بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, June 6, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Pengetahuan tentang Yakjuj dan Makjuj terbatas

Sumber

18:98
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar". (al-Kahfi [18] : 98)

PADA ayat ke-98, Ibnu Kathir berkata: "Iaitu untuk umat manusia. Allah telah menjadikan antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj dinding pemisah yang menghalangi berlakunya kerosakan di muka bumi."

Al-Maraghi berkata: "Sehubungan itu, Zulkarnain berkata kepada penduduk negeri itu: Tembok ini suatu nikmat dan rahmat daripada Allah kepada para hamba-Nya kerana dia menjadi benteng di antara kamu dengan Yakjuj dan Makjuj serta menghalang berlaku kerosakan di muka bumi."

Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar dari balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah akan menjadikan tanah yang datar, lalu Allah menghapuskan mereka dengan memusnah dan meratakan sama dengan bumi.

Hari berganti hari, lubang itu semakin melebar sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya terbuka pada abad ke-7 Hijrah, Yakjuj dan Makjuj keluar dan melakukan kerosakan seperti yang telah diceritakan.

Sayid Qutub berkata: "Siapakah kaum Yakjuj dan Makjuj? Di manakah mereka sekarang? Apakah tindak-tanduk mereka di masa lampau dan apakah yang akan berlaku kepada mereka?

Semua pertanyaan ini sukar dijawab secara pasti, kerana kita tidak mengetahui keadaan mereka melainkan apa yang diterangkan dalam al-Quran dan beberapa hadis sahih.

Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu dan yang dimaksudkan dengan janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.

18:99
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.(al-Kahfi [18] : 99)
Pada ayat ke-99, Ibnu Kathir berkata: "Sebahagian manusia pada hari itu atau hari hancurnya dinding tersebut. Kemudian mereka itu keluar dan bergabung bersama umat manusia serta melakukan kerosakan harta kekayaan manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki."

Ayat ini ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Yang demikian itu adalah pada saat mereka keluar ke tengah-tengah umat manusia. Semuanya itu terjadi sebelum hari kiamat tiba dan sesudah munculnya Dajjal. Itu adalah permulaan hari kiamat. Inilah pendapat al-Suddi.

Al-Maraghi berkata: "Pada waktu tembok itu ditembusi, Yakjuj dan Makjuj telah keluar dari balik tembok itu. Mereka telah (bertebaran) bercampur gaul di tengah-tengah manusia dengan merosakkan tanaman serta harta mereka."

Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Gengis Khan (sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis bahawa peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah).

Apabila kiamat hampir tiba, Sangkakala akan ditiup, (Allah SWT) akan mengumpulkan seluruh manusia untuk dihisab.

Sebenarnya, tanda-tanda kiamat amat banyak. Terutamanya tanda-tanda besar disebut seperti keluarnya Dajjal, turunnya Nabi Isa dan juga keluarnya Yakjuj dan Makjuj.

Ini menambahkan yakin dan keimanan kita bahawa wajib beriman dengan hari kiamat. Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bala dan bencana yang boleh merosakkan akidah kita. Amin.




Monday, June 3, 2013

Permintaan Sa’ad sebelum syahid dimakbul Tuhan



Dia masuk Islam pada usia 31 tahun dan pada usia itu juga menemui syahidnya. Namun, antara hari keislamannya dengan detik wafatnya, kehidupan Sa’ad bin Muaz diisi dengan perkara gemilang berbakti kepada Allah SWT.

Apabila mendengar berita kedatangan lelaki dari Makkah, Mush’ab bin Umair yang dikirim Rasulullah SAW untuk menyebarkan tauhid kepada orang Madinah, bagaikan hendak dilipatnya bumi ketika melompat dan berlari ke rumah As’ad bin Zurarah. 


Namun, lelaki yang sederhana berwajah kacak dengan tubuh tinggi lampai dan gempal itu terlebih dulu diterangi jiwanya oleh petunjuk Allah SWT. Oleh itu, dari niat asal ingin mengusir utusan Rasulullah SAW, akhirnya Sa’ad menghulur tangan kanan mengangkat baiah kepada utusan Rasulullah itu. 


Islamnya Sa’ad memberi sinar baru menerangi Madinah. Tatkala Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, pintu rumah bani Abdil Asyhal iaitu kabilah Sa’ad terbuka luas bagi golongan Muhajirin, begitu juga harta mereka dapat dimanfaatkan tanpa batas.

Kesediaan berjihad

Menjelangnya perang Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan sahabat daripada Muhajirin dan Ansar untuk mendengar pendapat mereka. Maka bangkitkan Sa’ad yang menyatakan kesediaan untuk berjihad. 

Ketika perang Uhud, kaum Muslimin berpecah disebabkan serangan mendadak tentera musyrikin, tidak sukar mata hendak mencari kelibat Sa’ad kerana sentiasa berhampiran Rasulullah SAW, membela serta mempertahankan Baginda bermati-matian. 

Ketika perang Khandak, terserlah keperwiraan dan kepahlawanan Sa’ad. Kota Madinah mengalami pengepungan ketat dan parit yang digali di sekelilingnya menjadi benteng perlindungan penduduk Madinah. 

Memasuki suasana perang, Sa’ad keluar membawa pedang dan tombaknya. Ketika peperangan, nadi lengannya disambar anak panah yang dilepaskan tentera musyrik.

