بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, October 8, 2013

Bumi Allah itu luas


BUMI, menurut tafsiran yang khusus adalah tanah tempat kita berpijak. Manakala dalam erti yang luas mencakupi lautan, udara, daratan dan segala isinya. Oleh itu, ada istilah 'perut bumi' yang mengandungi air, minyak dan batuan, yakni tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tertimbun selama jutaan tahun. 

Allah SWT memilih bumi sebagai tempat tinggal yang kaya dan subur untuk penghidupan manusia 



"Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)".(al-Baqarah [2] : 22)


"Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir." (ar-Ra'd [13] : 3)

"Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;" (Qaf [50]  : 9 ) 
dan diciptakan-Nya pula gunung untuk mengukuhkannya agar manusia dapat hidup di atasnya tanpa ketakutan. 



Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui.( al-Naml [27] : 61)

Bumi Allah luas


"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".(az-Zumar [39] : 10)

Padang Mahsyar

Di bumi, manusia hidup dan mati, lalu dibangkitkan kembali di Padang Mahsyar pada hari kiamat (rujuk al-A'raf: 25). 


Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".al-A'raf [7] : 25)
Ertinya, segala yang ada di bumi dijadikan manusia (rujuk al-Baqarah: 29), tetapi hanya sebagai tempat sementara.



Dalam hadis riwayat Bukhari daripada Ibnu Umar ra., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah orang asing atau penyeberang jalan." Oleh itu, manusia harus mengetahui erti dan tujuan hidupnya di bumi, yakni menyembah dan beribadat kepada-Nya. (rujuk az-Dzaariyaat: 56)

Tanggungjawab manusia

Secara harfiah, surah az-Zumar, ayat 10, boleh ditafsirkan bahawa bumi Allah SWT itu begitu luas, sehingga tidak ada alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti. Kita digalakkan menjelajah bumi dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta martabat kita sebagai manusia.

Dalam al-Quran, ada kritikan terhadap orang yang menyerah dan tidak mahu berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang bertanggungjawab serta meningkatkan martabatnya. (rujuk an-Nisa: 97)


"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."(an-Nisa [4] : 97)
Khalifah di muka bumi

Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi. (rujuk al-Baqarah: 30) 


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".(al-Baqarah [2] : 30)

Hanya manusia, bukan jin atau malaikat yang diberi kepercayaan oleh Allah untuk memelihara bumi (rujuk al-A'raf: 56 dan 85

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.(al-A'raf [ 7 ] : 56 )


Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman..(al-A'raf [ 7 ] : 85)
kerana hanya manusia yang memiliki akal serta fikiran untuk memahami tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT di muka bumi. (rujuk ar-Rum [30] : 22)



Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.(ar-Rum [30] : 22)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...