بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, May 7, 2011

Dahului perintah Allah, ikut sunnah Rasul bukti cinta sebenar


Oleh Mohd Hairi Nonchi

2011/05/07


APABILA berbicara soal cinta, lazimnya perbicaraan akan tertumpu kepada hubungan cinta sesama manusia. Cinta anak kepada ibu bapa, cinta suami kepada isteri, cinta guru kepada pelajar dan seterusnya. 

Tidak kurang juga dalam kalangan kita yang mengaitkan persoalan cinta dengan perkara selain kecintaan sesama manusia. Perkara ini lumrah kerana hakikatnya cinta itu sendiri memiliki cakupan yang luas selagi ia berupaya menumbuhkan kebahagiaan dan kedamaian pada jiwa.


Menurut perspektif Islam, cinta memiliki beberapa tingkatannya tersendiri. Jika ditinjau dari sudut kaca mata ajaran Islam, cinta seperti ini disebut sebagai cinta yang tabii. Akan tetapi apabila kecintaan terhadap perkara itu dilakukan dengan cara melampaui batasan syarak, maka ia termasuk dalam kategori cinta yang keji.

Inilah tingkatan cinta yang tercela di sisi ajaran Islam. Allah memperingatkan kita dalam firman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah ujian dan di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah at-Taghabun, ayat 15) 

Satu lagi tingkatan cinta di sisi ajaran Islam yang disebut cinta agung iaitu kecintaan seseorang hamba beriman kepada Allah. 

Firman Allah yang bermaksud: 

“Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu (Allah), mereka mencintainya seperti mana mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih mencintai Allah (berbanding selainnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 165) 

Rasa cinta terhadap Rasulullah SAW tidak hanya memadai dengan ungkapan di bibir dan luahan hati semata-mata. Lebih jauh daripada itu, kecintaan hendaklah dibuktikan dengan cara mengikuti segala syariat dibawa Baginda seperti termaktub dalam al-Sunnah atau hadisnya yang sahih. 

Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: 

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika Kamu (benar-benar) mencintai Allah, (maka) ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31) 

Untuk membuktikan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, umat Islam hendaklah mengikuti, melaksana dan mengagungkan sunnah Baginda serta mendahulukan perintah dan perkataan Rasulullah di atas perkataan manusia biasa. 

Firman-Nya yang bermaksud: 

“Wahai orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat, ayat 1) 

Bukti cinta yang lain ialah mencukupkan diri dengan apa yang telah diajarkan Baginda dan meninggalkan apa dilarang, sentiasa mengucapkan selawat dan salam. 

Bersumberkan daripada Husain bin Ali bin Abi Thalib, dia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling bakhil (kedekut) itu ialah orang yang (apabila) namaku disebut di sisinya kemudian dia tidak berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi) 

Justeru, amat menjauhi kebenaran apabila sesuatu kaum itu mengakui mencintai Allah dan Rasul-Nya sedangkan pada waktu sama mereka melakukan perkara bercanggah dengan al-Sunnah Rasulullah dan mencabar kesempurnaan agama yang dibawa Baginda. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...