Darah menyembur dari pembuluhnya dan segera ia dirawat secara darurat untuk menghentikan keluarnya darah. Rasulullah SAW menyuruh membawanya ke masjid dan didirikan khemah supaya Sa’ad sentiasa dekat dengannya ketika mendapat rawatan.

Luka punca syahid

Disebabkan luka yang dideritai Sa’ad, menjadi penyebab yang menghantar beliau ke pintu syahid. Namun, yang lebih utama, permintaannya dimakbulkan Allah apabila Bani Quraizhah yang berpaling tadah dalam perjanjian dengan umat Islam mendapat balasan yang sewajarnya.

Diajukan keputusan kepada Sa’ad oleh Rasulullah SAW mengenai nasib bani Quraizhah, jawab Sa’ad: “Menurut pertimbanganku, orang yang ikut berperang di antara mereka hendaklah dihukum bunuh. Perempuan dan anak mereka diambil jadi tawanan, sedang harta kekayaan mereka dibagi-bagikan.

Demikianlah, sebelum meninggal, hati Sa’ad terubat apa yang berlaku terhadap pihak yang mengkhianati perjanjian hingga menyebabkan umat Islam terpaksa berjuang mempertahankan Madinah daripada musuh Islam dalam perang Khandak.

Sumber: Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2 (Berita Harian)

Thursday, May 30, 2013

Menegakkan keadilan


SALAH satu sifat yang harus dimiliki setiap orang untuk dapat menegakkan kebenaran adalah sifat adil. 

Kata adil banyak disebut dalam al-Quran dengan pelbagai pengertian dan konteks, seperti seimbang (rujuk al-Infitar [82] : 7), Benar (rujuk al-Baqarah [2]: 282) dan tebusan (rujuk al-An'am: 70). Keadilan memang merupakan doktrin pusat dalam teologi Islam.

82:7
Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;(al-Infitar [82] : 7)

2:282
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.(al-Baqarah [2]: 282) 

6:70
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).(al-An'aam [6] : 7)

Dalam bahasa Arab, pengertian keadilan dibezakan menjadi dua istilah iaitu al-'adl dan al-'idl. Al-'adl adalah keadilan yang ukurannya didasarkan pada gerak hati atau rasional, manakala al-'idl adalah keadilan yang dapat diukur secara jasmani yang dapat dirasakan dengan pancaindera seperti timbangan atau hitungan.

Prinsip keadilan perlu diserapkan dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan perbankan. Islam memerintahkan manusia untuk bersikap adil dan perlakukan adil wajib ditegakkan terhadap sesiapa sahaja (al-Syura [42] : 15)
42:15
Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)".(al-Syura [42] : 15)
Kewajipan agama
Berbuat atau bersikap adil merupakan salah satu perintah wajib dalam agama Islam. Allah SWT dalam salah satu firman-Nya menyatakan hal tersebut secara tegas: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan... (al-Nahl [16] : 90)

16:90
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.(al-Nahl [16] : 90)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Iman Ahmad bin Hanbal. Rasulullah SAW bersabda: "Ilmu itu ada tiga antaranya ialah kewajipan berlaku adil dalam membahagi."

Adil sebagai syarat
Dalam banyak aspek kehidupan beragama, sifat adil seringkali ditetapkan sebagai mutlak dalam sesuatu perkara. Tanpa sifat tersebut, maka perkara itu menjadi batal.

Misalnya, seorang perawi hadis haruslah adil dalam erti berpegang pada kebenaran dan kejujuran. Jika perawi tidak adil, maka hadisnya dianggap tidak sahih. Sifat adil juga menjadi syarat mutlak yang harus dimiliki oleh seorang hakim, pemerintah dan saksi dalam sesuatu perkara. Dalam menjalankan tugas, hakim dituntut untuk bersikap adil.

Sunatullah
Dalam al-Quran, keadilan disebut sebagai bahagian daripada hukum alam semesta, iaitu hukum keseimbangan (al-mizan), yang menjadi hukum alam atau sunatullah. Kerana merupakan sunatullah, maka menegakkan keadilan merupakan suatu kemestian yang mutlak.

Apabila keadilan dilaksanakan maka akan tercipta kebaikan. Sebaliknya apabila tidak dilaksanakan, maka akan timbul malapetaka.

Takwa
Al-Quran menjelaskan bahawa bersikap adil itu adalah tidak memilih bulu. Kepada golongan yang kita benci pun kita harus tetap adil. Menerapkan sikap adil dalam keadaan demikian akan mendekatkan kita kepada takwa, seperti firman Allah SWT: Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kamu itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua), kerana sikap adil itu lebih hamper kepada takwa. (al-Maidah [5] : 8)

5:8
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah [5] : 8)
Zalim
Berlaku adil berkait rapat dengan hak dan kewajipan. Hak yang dimiliki oleh seseorang, termasuk hak asasi harus diperlakukan dengan adil dan tidak boleh dengan zalim semena-mena. Zalim iaitu sifat sewenang-wenang dalam suatu perkara, merupakan kebalikan daripada sifat adil. Orang yang berbuat zalim diancam dengan siksaan yang sangat pedih di akhirat nanti, kerana berbuat zalim termasuk salah satu dosa besar.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...