بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, May 7, 2011

Kisah pedagang kaya beristeri empat

Oleh Sharul Zahri Ahmad


2011/05/07

Jiwa mulia, amal ibadat teman setia sebagai bekalan di akhirat

ADA seorang pedagang kaya yang mempunyai empat isteri. Dia mencintai isteri keempat dan memberikan harta serta kesenangan yang banyak kerana isteri keempat itu yang tercantik berbanding isteri yang lain.

Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu. Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini dan sering berusaha memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya.
Namun dia juga selalu bimbang jika isterinya ini akan lari dengan lelaki lain. Begitu juga isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian.

Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan sangat setia, sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang tidak mempedulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya dan berkata dalam hati: “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.” Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mula bertanya pada isteri keempatnya: “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam kemudian menjawab: “Tentu saja tidak.” Lalu pergi tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu ibarat pisau yang terhunus dan menghiris hatinya.

Kemudian, pedagang yang sedih itu bertanya isteri ketiganya: “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab: “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati.” Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya: “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Jika aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Isteri kedua menjawab perlahan: “Maafkan aku, aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.” Jawapan itu seperti kilat menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.

Tiba-tiba terdengar satu suara: “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman: “Jika saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Sesungguhnya kita memang mempunyai empat isteri. Isteri keempat adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja dikeluarkan untuk tubuh supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi apabila kita meninggal, tidak ada keindahan dan kegagahan tersisa saat kita menghadap-Nya.

Isteri ketiga adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

Isteri kedua pula adalah kerabat dan teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kubur saja mereka akan menemani kita.

Sesungguhnya, isteri pertama adalah jiwa dan amal. Mungkin kita sering mengabaikan serta melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya hanya jiwa dan amal kita yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah.

Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

Penulis ialah Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam Pejabat Kadi Daerah Mersing 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...