بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, October 21, 2013

Melazimi sifat benar

Sumber
ARKIB : 18/10/2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH, pada ruangan kali ini, penulis cuba membincangkan isu sifat benar yang semestinya dilazimi oleh umat Islam.

Sesungguhnya Allah telah merakamkan pujian kepada golongan siddiqin kerana teguhnya janji dengan Allah, di dalam firman-Nya: 

Di antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu mati syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (al-Ahzab [33] : 23)

Syeikh al-Maghari berkata: Dalam kalangan orang yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya mereka sentiasa menepati janji mereka dengan sabar ketika menghadapi mala petaka dan bahaya walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang gugur syahid dalam peperangan Badar, Perang Uhud dan peperangan yang lain.

Terdapat dalam kalangan mereka yang menanti-nanti terlaksananya janji Allah SWT walaupun di kalangan mereka ramai yang gugur mendahului mereka, namun mereka tetap setia terhadap janji-Nya.

Benar merupakan sifat yang mulia dan menjadi sifat wajib bagi rasul-rasul. Begitu juga dikurniakan balasan yang baik bagi siapa yang melazimi kebenaran. Mereka digelar sebagai al-Siddiqin.

Sejarah membuktikan Rasulullah SAW telah melahirkan generasi atau sahabat yang bersifat dengan benar. Hal ini dijelaskan dalam banyak nas daripada al-Quran. Mereka sanggup melakukan apa sahaja berdasarkan keyakinan dan kebenaran yang mereka imani dan yakin.

Benar yang pertama iaitu benar hati dan iktikad adalah yang paling sukar diikuti dengan yang kedua, benar perbuatannya. Ini kerana hati yang merupakan raja kepada badan begitu mudah terpengaruh dan menerima sebarang anasir, sama ada daripada pengaruh syaitan atau nafsu. Justeru, hendaklah kita melazimi sifat benar supaya kehidupan menjadi lebih harmoni.

Para sufi menganggap sifat siddiq adalah pintu masuk pertama untuk melangkah ke alam ketuhanan. Dengan melalui pintu siddiq ini telah ramai murid sampai kepada hakikat makrifah. Ini bukanlah sesuatu yang ganjil, ini kerana pada sifat al-Siddiq terhimpun segala kemuliaan dan kelebihan, antaranya di sinilah lahirnya segala akhlak-akhlak yang terpuji.

Benar dalam percakapan, janji, perbuatan atau tindakan dalam perkhidmatan atau tugas amat diperlukan. Ini kerana benar boleh merungkai banyak kemelut kehidupan. Bukan itu sahaja tetapi dapat menenangkan hati-hati manusia.

Dengan itu juga, masyarakat akan dapat hidup aman damai, keadilan dapat ditegakkan dan hak dapat dipertahankan. Benar juga menjadikan manusia mempunyai maruah dan jati diri.

Dalam realiti kehidupan, kadang-kadang kebenaran cukup pahit untuk dikemukakan apatah lagi boleh membawa kecaman dan pelbagai celaan, tetapi sebaliknya ia berkesudahan dengan kejayaan dan kemenangan.

Justeru, sewajarnya kita hiasi sifat benar dalam semua acara kehidupan kita, sama ada sebagai suami, isteri, anak, pekerja, majikan dan lain-lain.

Sifat benar jika dapat diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan ini sudah pasti akan menatijahkan suasana yang baik dan mendapat keredaan Allah SWT.

Semoga kita semua memperoleh kehidupan yang bahagia dengan hiasan sifat benar. Aamiin.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...