بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, May 27, 2011

Pusaka gugur bagi waris lain agama, pembunuh



2011/05/27
Golongan ada hubungan keluarga dengan bukan Islam perlu buat wasiat elak masalah

SUDAH banyak dibincang dalam siri sebelum ini mengenai syarat pewarisan, senarai waris berhak, bahagian-bahagian bagi waris berkenaan, proses pengurusan harta pusaka serta firman dan hadis yang menyokong. Minggu ini, kita akan membincangkan mengenai waris yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka.

Umum perlu tahu bahawa ilmu faraid ini amat penting dan hendaklah dipelajari serta diamalkan kerana ia adalah ilmu yang mula-mula sekali akan dicabut oleh Allah SWT daripada umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang akan dilupakan  dan ia adalah suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.”

Dalam situasi tertentu seseorang waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh terhalang daripada menerima harta pusaka si mati. Sebab-sebab yang menghalangnya daripada menerima pusaka ialah membunuh dan berlainan agama.

Ahli-ahli fekah bersepakat bahawa jika seseorang itu membunuh dan ia adalah waris kepada orang yang dibunuh, maka si pembunuh adalah tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka orang yang dibunuh itu. Sebagai contoh sekiranya seorang anak lelaki telah membunuh bapanya, anak lelaki itu adalah terhalang daripada mewarisi harta pusaka bapanya itu.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang pembunuh berhak mewarisi harta orang yang dibunuhnya.” Dalam Islam, membunuh itu terdiri daripada empat jenis iaitu pembunuhan sengaja (qatlu al-amad), mirip sengaja (shibhul amad), tersalah (khata’) dan tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An-Nisa (4):93).
Jika dilihat daripada firman Allah di atas, membunuh seorang Muslim itu satu perbuatan yang amat berat. Maka dengan itu, di dalam pewarisan juga, perbuatan membunuh itu juga dipandang serius. Justeru, ahli fekah telah bersetuju bahawa “siapa yang menyegerakan agar mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia tidak mendapatkan bahagiannya.”

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fekah mengenai apakah jenis pembunuhan yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka. Contohnya pada mazhab Maliki berpendapat bahawa hanya pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja atau yang dirancang digugurkan hak waris. Menurut mazhab Syafie pula, segala jenis pembunuhan dapat menghalang seseorang itu daripada mempusakai harta pusaka termasuk pembunuhan yang tidak sengaja.

Firman Allah yang lain bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana sudah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia.” (Al-Nisa:32).

AmanahRaya amat berhati-hati dalam pengendalian kes seumpamanya dan menerusi pengalaman selama 90 tahun penubuhannya, AmanahRaya dapat menyelesaikan kes seperti ini tanpa wujud keraguan di kalangan waris yang lain.

Selain daripada pembunuhan, satu lagi perkara yang boleh menghalang seorang yang layak menerima harta pusaka ialah dengan adanya perbezaan agama di antara si mati dan warisnya. Sebagai contoh, sekiranya si mati adalah seorang Muslim dan anak lelakinya bukan Muslim, anak lelaki si mati itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya walaupun dalam situasi biasa, anak lelaki adalah waris bagi si mati. Ini disokong oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berhak seorang Muslim mewarisi orang kafir, dan tidak pula orang kafir mewarisi Muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku satu keadaan yang mana seorang bukan Islam telah memeluk agama Islam tetapi tidak membuat perancangan pewarisan. Apabila beliau meninggal dunia, ahli keluarganya menuntut harta pusakanya di mahkamah. Akan tetapi memandangkan beliau seorang yang beragama Islam sedangkan keluarganya bukan beragama Islam, maka harta pusaka beliau jatuh kepada Baitulmal negeri sesuai dengan pandangan mazhab Shafie seperti yang diterangkan di atas.

Sesungguhnya hakikat kehidupan, anak amat menyayangi ibu bapa mereka begitu juga sebaliknya. Harta pusaka pula dapat dilihat sebagai salah satu pemberian kasih sayang. Hari ini, banyak kes yang membabitkan anak atau ibu bapa yang memeluk Islam dan meninggalkan waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim.

Sehubungan itu, seseorang yang mempunyai waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim perlu mengambil berat mengenai perkara ini dan seterusnya perlu sedar bahawa mereka perlu membuat perancangan pewarisan yang sewajarnya. Melalui perancangan pewarisan, seseorang Muslim itu dapat memberikan 1/3 daripada harta pusaka peninggalan mereka kepada orang tersayang yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka mereka, terutama dalam kes anak yang memeluk Islam, sedangkan meninggalkan ibu bapa yang masih beragama asal mereka.

Sememangnya kasih sayang tidak dapat diukur dengan pemberian harta pusaka tetapi ia cukup untuk melambangkan tanda ingatan atas segala pengorbanan ibu bapa kepada kita. Bertepatan dengan tuntutan Islam bahawa setiap dari kita perlu mendapat restu ibu bapa sebelum Allah merestui kita.

Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa”. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (al-Nisa 4:36).

Dengan membuat perancangan pewarisan iaitu melalui penulisan wasiat, perbalahan atau ketidak puasan hati dapat dielakkan. Di Amanah Raya kami mempunyai kepakaran dalam Penulisan Wasiat mengikut undang-undang dan memenuhi keperluan syarak (bagi yang beragama Islam). Penulisan wasiat adalah antara mekanisme perancangan pewarisan harta yang menzahirkan keinginan seseorang terhadap strategi pengagihan harta yang dimiliki. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...