بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, June 26, 2012

Syaaban ruang perbaiki diri, pertingkat amalan menyambut Ramadan



Ustaz Zaman 

2012/06/23


KITA semakin hampir kepada Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan. Perjalanan masa semakin pantas berlalu. Adakah tempoh masa kita lalui dipenuhi amal ibadat kepada Allah SWT atau kita masih tercari-cari di manakah noktah permulaan untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Apakah kita sudah bersedia bertemu Ramadan yang sangat ditunggu-tunggu sekalian umat Islam? Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.


Sesungguhnya Syaaban ruang kesempatan untuk memperbaiki diri menjelang tibanya Ramadan, medan untuk karnival ibadat sedunia. Jika Rejab mencatatkan sejarah istimewa iaitu Israk dan Mikraj, Syaaban melakarkan peristiwa pertukaran arah kiblat ketika permulaan kewajipan solat.
.

Ini menyebabkan Baginda SAW merenung jauh bagi memikirkan perkara itu maka turun firman Allah yang bermaksud: “Sering kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) mendongak ke langit memikirkannya, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu berpalinglah mengadap Masjidilharam (Makkah) dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani mengetahui benar akan kisah perpindahan kiblat ini adalah perintah dari Allah dan Allah sekali-kali tidak akan lalai terhadap apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 44)

Baginda SAW paling banyak mengerjakan puasa sunat pada Syaaban berbanding bulan lain. Walaupun banyak hadis kedudukannya lemah dalam menyatakan fadilat Syaaban, hakikatnya, amalan Baginda SAW menunjukkan Syaaban antara bulan dimuliakan Allah SWT. Jika tiada bulan baik di sisi Allah SWT, masakan ada bulan diharamkan Allah SWT untuk berperang.

Syaaban juga terdapat satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Allah SWT sudah memberikan kelebihan dengan keampunan kepada hamba-Nya. Sabda Rasul SAW daripada Abu Hurairah: “Allah SWT mengamati makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban seterusnya mengampunkan mereka kecuali mereka yang syirik dan melakukan permusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kesempatan yang terhidang pada Syaaban ini haruslah dimanfaatkan sebagai satu usaha untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT termasuk puasa dan qiamullail.

Ini ibadat yang diberi keutamaan Baginda SAW. Baginda juga memfokuskan kepada 15 terakhir Syaaban untuk berpuasa sunat. Solat tahajud dan solat taubat haruslah ditekankan khususnya pada malam nisfu.

Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap permusuhan akan mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan daripada perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai kemanisan beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan fitnah dan permusuhan tidak akan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim dari Huzaifah)

Beristiqamah dalam ibadat juga mestilah dipelihara kerana ia dapat melonjakkan kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan kadar sedikit. Munajat keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan kesalahan kita semakin bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada setiap masa.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada Tuhanmu dan hendaklah kembali taat pada-Nya supaya kamu mendapat nikmat dan rahmat di dunia dan akhirat.” (Surah Hud, ayat 3) 

Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan ibadat penuh ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan menghasilkan kesan positif terhadap ibadat Ramadan. 

Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan dan istiqamah dalam melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat akan terhakis dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang Syaaban untuk merealisasikan Ramadan.

Penulis ialah Eksekutif Agama , The New Straits Times Press (NS)


Khutbah Jumaat: Perbanyak puasa sunat, eratkan silaturahim pada Syaaban




2012/06/22 

KINI kita berada pada hari kedua Syaaban, bulan mulia lagi berkat ini mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan menghadapi bulan Ramadan, medan ibadah umat Islam. 


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua nabi dan keutamaan bulan Ramadan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya.”


Syaaban adalah bulan Rasulullah SAW dan bagi kita sebagai umatnya pelbagai ganjaran disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadapi Ramadan.

As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua-dua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan daripada tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.” 


Antara amalan digalakkan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. 

Sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang afdal berpuasa, Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang lebih afdal? Nabi SAW menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) 

Pada bulan Syaaban juga ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu Allah SWT memberikan kelebihan kepada hamba-Nya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. 

Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 

Untuk mencapai kelebihan bulan ini, umat Islam di anjurkan melakukan puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah diutamakan Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat pada 15 terakhir Syaaban. 

