Sumber |
Oleh IBRAHIM ABDULLAH
PARA syuhada dalam peperangan Uhud di Madinah adalah mereka
yang dekat dengan Rasulullah SAW. Allah SWT telah melapangkan dada mereka untuk
masuk Islam, maka mereka beriman kepada risalah Baginda.
Mukjizat-mukjizat Baginda yang mereka lihat menambah
keyakinan mereka. Dengan demikian kehidupan mereka pun berubah, mereka
membentuk diri menjadi peribadi-peribadi baharu. Mereka tinggalkan setiap
perkara yang menentang syariat Allah di atas jalan Islam yang mulia.
Kesenangan mereka adalah di dalam beribadat kepada Allah dan
taat kepada Rasul-Nya. Tubuh mereka seperti tubuh kita, tersusun dari bahan
yang sama. Tubuh kita dan tubuh mereka menjadi tempat hidupnya makhluk-makhluk
Allah yang berupa organisma mikroskopik.
Namun roh mereka bersih dan jiwa mereka besar. Tubuh mereka
bekerja keras untuk menggapainya. Hal itulah yang membuat mereka menjadi
generasi istimewa. Mereka bagaikan para pendeta di waktu malam dan penunggang
kuda di waktu siang.
Jika ada penyeru yang memanggil untuk berjihad, mereka
tinggalkan segala sesuatu di belakang mereka untuk mentaati Allah yang
menciptakan mereka, dengan penuh keyakinan bahawa pahala yang ada di sisi Allah
itu lebih baik dan lebih kekal.
Bahkan ada di antara mereka yang pergi berjihad dalam
keadaan junub, mereka tidak sempat mandi janabah kerana kuatnya keterikatan
mereka untuk segera memenuhi panggilan jihad.
Para sahabat mulia yang berlaku siddiq kepada Allah SWT itu
mendapatkan ujian yang baik pada peperangan Uhud. Mereka berazam untuk mati
syahid dengan penuh kejujuran dan beramal untuk mendapatkannya, maka Allah pun
memilih mereka untuk diletakkan di sisi-Nya dan mengambil mereka sebagai
syuhada dalam keadaan maju dan mundur di medan perang.
Mereka beruntung mendapatkan keredaan Allah dan syurga yang
luasnya seluas langit dan bumi. Mereka juga memiliki kemuliaan-kemuliaan yang
besar, di antara kemuliaan itu ada yang biasa diketahui oleh manusia dan ada
juga kemuliaan yang lebih besar yang tidak dapat dimengerti oleh manusia.
Jabir bin Abdullah RA berkata, Pada malam hari
menjelang terjadinya Perang Uhud, aku dipanggil ayahku, beliau berkata,
"Aku merasa bahawa aku akan menjadi orang yang pertama kali terbunuh di
antara para sahabat Nabi SAW. Aku memiliki hutang, maka lunaslah hutang-hutang
itu. Perlakukanlah saudara-saudara perempuan dengan baik. Benar, pada pagi
harinya beliau menjadi orang pertama yang terbunuh (syahid). Beliau dikubur
bersama orang lain dalam satu liang lahad. Namun aku merasa tidak nyaman membiarkan
beliau dikubur bersama orang lain dalam satu liang lahad, maka enam bulan
kemudian aku membongkar kuburnya dan aku mendapati keadaan jasadnya seperti
ketika dahulu aku menguburkannya. (riwayat Bukhari)
Dalam riwayat Ahmad disebutkan, "Pada masa khalifah
Muawiyah bin Abu Sufian, ada seseorang yang mendekatiku seraya berkata,
"Wahai Jabir, para pekerja Muawiyah telah menggali kubur ayahmu hingga
terlihat sebahagian jasadnya." Maka aku segera mendatanginya dan aku
dapati keadaan jasad beliau sama seperti aku menguburkannya, tidak berubah sama
sekali, maka aku menimbunnya kembali." (riwayat Ahmad)
Jabir bin Abdullah RA berkata lagi, "Ketika ayahku
terbunuh pada Perang Uhud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Wahai
Jabir, mahukah aku beritahukan apa yang dikatakan Allah kepada ayahmu?"
Jabir menjawab, "Ya." Baginda menyambung: "Allah tidak mengajak
bicara seseorang kecuali dari bilik hijab kepada ayahmu. Allah mengajak
berbicara ayahmu dengan berhadap-hadapan. Dia berfirman: "Wahai Abdullah,
berazamlah, nescaya Aku penuhi." Abdullah menjawab, "Wahai Tuhanku,
kembalikanlah aku ke dunia sehingga aku terbunuh di jalan-Mu sekali lagi."
Allah berfirman: "Aku telah memutuskan bahawa seseorang
yang telah mati tidak akan kembali ke dunia lagi." Abdullah berkata,
"Wahai Tuhanku, kalau begitu khabarkanlah keadaanku kepada orang-orang
yang ada di belakangku." Maka Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: Janganlah
kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur (syahid) di jalan Allah itu mati,
bahkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuhannya dengan penuh mendapat rezeki. (Ali-Imran:
169)
PENULIS ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu.
2 comments:
Salam.
Tuan minta pautan(LINK) blog http://revolusifikiran.blogspot.com dlm blog tuan. Sy senaraikan blog tuan dalam senarai BLOG BERKAITAN SEJARAH DAN AGAMA. Blog sy revolusifikiran.blogspot.com blog santai gambar-gambar dan fakta-fakta yang menarik. Terima kasih kerjasama tuan.
Salam..
Sudah tuan..Jazakallah..
Post a Comment