baca khutbah
HARI Jumaat adalah penghulu segala hari dan umat Islam disarankan memperbanyakkan ibadah sunat di samping memenuhi kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat. Pada hari Jumaat juga umat Muhammad diharuskan melakukan segala aktiviti termasuk mencari rezeki yang dikurniakan Allah.
Kebebasan ini tidak dikecapi kaum Bani Israel terdahulu yang mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya, mereka diperintahkan memperuntukkan masa itu melaksanakan ibadah.
Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah SWT memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hamba-Nya mencari rezeki termasuklah berniaga serta berjual beli. Namun, ada waktu khusus dilarang Allah SWT menjalankan perniagaan dan jual beli pada penghulu segala hari ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah SWT dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jum’ah, ayat 9).
Larangan umat Islam melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat dikumandangkan ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat wajib Jumaat.
Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat sudah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut: Ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan yang kedua.
Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat turut dilakukan pada zaman baginda Rasulullah SAW, tetapi bezanya aktiviti jual beli itu ditangguhkan setelah berkumandang azan atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar.
Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan peniaga melariskan jualannya, pembeli sibuk membeli-belah sedangkan pada waktu itu khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat, walaupun hukum jual beli sah, tetapi dilakukan dalam waktu diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran diturunkan.
Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat daripada Jabir katanya: “Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang saja. Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: “Malangnya apabila mereka nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau (wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.”
Istimewanya solat Jumaat berbanding solat lain kerana adanya khutbah. Justeru, tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malah, menurut jumhur ulama, khutbah antara syarat sah solat Jumaat.
Sa’id bin Jubair berpendapat, khutbah menyamai dua rakaat solat Zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan solat Jumaat saja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.
Realiti yang berlaku, ramai kalangan jemaah tidak berminat masuk ke dalam masjid mendengar khutbah disampaikan khatib, sebaliknya mereka lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah.
Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah SWT kerana Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke masjid pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat mencatat orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam/khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”
Seluruh umat Islam sama ada penjual, pembeli dan jemaah hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia membabitkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang.
Justeru beberapa pendekatan dicadangkan iaitu aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang dan jemaah disarankan menangguhkan urus niaga untuk mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.
Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan dan Multimedia Masjid Negara
No comments:
Post a Comment