Sumber |
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
BERKAT satu anugerah yang luar biasa. Ia hanya diberikan kepada
hamba-hamba Allah yang taat. Dengan keberkatan, rumah sempit terasa luas, harta
sedikit terasa cukup dan hidup akan terasa lebih indah.
Orang kafir atau fasik tidak akan mendapatkan keberkatan.
Justeru, mereka tetap merasa kurang dan sempit meskipun hidup dalam rumah besar
dan mewah.
Tanpa keberkatan, kelebihan harta benda hanya akan menyeksa
pemiliknya dengan pelbagai kebimbangan, ketakutan dan kerunsingan.
Di zaman Nabi Muhammad SAW, orang-orang munafik yang
menentang hukum Allah secara zahirnya hidup dalam keselesaan. Mereka memilik
harta yang banyak dan anak-anak ramai.
Meskipun begitu, Allah SWT menjelaskan sebenarnya keselesaan
itu bukanlah hakik. Akan tetapi sekadar tipuan mata sahaja.
Justeru, Allah SWT berkata kepada kaum mukminin:
"Janganlah engkau berasa kagum dengan harta dan anak-anak mereka. Allah menjadikan (harta dan anak-anak itu) hanya sebagai azab bagi mereka di atas muka bumi ini sehingga mereka akan dicabut nyawa dalam keadaan kafir". (al-Taubah: 55)
Secara bahasa, berkat (bahasa Arab: barakah) maknanya
'bertambah' dan 'berkembang'.
Ringkasnya, keberkatan dalam sesuatu ertinya kualiti
kebaikan yang terdapat di dalam sesuatu itu berkembang sehingga melampaui
bilangan kuantitinya.
Malam Lailatulqadar disebut sebagai malam berkat. Sebab kebaikan
yang terdapat pada malam itu melebihi kebaikan yang terdapat pada malam-malam
yang lain.
Meskipun tempoh masa malam itu seperti malam-malam yang lain
iaitu 12 jam, namun kebaikannya menyamai 1,000 bulan.
Jika kita minta 'hidup yang berkat', ertinya kita meminta
agar diberikan satu kehidupan yang kebaikannya melampaui bilangan hari-harinya.
Walaupun kita hanya hidup dalam 70 tahun sahaja misalnya, namun mampu mencapai
prestasi bagai orang yang hidup 100 tahun lebih.
Itu yang berlaku pada tokoh-tokoh ulama terdahulu. Mereka
punya waktu yang sama dengan kita, sebulan terdiri dari empat minggu, seminggu
terdiri dari tujuh hari dan sehari terdiri dari 24 jam. Namun keberkatan dalam
hidup memungkinkan mereka berkarya lebih banyak daripada kita.
Lihatlah Imam al-Nawawi yang hidup hanya 45 tahun. Namun
berjaya menghasilkan berjilid-jilid buku yang sangat tinggi nilai ilmiahnya.
Lembaran buku-buku yang ditulisnya lebih banyak daripada
lembaran hari-hari yang berlalu sejak beliau lahir hingga meninggal dunia.
Penghapus keberkatan
Semakin kita menjadi insan bertakwa, semakin banyak
keberkatan akan berlimpah dalam hidup. Firman Allah SWT:
"Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi". (al-A'raf: 96)
Sebaliknya, maksiat dan penentangan syariat Allah akan
menafikan berkat. Semakin sering seseorang melakukan maksiat, semakin hilang
keberkatan daripada hidupnya.
Juga, tidak ada keberkatan dalam hidup, selagi mana makanan
kita bersumber daripada perkara haram dan subahat. Makanan seperti ini akan
menghalang manusia untuk menggunakan waktunya dengan berkesan. Akibatnya,
timbul fenomena malas beribadah, mengantuk ketika belajar ataupun lalai ketika
bekerja.
Tidak ada keberkatan dalam hidup kita selama riba bercampur
dalam rezeki kita. Sebab Allah berjanji:
"Allah akan memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah". (al-Baqarah: 276)
Imam Fakhruddin al-Razi berkata, "Ketahuilah bahawa
Allah memusnahkan riba akan berlaku di dunia juga di akhirat. Adapun di dunia,
akan terjadi dengan berbagai-bagai cara. Antaranya, orang yang mengambil riba
akan jatuh miskin pada akhir hayatnya atau hilang keberkatan dalam
hartanya."
Tiada keberkatan dalam hidup selagi mana khianat, pecah
amanah dan rasuah sering menjadi kebiasaan. Syeikh Afdhaluddin berkata:
"Khianat menghapuskan berkat sebagaimana haram menghapuskan halal. Sesiapa
berkhianat dalam satu dirham, iblis akan mengheretnya untuk berkhianat dalam
1000 dirham."
Semoga Allah mengembalikan keberkatan dalam hidup kita agar
kita berjaya di dunia dan di akhirat. Amin ya rabbal 'alamin.
PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor
No comments:
Post a Comment