بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, May 2, 2011

Kunci rezeki pada cara dimanfaatkan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

MENGIKUT perspektif Islam, rezeki anugerah nikmat dikurniakan Allah SWT kepada manusia untuk keperluan jasmani dan rohaninya seperti makanan, ilmu dan sebagainya. Di dalam al-Quran, istilah rezeki diulang-ulang dalam helaian al-Quran sebanyak 120 kali yang merujuk kepada pelbagai maksud dan pengertian iaitu ‘makanan dari Tuhan’, ‘pemberian Tuhan’, ‘bekal dari Tuhan’ dan ‘anugerah dari langit’. Pendek kata, semua maksud itu menggambarkan konotasi sama iaitu Allah adalah Tuhan Pemberi Rahmat sebenarnya kepada makhluk yang menghuni alam semesta ini.

Di samping itu, Allah SWT memerintahkan manusia memanfaatkan rezeki diperoleh sebaik mungkin dan dalam masa sama, hendaklah tunduk dan patuh terhadap minhaj-Nya. Apabila rezeki tunduk dan patuh berdasarkan minhaj Ilahi, maka timbullah kemanfaatan dan tidak akan berlaku kemudaratan. 

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: 

Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh, ayat 10-12).

Ketika mentafsirkan ayat itu, Imam Ibnu Kathir menegaskan bahawa beristighfar dan taubat seseorang manusia ke hadrat Allah akan menjadi jalan datangnya rezeki, turunnya hujan yang membawa keberkatan, bertambahnya zuriat keturunan dan melimpah ruah hasil bumi. Pada dasarnya, orang beristighfar mengaku kesalahan yang mengotori jiwanya. Tatkala, dia memohon ampun dan bertaubat, dosa kesalahannya itu terhapus daripada hatinya.

Natijahnya, hati yang bersih suci akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan termasuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Daripada rezeki yang halal dan baik itulah turunnya keberkatan Allah SWT. Namun, umat Islam terkeliru konsep rezeki sebenarnya mengikut Islam. Rata-rata mereka memahami rezeki yang bernilai kerana mereka melihat rezeki itu sebagai harta dan benda yang pada asasnya adalah aset kekayaan. Padahal, persepsi itu tidak benar kerana rezeki pada hakikatnya tiada kaitan, apatah lagi hubungan secara langsung dengan benda dan tidak juga dengan kemiskinan atau kekayaan.

Sebagai contoh, mungkin kita pernah bertemu dengan seorang jutawan memiliki aset hartanya berjuta-juta ringgit, hanya membelanjakan sebahagian kecil daripada hartanya itu pada setiap hari, dia tetap memakai pakaian lusuh, tidak memiliki walaupun sebuah kereta mewah, malah sanggup berjalan kaki ke sana ke mari. Maka timbul persoalan mengapa jutawan itu berbuat demikian edangkan dia berharta? Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud; Berkatalah anak Adam: Mana hartaku? Mana hartaku? Itu bukanlah harta kamu melainkan apa yang kamu makan dan hancurkannya (dalam perut kamu) atau apa yang kamu pakai sehingga pakaian menjadi lusuh dan koyak atau apa yang kamu sedekahkan dan kamu nafkah (dengan tulus ikhlas).(Hadis riwayat Muslim).

Jelas hadis Rasulullah SAW bahawa rezeki sebenarnya mengikut Islam adalah benda memanfaatkan kepada tuan empunyanya, bukannya keuntungannya atau kekayaannya atau apa dimilikinya. Wang sedikit dibelanjakan itu adalah rezekinya, manakala bakinya masih tersimpan bukanlah rezekinya. Dalam hadis itu, Rasulullah menegaskan tiga perkara menjadi pintu utama rezeki bagi manusia. Justeru, manusia pada dasarnya tidak memiliki harta melainkan pada tiga perkara disebutkan tadi.

Ringkasnya, harta itu sebenarnya satu amanah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan mengagihkan hak milik Allah kepada makhluk menghuni alam maya ini. Kehidupan dunia ini ujian bagi manusia sama ada menjadi orang beriman dan mencintai Allah ataupun sebaliknya, sedangkan Allah menjadikan manusia daripada tanah, memberi dan memenuhi segala keperluan hidup dengan limpahan nikmat tidak terhingga supaya dapat dilihat dan dinilai siapakah yang lebih baik amalnya seperti firman Allah yang bermaksud: 

Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk, ayat 2).

Setiap pemberian Allah pada hamba-Nya adalah rezeki kerana dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan, kesejahteraan dan keredaan Ilahi. Rezeki itu bukanlah harta semata-mata, sebaliknya sifat pemurah itu adalah rezeki. Allah tidak melihat seseorang itu lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain dalam apa juga bentuk rezeki, malahan semuanya diberikan keutamaan dan kelebihan masing-masing. 

Kunci rezeki terletak kepada cara memanfaatkan rezeki itu ke arah kebajikan dan ganjarannya adalah rezeki yang melimpah ruah kerana menghormati dan mensyukuri pemberian Allah. Bukankah Allah SWT berfirman bermaksud: 

Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)

INTI PATI
Konsep rezeki dalam Islam
• Allah memerintahkan manusia memanfaatkan rezeki diperoleh sebaik mungkin.
• Beristighfar dan taubat seseorang manusia ke hadrat Allah akan menjadi jalan datangnya rezeki.
• Rezeki mengikut Islam adalah benda memanfaatkan kepada tuan empunyanya, bukannya keuntungannya atau kekayaannya atau apa dimilikinya.

Berita Harian 14/09/2006

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...