بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, May 31, 2011

Mukmin cinta ilmu pengetahuan dipermudah laluan ke syurga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Mukmin cinta ilmu pengetahuan dipermudah laluan ke syurga
 
Oleh Hizbur Rahman

2011/05/31

Pelajar perlu hormat guru, manfaat pelajaran diberi

PELAJAR yang cemerlang dan berjaya tidak dinilai kepada prestasi saja kerana tiga faktor iaitu sikap, kemahiran dan ilmu perlu dicapai secara seimbang. Kejayaan mendapat semua A bukan rujukan tetapi pencapaian turut dinilai melihat kepada akhlak dan sikap.

Zaman serba canggih ini, sikap pelajar juga semakin canggih. Mereka sudah hilang rasa hormat terhadap guru, malah ada yang berani bergaduh dan bertumbuk dengan guru hanya kerana tidak puas hati apabila ditegur. Walhal, teguran guru demi kebaikan mereka juga.

Berbeza dengan zaman dulu, guru disanjung dan diberi kepercayaan mendidik anak murid oleh ibu bapa. Alangkah sedihnya melihat akhlak pelajar zaman ini bukan saja kepada guru tetapi juga terhadap masyarakat.
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga percakapan dan tingkah laku apabila berdepan dengan guru. Mereka juga tidak segan meminta guru mendoakan kejayaan kerana berkat doa guru turut mempengaruhi kecemerlangan pelajar.

Sayang juga kerana ada pelajar yang ke sekolah bukan untuk menimba ilmu tetapi kerana terpaksa disebabkan semua rakan sebaya pergi sekolah. Apabila dibuat dalam keadaan terpaksa, maka akan timbul masalah.

Justeru, pelajar perlu mengubah sikap. Jika tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka apa yang kita dapat. Oleh itu, jangan biarkan diri terseksa melakukan kerja tidak disukai sebaliknya berusaha mengubah diri supaya lebih menyukai suasana pembelajaran.

Begitu juga dengan mereka yang melakukan kerja sekolah hanya mahu lulus periksa kerana pelajar yang mahu cukup sekadar lulus tidak akan berusaha lebih gigih selain berkira dengan masa dihabiskan mengulang kaji pelajaran. 

Lebih baik menjadi pelajar yang memikirkan bagaimana untuk memiliki kejayaan dan memanfaat pencapaian itu demi kejayaan orang lain. Kerja keras yang menghasilkan kejayaan akan dijadikan contoh mereka yang ingin berjaya. 

Imam al-Ghazali berkata: “Kita mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan tetapi kita tidak ikut jalan untuk berjaya. Ingat wahai pelajar sekalian bahawa perahu tidak akan belayar di atas daratan.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berjalan untuk keperluan menuntut ilmu maka Allah membimbingnya ke jalan syurga, sesungguhnya orang yang berilmu itu diminta keampunan oleh malaikat yang ada di langit dan makhluk yang ada di bumi, sehingga ikan-ikan yang ada di laut dan sesungguhnya ulama (orang berilmu agama) pewaris nabi.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Dia (Allah) telah mengajar kepada Nabi Adam nama-nama semuanya, kemudian diperlihatkan nama-nama itu pada Malaikat dan Allah berfirman: “Beritahukanlah nama-nama itu pada-Ku kalau kamu yang benar. Malaikat menjawab: Maha suci Allah tidak ada ilmu bagi kami, kecuali apa-apa yang Engkau ajarkan, sesungguhnya Engkau maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang berjalan di atas muka bumi adalah mereka yang mengajar manusia kepada kebaikan.”

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...