Persoalan Agama: Panduan, ibadah ketika bermusafir
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
2011/05/08
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
2011/05/08
BAGAIMANAKAH musafir mengikut cara Islam? Soalan kedua, apakah ada sebarang doa khusus untuk kereta baru?
HAMBA ALLAH,
HAMBA ALLAH,
Kuala Lumpur.
AL-HAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala Rasulillah waba’d.
Apabila seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin ‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.
Wahai Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).
Ketika selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).
Apabila urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.
Apabila seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).
Orang musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan solat Isyak.
Perkara itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan kerehatan.
Apabila seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu ‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi, Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).
Apabila seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.
Kalangan perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”
Disunatkan juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.
Bagi soalan kedua, Allah SWT berfirman dalam surah az–Zukhruf ayat 13 yang bermaksud:
“Dan Dialah (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya, dan Ia mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat menggunakannya (bagi tujuan pengangkutan). Dan supaya kamu duduk tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan “Maha Suci Tuhan yang sudah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membeli unta, maka hendaklah kamu memegang bonggol unta dan ucapkanlah:
“Allahuamma Inni As’aluka min Khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi wa a’uzhu bika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi. (Maksudnya: Ya Allah! Daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan keberkatan. Daku memohon diri kepada-mu dari keburukan kenderaan ini dan keburukan tabiatnya).
Berita Harian
No comments:
Post a Comment