Memperkukuhkan tali silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia penting kerana ia bersangkutan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia selagi mereka bermaafan. 

Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai kemanisannya. 

Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan untuk menjadikan jiwa sentiasa tetap dengan pendirian. 

Memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa dilakukannya saban waktu. Dosa semakin hari semakin bertambah terutama dosa kecil daripada percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. 

Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik hitam dalam hati yang menyebabkan hati semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh daripada petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun selagi pintu keampunan itu terbuka. 

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Tatatertib perlu diamal dalam masjid



Oleh Hizbur Rahman

2012/06/26

Jemaah dilarang ganggu jemaah solat dengan kelakuan tidak sopan

IMAM masjid perlu menegur atau memberi pengajaran kepada jemaah yang berkelakuan tidak sopan di masjid seperti berbisik, mengganggu orang solat, melintas orang yang sedang solat, saf tidak lurus, berzikir dengan suara keras hingga mengganggu orang sedang solat serta belajar.

Daripada Abu Qatadah, katanya: “Tatkala kami sedang solat bersama Nabi SAW, tiba-­tiba Baginda mendengar suara berbisik orang (yang datang). Maka ketika Nabi sudah selesai solat,ia bertanya: Ada apa urusan kamu tadi (berbisik)? Mereka menjawab: Kami terburu­-buru untuk turut (jemaah). Nabi SAW berkata: Janganlah kamu berbuat begitu. Apabila kamu mendatangi solat, hendaklah kamu berlaku tenang. Apa yang kamu dapatkan (dari solatnya imam), maka solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Bukhari)


Diriwayatkan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka pergilah kamu ke tempat solat itu, dan kamu haruslah berlaku tenang dan bersikap sopan dan terhormat, dan janganlah kamu tergesa­-gesa, apa yang kamu dapatkan (dari solatnya imam), maka solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan sempurnakanlah.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

Hadis ini mengandungi beberapa hukum iaitu kita diperintah berlaku tenang dan bersikap sopan apabila mendatangi tempat solat atau masjid. Kita dilarang tergesa­-gesa apabila mendatangi tempat solat seperti berlari­-lari, meskipun iqamat telah dikumandangkan.

Kita dilarang berbisik apabila sampai di tempat solat, sedang solat jemaah sedang didirikan. Ini akan mengganggu orang yang sedang solat berjemaah.

Bagi mereka yang lambat berjemaah setelah imam selesai memberi salam ke kanan dan ke kiri, barulah disempurnakan apa-­apa yang ketinggalan.

Hikmah diperintahkan tenang dan sopan serta tidak boleh tergesa-­gesa, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya salah seorang di antara kamu, apabila menuju solat, maka bererti dia sudah dianggap dalam solat.” (Hadis riwayat Muslim) 

Kita digalakkan membaca doa seperti dibacakan Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dan dalam ucapanku cahaya, dan jadikanlah pada pendengaranku cahaya, dan jadikanlah pada penglihatanku cahaya, dan jadikanlah dari belakangku cahaya dan dari depanku cahaya, dan jadikanlah dari atasku cahaya, dan dari bawahku cahaya, ya Allah berikanlah kepadaku cahaya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Diriwayatkan dari jalan Ibnu Abbas yang menerangkan solat Nabi SAW di waktu malam. Hadis ini menyatakan: “Kita akan disukai apabila mengucapkan doa di atas di waktu pergi ke Masjid.”

Daripada Abi Humaid atau Abi Usaid, ia berkata: “Bersabda Rasulullah SAW: Apabila salah seorang kamu masuk masjid, maka ucapkanlah: Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu­pintu rahmat­Mu). Dan apabila keluar (dari masjid), maka ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepada­Mu dari kurnia­Mu.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasa’i)

Abdullah bin Amr bin Ash, Nabi SAW, apabila masuk masjid beliau mengucapkan: “Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan dengan wajah­Nya yang mulia serta kekuasaan­Nya yang tidak mendahuluinya, dari (gangguan) syaitan yang terkutuk. Nabi SAW berkata: Apabila ia mengucapkan demikian (doa di atas), syaitan pun berkata: Dipeliharalah ia daripadaku sisa harinya.” (Hadis riwayat Abu Dawud) 

Hadis ini menyatakan kita disunatkan membaca doa mohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan apabila memasuki masjid.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...